Tag: cerai

  • Kelantan Galak Suami Berpoligami

    Kelantan Galak Suami Berpoligami

    KOTA BHARU: Kerajaan PAS Kelantan menggalakkan suami yang memenuhi syarat mengikut tuntutan Islam untuk berpoligami.

    Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Mumtaz Md Nawi, berkata bagi mereka yang tidak memenuhi syarat berpoligami, memadai seorang isteri bagi mengelakkan timbul masalah dalam keluarga.

    Beliau berkata, dalam Islam matlamat perkahwinan itu untuk melahirkan zuriat yang berkualiti.

    “Di Kelantan kita galakkan berkahwin sama ada perkahwinan itu yang pertama atau kedua bagi yang layak.

    “Mereka yang memenuhi syarat (berpoligami) penting luahkan (keinginan) di Mahkamah Syariah dan jangan buat tindakan kahwin di luar negara, tidak mengikuti adab atau saluran yang betul.

    “(Ini kerana) daripada perkahwinan akan ada zuriat. Jadi, kita tidak mahu anak atau isteri dinafikan hak mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Orang Kelainan Upaya (OKU) Maqarrabun negeri Kelantan yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob di Balai Islam di sini, hari ini.

    Mumtaz berkata, sebagai galakan sebelum berpoligami, kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri mengadakan kuliah atau program penerangan pendidikan rumah tangga.

    “Dalam hal ini, kita adakan kuliah termasuk motivasi dalam perkahwinan, dasar keluarga mawaddah dan galakan untuk berpoligami bukan dalam bentuk duit tapi memberi ilmu.

    “Kalau kamu (suami) tak boleh berlaku adil kahwin satu saja dan kalau (mahu berpoligami) sebagai tempat untuk memuaskan nafsu, itu bukan sasarannya, ” katanya.

    Source: www.bharian.com.my

  • Wak Doyok, Bekas Isteri Sultan Brunei, Bertunang

    Wak Doyok, Bekas Isteri Sultan Brunei, Bertunang

    KUALA LUMPUR: Bekas isteri Sultan Brunei kini sudah bertunang dengan seorang selebriti media sosial, Wak Doyok.

    Menurut laporan Mingguan Malaysia, majlis pertunangan itu diadakan di kediaman Azrinaz Mazhar Hakim, 37 tahun, di Desa Hartamas dan dihadiri keluarga terdekat, pada 23 Julai.

    “Azrinaz disarungkan cincin pertunangan oleh ibu kandung Wak Doyok sendiri dalam majlis yang berlangsung secara sederhana itu,” sumber-sumber memberitahu akhbar tersebut.

    Tarikh persandingan pasangan yang sering tampil berdua di Instagram itu bagaimanapun belum didedahkan, lapor laman Malay Mail.

    Sebelum ini, Wak Doyok atau nama sebanarnya Muhammad Azwan Mohd Nor, 36 tahun, mengatakan Azrinaz “sekadar kawan”.

    Pasangan itu juga tidak pernah mengesahkan mereka bercinta meskipun sering memuat naik gambar kemesraan berdua di laman sosial selain gambar bersama dengan rakan-rakan artis mereka menurut Utusan Online.

    Azrinaz yang juga bekas personaliti TV3, bernikah dengan Sultan Brunei Hassanal Bolkiah pada tahun 2005 dan bercerai lima tahun kemudian, lapor laman Malay Mail.

    Menurut laman Sarawak Voice, Pencarian nama Azrinaz di Google pada 2005 mengalahkan selebriti dan tokoh dunia seperti Brad Pitt, Angelina Jolie, Michael Jackson dan George W Bush.

    Hasil perkahwinannya dengan Sultan Brunei, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Pengiran Muda Abdul Wakeel, 10 tahun, dan Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, 8 tahun, lapor Malay Mail Online

    Azrinaz dan Wak Doyok dikatakan mula menjalin hubungan sejak setahun lalu, menurut Utusan Online.

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Rozana Patah Tulang Rusuk, Retak Tuang Hidung Akibat Dibelasah Awie

    Rozana Patah Tulang Rusuk, Retak Tuang Hidung Akibat Dibelasah Awie

    AMPANG: Isteri kepada vokalis kumpulan Wings, Awie iaitu Rozana Misbun memberitahu Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, dua tulang rusuk kirinya patah manakala hidungnya retak akibat dipukul suaminya itu tahun lalu.

    Rozana, 37, berkata, Awie turut menumbuk mukanya bertubi-tubi selepas berlaku perselisihan faham di rumah sewa mereka di Ukay Perdana kira-kira pukul 1.30 petang, 2 Jun tahun lalu.

    Jelasnya lagi, kejadian itu berlaku selepas Awie menuduh dia mencuri wang milik Awie biarpun telah menjelaskan ia digunakan untuk perbelanjaan keluarga.

    “Ketika kejadian, berlaku perselisihan faham di antara kami di dalam bilik pembantu rumah kami selepas dia menuduh saya menggunakan wangnya tanpa kebenaran.

    “Saya menjelaskan wang berkenaan digunakan untuk perbelanjaan keluarga namun dia tidak percaya sebelum menumbuk wajah saya bertubi-tubi terutama pada bahagian hidung,” dedahnya.

    Rozana berkata demikian selepas menjawab soalan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Reen pada hari kelima perbicaraan kes berkenaan.

    Perbicaraan tersebut didengar di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman.

    Tambah Rozana, akibat ditumbuk bertubi-tubi oleh suaminya dia rebah ke lantai sebelum Awie menendang pada bahagian rusuk kirinya dan memijak badannya menggunakan kaki.

    “Saya cuba bangun tetapi dia terus menendang muka saya dan saya berasa sangat sakit,” ujarnya.

    Rozana Dipukul

    Awie yang berada dikandang tertuduh dilihat menggeleng-gelengkan kepalanya selepas mendengar kenyataan isterinya itu dan sesekali memandang ke arah media yang memenuhi galeri mahkamah untuk membuat liputan.

    Terdahulu, Rozana terpaksa memberikan keterangan dikandang saksi selepas mahkamah menolak permohonannya memberi keterangan menerusi sidang video dari luar mahkamah kerana berasa takut untuk memberi keterangan di hadapan Awie.

    Bagaimanapun mahkamah membenarkan Rozana selaku pengadu kes berkenaan untuk memberikan keterangannya dengan dilindungi tabir bagi mengelakkan dia memandang Awie yang duduk di kandang tertuduh.

    Meneruskan keterangannya, Rozana berkata, Awie kemudiannya menarik rambutnya sebelum mengheretnya ke ruang tamu sebelum mukanya ditendang sekali lagi sehingga berdarah.

    “Saya ketika itu duduk di sofa dan dia tendang muka saya sekali lagi dan darah mengalir keluar dari hidung.

    “Saya merayu kepadanya supaya menghentikan perbuatannya itu namun dia mengambil kayu ‘monopod’ dan menghayun ke bahagian kiri telinga saya dan batang berkenaan patah tiga.

    “Ketika itu baharulah dia berhenti memukul saya dan memberi sapu tangannya untuk mengelap darah yang keluar,” katanya.

    Bagaimanapun katanya, Awie menolaknya masuk ke dalam kereta yang dipandu oleh pemandu dikenali sebagai Khayrul Anwar dan memaksanya untuk pergi ke sebuah bank di Ampang bagi mengeluarkan wang dalam akaun atas namanya (Rozana).

    “Biarpun saya enggan pergi kerana berada dalam keadaan sakit dan berdarah saya tetap ditolak masuk ke kereta untuk ke bank bagi mengeluarkan wang berjumlah RM30,000 daripada akaun atas nama saya.

    “Kemudian kami ke bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak untuk mengeluarkan wang di Amanah Saham Bumiputera (ASB) tetapi saya dipukul di hadapan kaunter disaksikan oleh orang ramai yang berada ditempat kejadian selepas saya tidak membawa buku ASB,” jelasnya.

    Sementara itu, Rozana berkata, Awie kemudian membawanya ke Pandan Indah di sini dipercayai pejabat peguam dan meletakkannya di dalam sebuah bilik ditemani pemandu selama sejam.

    Katanya, selepas itu Awie bersama seorang peguam dikenali sebagai Azwan muncul dalam bilik berkenaan sebelum memaksanya menandatangani beberapa dokumen.

    “Saya tidak tahu apa kandungan dokumen itu kerana tidak dapat membaca dengan jelas kerana rabun dan tidak memakai cermin mata.

    “Selepas itu dia menghantar saya pulang ke rumah dan dia kembali keluar dan saya tidur sambil menahan kesakitan,” katanya.

    Terangnya lagi, pada 5 Jun 2014 dia berjumpa doktor di Hospital Pandan Desa selepas tidak tahan dengan kesakitan dialami dan hasil ujian sinar X mendapati hidungnya retak dan dua tulang rusuk kirinya patah.

    Dia menjelaskan turut ditahan selama tiga hari di hospital berkenaan sebelum meminta kebenaran untuk pulang kerana bimbangkan anak-anaknya.

    “Selepas pulang ke rumah saya tidak tahan setiap hari diseksa secara mental oleh suami berhubung kejadian itu sehinggalah pada 15 Jun saya nekad keluar rumah dan kembali ke kediaman ibu bapa saya di Pantai Dalam (Kuala Lumpur).

    “Seterusnya saya membuat dua laporan polis di Balai Polis Ampang Jaya sebelum ke Hospital Ampang untuk membuat pemeriksaan berhubung kecederaan dialami,” ujarnya.

    Dalam perkembangan sama, Rozana dilihat memberikan jawapan konsisten apabila peguam bela Awie melakukan soal balas terhadapnya berhubung keterangan diberikan.

    Perbicaraan yang berlanjutan sehingga pukul 4.30 petang itu bagaimanapun ditangguhkan pada 3 Jun depan.

    Mengikut pertuduhan, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Rozana pada 2 Jun tahun lalu kira-kira pukul 1.30 petang di alamat No. 9 Jalan UB 5B, Taman Ukay Bestari, Ukay Perdana, Hulu Kelang di sini.

    Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

     

    Source: http://www.mstar.com.my

  • Pelakon Datuk Eizlan Yusof Ceraikan Isteri Datin Vie Santi Harun

    Pelakon Datuk Eizlan Yusof Ceraikan Isteri Datin Vie Santi Harun

    KUALA LUMPUR – Isteri kepada pelakon kacak, Datuk Eizlan Yusof, Datin Vie Santie Harun memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, hari ini.

    Vie Santie, 28, selaku plaintif memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

    Semasa sebutan kes itu dihadapan Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin, Peguam Syarie Syamimi Ab Rahman yang mewakili plaintif memaklumkan bahawa pihaknya telah memfailkan tiga keterangan saksi plaintif.

    “Terdapat juga beberapa permohonan lain yang berkaitan dengan perkahwinan ini sedang dibincangkan dengan defendan untuk diselesaikan,” katanya.

    Sehubungan itu peguam itu memohon penangguhan perbicaraan kes itu kerana  saksi-saksi plaintif yang sepatutnya memberi keterangan tidak dapat hadir.

    Pada prosiding itu, pasangan itu juga tidak hadir dan berada di luar kawasan.

    Eizlan atau nama sebenarnya Idris Md Yusof, 44, selaku defendan tidak diwakili peguam.

    Sehubungan itu mahkamah menetapkan 13 Januari tahun depan untuk menyambung semula perbicaraan dan meminta pihak-pihak hadir bersama saksi.

    Eizlan yang juga merupakan penerbit eksekutif dan ahli pernigaan itu bernikah dengan Vie Santie pada 7 Julai 2007.

    Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan  tiga cahaya mata Vie Zaara; Zareef Yusof dan Vie Zaalia berusia antara satu hingga lima tahun.

     

    Source: www.sinarharian.com.my

  • Bolehkah Isteri Tuntut Cerai Daripada Suami Yang Dijatuhi Hukuman Penjara Lima Tahun?

    Bolehkah Isteri Tuntut Cerai Daripada Suami Yang Dijatuhi Hukuman Penjara Lima Tahun?

     

    cerai

    SOALAN

    Bolehkah isteri menuntut cerai daripada suami yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun? Apakah keluarga suami wajib menanggung nafkah isteri jika dia berhasrat menunggu suami dibebaskan dari penjara? Bolehkah isteri menuntut nafkahnya yang tertunggak selama lima tahun itu apabila suami bebas dari penjara?

    JAWAPAN DARI Ustaz Muhammad Haniff Hassan 

    Isteri boleh menuntut cerai daripada suami yang dihukum penjara. Tuntutan ini boleh dibuat dengan membuat pendaftaran di Mahkamah Syariah (Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla), Seksyen 47 (1)).

    Perceraian boleh berlaku melalui salah satu daripada empat a cara ini: Suami melafazkan cerai setelah melalui perbicaraan di Mahkamah Syariah (Amla, Seksyen 47 (3)).  

    Cerai secara khuluk, iaitu isteri membayar sejumlah wang kepada suami untuk diceraikan. Cara ini biasanya digunakan apabila suami tidak mahu menceraikan isterinya melalui cara biasa (Amla, Seksyen 47 (4)).  

    Cerai secara taklik apabila Mahkamah Syariah mensabitkan bahawa suami telah gagal menunaikan kewajipan nafkah kepada isteri selama empat bulan berturut-turut (Amla, Seksyen 48 (1), lihat juga lafaz taklik nikah di sijil pernikahan anda).

    Cerai melalui fasakh, iaitu perintah Mahkamah Syariah bagi menceraikan pasangan suami isteri apabila (yang antara lain): i)  suami gagal memberi nafkah kepada isteri selama tiga bulan (Seksyen, 49 (1)(a)) ii)  suami dipenjara tiga tahun ke atas (Seksyen, 49 (1)(b)).

    Jika anda telah tekad membuat tuntutan cerai, sebaik-baiknya anda dapatkan khidmat peguam. Peguam anda akan memberi nasihat lebih terperinci mengenai pilihan dan proses terbaik bagi kes anda. Di sisi agama, kegagalan suami yang dipenjara memenuhi kewajipan nafkah kepada isteri menjadi hutang tertunggak bagi isteri.

    NAFKAH KELUARGA

    Kewajipan memberi nafkah kepada isteri dalam hal ini tidak berpindah kepada keluarga suami, baik dari segi hukum agama mahupun undang-undang. Ertinya, isteri tidak boleh menuntut keluarga suami memberi nafkah kepadanya bagi memenuhi sara hidupnya.

    Namun, menjadi fardu kifayah bagi keluarga isteri dan suami (khususnya bapa dan ibu mentua) membantu memenuhi keperluan hidup isteri selama suami dalam penjara.

    Fardu kifayah di sini bermaksud ia adalah kewajipan kolektif yang jika ada sebahagian ahli keluarga menunaikan kewajipan ini, maka terlepaslah yang lain daripada dosa. Jika tidak, kesemuanya bakal dipertanggungjawabkan oleh Allah.

    Satu langkah yang lebih praktikal bagi isteri yang berada dalam situasi ini ialah mendapatkan bantuan kebajikan daripada badan Islam yang menawarkan pelbagai bantuan sosial kepada keluarga yang mempunyai masalah kewangan, termasuk kepada isteri yang suaminya berada dalam penjara.

    Jika anda ingin menuntut hak nafkah tertunggak daripada suami selama tempoh beliau dipenjara, anda dinasihatkan membuat tuntutan nafkah berkenaan daripada Mahkamah Keluarga kerana dengan mendapatkan perintah mahkamah, hak anda lebih terpelihara dan mudah dikuatkuasakan, jika suami enggan memenuhinya setelah dibebaskan. Anda boleh melakukan ini tanpa perlu menunggu suami keluar dari penjara.

    Tanpa perintah mahkamah, pembayaran nafkah tertunggak akan bergantung pada persetujuan anda dan suami semata-mata.  

    Ustaz Muhammad Haniff Hassan zamil di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Beliau berkelulusan syariah dan undang-undang daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Malaysia) dan pengajian antarabangsa (NTU).

    Source: http://beritaharian.sg/premium/rencana/hidayah/kemusykilan-agama-isteri-tak-ada-hak-tuntut-cerai

    letters R1C

    YOUTUBE: youtube.com/user/rilek1corner

    FACEBOOK: facebook.com/rilek1corner

    TWITTER: twitter.com/Rilek1Corner

    WEBSITE: rilek1corner.com

    EMAIL: [email protected]

    FEEDBACK: CONTACT RILEK1CORNER