Rahayu Mahzam: Pemerintah Harus Memberi Kelonggaran Bagi Muslimah Bertudung, Luaskan Ruang Berbicara Tentang Hal-Hal Agama

Masyarakat tempatan perlu mengadakan perbincangan-perbincangan “sangat berterus terang” tentang isu-isu nyata.

Usaha menggalakkan keharmonian kaum dan agama tidak lagi boleh dijalankan di peringkat luaran sahaja dengan setakat menghadiri majlis-majlis budaya satu sama lain.

Sebaliknya, Singapura harus “mengadakan ruang untuk bercakap tentang identiti kita, amalan keagamaan seperti membakar kertas sembahyang, pemakaian tudung, memainkan muzik semasa Thaipusam misalnya.”

Demikian seruan Anggota Parlimen GRC Jurong, semasa menyampaikan ucapan sulung beliau dalam perbahasan di Parlimen petang tadi (28 Jan).

Cik Rahayu menambah, seharusnya ada dialog-dialog terbuka kerana perbincangan sedemikian akan menghasilkan kefahaman tentang keprihatinan satu sama lain.

Mengulas mengenai debat tentang isu pengganasan, beliau menekankan, masyarakat Melayu/Islam Singapura menolak fahaman sedemikian.

Lantaran itu Cik Rahayu menekankan, masyarakat Melayu/Islam tidak boleh dipersalahkan dan taat setia masyarakat tersebut “tidak patut dipersoalkan”.

HARAP ISU TUDUNG DISEMAK LAGI

“Saya rasakan penting untuk Pemerintah mengambil langkah untuk menggalakkan perbincangan terbuka tentang hal-hal sebegini agar segala prasangka atau rasa salah faham dapat dilenyapkan dengan segera. Juga perlu sentiasa ada peringatan yang tegas untuk mengutuk dan mengekang tindakan yang berbaur Islamofobia.

“Satu lagi hal yang berada di benak fikiran masyarakat kita adalah isu tudung. Saya harap hal ini dapat disemak lagi oleh Pemerintah dan kelonggaran diberi agar wanita bertudung tidak terbatas untuk bekerja dalam mana-mana kerjaya pilihannya,” ujar Cik Rahayu.

Namun beliau juga menekankan, dalam pada masyarakat mengharapkan sesuatu daripada Pemerintah, ia juga perlu bersikap matang dan berbincang secara hormat.

Masyarakat Melayu kata beliau perlu menggunakan peluang yang ada untuk terus menjalin hubungan dengan kaum lain agar ada pemahaman yang mendalam tentang budaya dan agama Melayu/Islam dapat terjalin.

Masyarakat Melayu/Islam kata beliau, sebahagian daripada masyarakat majmuk Singapura dan perlu sentiasa prihatin untuk menjaga keharmonian kaum dan agama.

SOKONG NCMP, KRITIK KOMEN KETUA PARTI PEKERJA

Dalam ucapan beliau itu, Cik Rahayu juga mengalu-alukan peningkatan dan perubahan kepada skim Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) yang diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong semalam.

Beliau melahirkan harapan untuk melihat lebih ramai anggota politik pembangkang seperti Encik Leon Perera dan Encik Dennis Tan, bagi menghasilkan perdebatan yang lasak demi menggubal dasar negara.

Cik Rahayu bagaimanapun membidas ketua pembangkang Low Thia Khiang dengan berkata, beliau “agak terkejut” para NCMP itu disamakan dengan kiambang.

“Tiada apa yang boleh menghalang NCMP daripada bergerak di akar umbi, melakukan lawatan rumah ke rumah dan menganjurkan sesi-sesi untuk mengumpulkan keprihatinan penduduk. Hakikatnya, saya teringat Encik Perera menyebut bahawa beliau melakukan kerja-kerja akar umbi di East Coast dan Aljunied. Peningkatan-peningkatan tersebut mengukuhkan kedudukan NCMP dan saya rasa sukar untuk berhujah sebaliknya,” ujar Cik Rahayu lagi.

AMALKAN KELONGGARAN BERI BANTUAN

Menyentuh tentang golongan yang berisiko dan kurang bernasib baik, beliau menyeru supaya lebih banyak kelonggaran diamalkan dalam membantu mereka.

Sebahagian bantuan kata beliau dibelenggu oleh pelbagai peraturan yang menyukarkan.

Cik Rahayu berkata: “Kita tidak harus berkompromi dalam sokongan sosial yang perlu diberikan kepada individu-individu dan keluarga-keluarga yang memerlukan bantuan. Malah, pada masa-masa sukarlah, kita perlu bersikap lebih ihsan.”

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *