Bolehkah Isteri Tuntut Cerai Daripada Suami Yang Dijatuhi Hukuman Penjara Lima Tahun?

 

cerai

SOALAN

Bolehkah isteri menuntut cerai daripada suami yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun? Apakah keluarga suami wajib menanggung nafkah isteri jika dia berhasrat menunggu suami dibebaskan dari penjara? Bolehkah isteri menuntut nafkahnya yang tertunggak selama lima tahun itu apabila suami bebas dari penjara?

JAWAPAN DARI Ustaz Muhammad Haniff Hassan 

Isteri boleh menuntut cerai daripada suami yang dihukum penjara. Tuntutan ini boleh dibuat dengan membuat pendaftaran di Mahkamah Syariah (Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla), Seksyen 47 (1)).

Perceraian boleh berlaku melalui salah satu daripada empat a cara ini: Suami melafazkan cerai setelah melalui perbicaraan di Mahkamah Syariah (Amla, Seksyen 47 (3)).  

Cerai secara khuluk, iaitu isteri membayar sejumlah wang kepada suami untuk diceraikan. Cara ini biasanya digunakan apabila suami tidak mahu menceraikan isterinya melalui cara biasa (Amla, Seksyen 47 (4)).  

Cerai secara taklik apabila Mahkamah Syariah mensabitkan bahawa suami telah gagal menunaikan kewajipan nafkah kepada isteri selama empat bulan berturut-turut (Amla, Seksyen 48 (1), lihat juga lafaz taklik nikah di sijil pernikahan anda).

Cerai melalui fasakh, iaitu perintah Mahkamah Syariah bagi menceraikan pasangan suami isteri apabila (yang antara lain): i)  suami gagal memberi nafkah kepada isteri selama tiga bulan (Seksyen, 49 (1)(a)) ii)  suami dipenjara tiga tahun ke atas (Seksyen, 49 (1)(b)).

Jika anda telah tekad membuat tuntutan cerai, sebaik-baiknya anda dapatkan khidmat peguam. Peguam anda akan memberi nasihat lebih terperinci mengenai pilihan dan proses terbaik bagi kes anda. Di sisi agama, kegagalan suami yang dipenjara memenuhi kewajipan nafkah kepada isteri menjadi hutang tertunggak bagi isteri.

NAFKAH KELUARGA

Kewajipan memberi nafkah kepada isteri dalam hal ini tidak berpindah kepada keluarga suami, baik dari segi hukum agama mahupun undang-undang. Ertinya, isteri tidak boleh menuntut keluarga suami memberi nafkah kepadanya bagi memenuhi sara hidupnya.

Namun, menjadi fardu kifayah bagi keluarga isteri dan suami (khususnya bapa dan ibu mentua) membantu memenuhi keperluan hidup isteri selama suami dalam penjara.

Fardu kifayah di sini bermaksud ia adalah kewajipan kolektif yang jika ada sebahagian ahli keluarga menunaikan kewajipan ini, maka terlepaslah yang lain daripada dosa. Jika tidak, kesemuanya bakal dipertanggungjawabkan oleh Allah.

Satu langkah yang lebih praktikal bagi isteri yang berada dalam situasi ini ialah mendapatkan bantuan kebajikan daripada badan Islam yang menawarkan pelbagai bantuan sosial kepada keluarga yang mempunyai masalah kewangan, termasuk kepada isteri yang suaminya berada dalam penjara.

Jika anda ingin menuntut hak nafkah tertunggak daripada suami selama tempoh beliau dipenjara, anda dinasihatkan membuat tuntutan nafkah berkenaan daripada Mahkamah Keluarga kerana dengan mendapatkan perintah mahkamah, hak anda lebih terpelihara dan mudah dikuatkuasakan, jika suami enggan memenuhinya setelah dibebaskan. Anda boleh melakukan ini tanpa perlu menunggu suami keluar dari penjara.

Tanpa perintah mahkamah, pembayaran nafkah tertunggak akan bergantung pada persetujuan anda dan suami semata-mata.  

Ustaz Muhammad Haniff Hassan zamil di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Beliau berkelulusan syariah dan undang-undang daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Malaysia) dan pengajian antarabangsa (NTU).

Source: http://beritaharian.sg/premium/rencana/hidayah/kemusykilan-agama-isteri-tak-ada-hak-tuntut-cerai

letters R1C

YOUTUBE: youtube.com/user/rilek1corner

FACEBOOK: facebook.com/rilek1corner

TWITTER: twitter.com/Rilek1Corner

WEBSITE: rilek1corner.com

EMAIL: [email protected]

FEEDBACK: CONTACT RILEK1CORNER

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *