Dr Maliki Osman: Cari Jalan Sederhana Dalam Agama Supaya Dapat Saling Memahami

Perpaduan dalam masyarakat berbilang agama tidak akan dapat dicapai dengan berkesan jika masih ada isu-isu dalam sesuatu agama itu.

Antaranya pandangan yang berbeza dalam mengamalkan ajaran agama.

Menurut Menteri Negara Kanan Pertahanan dan Ehwal Luar Dr Mohd Maliki Osman, ia merupakan satu perkara yang perlu diteliti dengan serius dan ditangani jika kita mahu mengekalkan keharmonian dalam kehidupan.

“Sering kita dengar satu bangsa mengatakan sama ada kita boleh melakukan sesuatu perkara dan ada yang mengatakan boleh dan ada yang mengatakan tidak boleh. Bangsa yang lain mungkin tidak faham. Langsung ia akan menimbulkan masalah kepada mereka jika mereka ingin mengaitkan dengan sesuatu kaum tersebut. Jadi saya rasa apa yang penting ialah dalam sesuatu agama itu kita cuba cari jalan sederhana supaya ramai di antara mereka yang bukan dalam agama tersebut memahami apa yang dipraktikkan dan difahami oleh agama tersebut. Ini mungkin akan dapat meningkatkan lagi hubungan antara kaum ataupun antara agama di Singapura ini,” kata Dr Maliki.

Dr Maliki yang juga Datuk Bandar CDC Tenggara berkata demikian di sesi dialog antara kaum anjuran CDC itu petang tadi (21 Jan).

Ini merupakan sesi kedua daripada satu siri dialog bertujuan meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang pelbagai agama dan budaya di negara ini.

Dialog kali ini berkisar tentang peranan dan erti sesuatu warna dalam kehidupan berbilang kaum di negara ini.

Menurut Dr Maliki, sebagai rakyat Singapura, di samping tidak mengamalkan diskriminasi
kita juga perlu mengambil langkah-langkah proaktif dalam membina wadah bagi pertukaran pendapat yang berkesan tentang masyarakat majmuk Singapura.

Dialog ini disertai sekitar 170 orang dari pelbagai latar belakang termasuk pemimpin agama dan belia.

Sesi selanjutnya akan diadakan pada 4 Mac.

Source: BeritaMediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *