Tag: dadah

  • 68 Suspek Diberkas Dalam Serbuan Dadah Di Tampines, Bt Batok, Bedok, Woodlands Dan Punggol

    68 Suspek Diberkas Dalam Serbuan Dadah Di Tampines, Bt Batok, Bedok, Woodlands Dan Punggol

    68 suspek pesalah dadah ditangkap dan dadah bernilai lebih S$29,000 dirampas selepas operasi empat hari dijalankan di merata negara ini, menurut Biro Narkotik Pusat (CNB) dalam satu kenyataan hari ini (7 Jul).

    CNB menambah operasi itu, yang dijalankan dari 3 hingga 7 Julai, menyaksikan serbuan anti-dadah dijalankan di kawasan-kawasan termasuk Bedok Reservoir, Bukit Batok, Bukit Panjang, Chai Chee, Punggol, Tampines dan Woodlands.

    CNB menyatakan sekitar 461g ganja sintetik, 48g ganja, 303g heroin, 40g Ice, 98 pil Ecstasy, 74 pil Yaba, lima pil Erimin-5, satu setem LSD dirampas semasa serbuan itu.

    CNB meramalkan harga dadah yang dirampas ialah sekitar S$29,400.

    Siasatan sedang dijalankan terhadap semua suspek yang ditangkap.

    Akta Penyalahgunaan Dadah menetapkan hukuman mati jika jumlah dadah diamorphine (atau heroin asli) diseludup melebihi 15g.

     

    Sumber: BeritaMediacorp

  • Polis Thai Tangkap ‘Raja Dadah ASEAN’ Yang Juga Seludup Dadah Ke Singapura

    Polis Thai Tangkap ‘Raja Dadah ASEAN’ Yang Juga Seludup Dadah Ke Singapura

    Polis Thailand menangkap seorang lelaki Laos, yang digelar ‘Raja Dadah ASEAN’, kerana mendalangi satu rangkaian pengedaran dadah di seluruh rantau ASEAN, termasuk Malaysia, dalam satu operasi di Lapangan Terbang Suvarnabhumi.

    Suspek berusia 42 tahun itu dikepung polis dan ditangkap dengan disaksikan beratus-ratus pelancong sebaik sahaja dia tiba di lapangan terbang itu dari Phuket pada hari Khamis (19 Jan) kira-kira pukul 5.00 petang.

    Setiausaha Agung Pejabat Lembaga Kawalan Dadah Thailand Sirinya Sithichai berkata
    rangkaian pengedaran dadah itu dipercayai menyeludup dadah ke banyak negara, termasuk Malaysia dan Singapura.

    “Singapura sudah menghubungi pihak berkuasa Thailand untuk mendapatkan maklumat tentang rangkaian diketuai suspek,” katanya.

    Siasatan pihak berkuasa Thailand terhadap sindiket dadah diketuai lelaki Laos itu mendapati ia merupakan sumber utama bagi pengedaran bahan narkotik di seluruh rantau ini (ASEAN).

    Bernama difahamkan bahawa polis Thailand mencatat ‘kejayaan besar’ dalam mengesan suspek berkenaan berikutan rampasan lima juta pil methamphetamine tahun lalu.

    Timbalan Ketua Polis Negara Thailand Jen Chalermkiat Srivorakarn berkata penangkapan rakyat Laos itu dibuat setelah siasatan penuh mencabar dilakukan selama lima bulan terhadap rangkaian yang diketuainya.

    Menurut beliau, tiga rakyat Thailand, yang merupakan rakan raja dadah itu, ditangkap dalam operasi susulan dan polis merampas pelbagai aset serta wang daripada mereka.

    Kata beliau, pihak berkuasa merampas 14 bidang tanah, 14 kereta mewah, barangan aksesori daripada emas dan wang dalam mata wang Baht serta Dolar Amerika berjumlah 100 juta Baht (S$4.10 juta).

    Sementara itu, Pesuruhjaya Biro Pencegahan dan Kawalan Narkotik Thailand Sommai Kongwisaisuk berkata rangkaian dadah yang diterajui warga Laos itu setaraf dengan rangkaian diketuai dua raja dadah lain.

    Katanya, siasatan awal menunjukkan lelaki itu memiliki pelbagai perniagaan, termasuk dalam bidang perhotelan, kilang papan dan perniagaan kereta mewah di Laos.

    “Para pegawai akan berusaha secara habis-habisan untuk mengesan aset milik rangkaian itu yang mempunyai kaitan dengan dadah.

    “Kami akan selaraskan semua usaha untuk merampas aset berkenaan. Kami perlu sekat sumber pembiayaan mereka,” katanya.

    Beliau berkata pihak berkuasa Thailand mendapat kerjasama daripada rakan sejawatan mereka dari Laos dalam operasi itu dan beliau percaya penangkapan raja dadah itu merupakan kejayaan penting dalam usaha mengekang masalah dadah di Laos dan Thailand.

     

    Source: BeritaMediacorp

  • Buang Tatu, Nasihat Guaman, Antara Program Bantu Pesalah Dadah Pulang Ke Masyarakat

    Buang Tatu, Nasihat Guaman, Antara Program Bantu Pesalah Dadah Pulang Ke Masyarakat

    Bekas pesalah dadah akan mendapat bantuan untuk berintegrasi kembali ke dalam masyarakat.

    Persatuan Anti Narkotik Singapura (SANA) menubuhkan sebuah pusat sebagai projek perintis pada Januari tahun lalu dan akan dilancarkan minggu depan.

    Para kaunselor di Step-Up Centre di Sengkang akan menilai keperluan bekas pesalah.

    Menurut SANA, antara cabaran utama bagi bekas pesalah dadah termasuk mencari pekerjaan dan mendapat bantuan kewangan.

    “Antara program yang akan kami adakan di sini adalah program untuk meningkatkan keupayaan mereka dari segi kemahiran. Salah satu adalah kemahiran untuk menggunting rambut. Di mana program ini akan menyediakan latihan percuma untuk mereka yang berminat. Dan setelah itu mereka akan diberikan peluang pekerjaan bersama syarikat yang memberikan latihan itu,” kata salah seorang kaunselor SANA Mohd Fahmi Ahmad Abu Bakar.

    Mereka yang memerlukan bantuan kewangan pula akan mendapat kad Kopitiam dan Ez-Link bernilai $20.

    Bantuan lain termasuk program membuang tatu bersubsidi dan konsultasi undang-undang percuma berkenaan isu seperti hak penjagaan anak.

    “Nampak ada program membuang tatu, jadi saya sertai. Kemudian dua kali sebulan, nak kena datang kaunseling untuk buang tatu,” salah seorang bekas penagih dadah memberitahu BERITAMediacorp.

    Pusat tersebut menerima 339 kes tahun lalu dan dijangka bertambah kepada lebih 500 kes tahun ini.

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Mencuri, Edar Dadah, Demi Persiapan Hari Raya

    Mencuri, Edar Dadah, Demi Persiapan Hari Raya

    INDONESIA: Hari Raya akan menjelma tidak lama lagi. Antara yang menjadi kebiasaannya pada waktu-waktu ini adalah mencari pakaian baru.

    Sebaiknya membeli mengikut kemampuan masing-masing malah tidak semestinya semua perlu serba baru.

    Namun, ada yang nekad melakukah jenayah semata-mata untuk mendapatkan yang baru pada Hari Raya.

    SURI RUMAH CURI DOMPET SEORANG NENEK

    Seorang suri rumah di Palembang Indonesia mencuri dompet seorang nenek yang bernama Hajah Rokiah semasa beliau sedang memilih baju muslimah di sebuah kedai.

    Menurut maklumat yang diterima laman Merdeka.com, suspek bertindak semasa mangsanya sedang leka lantas dia melanggar mangsa sehingga mangsa hampir terjatuh sebelum mencuri dompet nenek berkenaan.

    Mujur pemilik kedai itu mula berasa curiga dan memberitahu mangsa, menyebabkan mangsa segera menjerit.

    Meskipun suspek cuba melarikan diri, dia akhirnya berjaya ditangkap dan berkata: ‘’Saya mahu membeli baju Hari Raya.’’

    TERTARIK JADI PENGEDAR DADAH DEMI WANG BELANJA HARI RAYA

    Dalam satu lagi kes berasingan, gara-gara terdesak mahukan wang untuk berbelanja sempena Aidilfitri, Erpin, 45 tahun sanggup menjadi pengedar dadah.

    Dia ditangkap semasa sedang berurus niaga di Jalan Taman Kenten, Palembang.

    Apabila polis memeriksanya, dia cuba menjatuhkan sebungkus plastik ke arah belakangnya namun diketahui oleh seorang pegawai.

    Menurut suspek, dadah tersebut adalah milik rakannya dan dia begitu terdesak memerlukan wang untuk membuat persiapan Hari Raya sehingga tertarik menjadi pengedar.

    SUSPEK CURI 4 KALI DARI KEDAI YANG SAMA

    Dalam kedua-dua insiden itu suspek sudahpun ditangkap, namun berlainan pula dengan satu lagi kes di mana suspek masih berleluasa malah perbuatannya mencuri hanya diketahui setelah telefon bimbit pemilik kedai pakaian hilang dan mereka memutuskan untuk melihat rakaman CCTV.

    Menerusi rakaman CCTV, salah seorang pekerja kedai Toko Rahmad Ilahi yang sibuk dengan orang ramai yang sedang berbelanja sempena Aidilfitri itu berkata, seorang lelaki yang mencurigakan dilihat memasuki kedai tersebut.

    Oleh kerana kedatangannya ke kedai itu tidak disedari keempat-empat pekerja kedai, suspek mencuri sebanyak empat kali dari kedai yang sama.

    “Menerusi rakaman kami lihat lelaki itu pada mulanya memasuki kedai dan mengambil beberapa set pakaian kanak-kanak, yang kedua mengambil rok, yang ketiga mengambil sepasang seluar dan yang keempat telefon bimbit serta pakaian lain,” menurut Anwar, pemilik Toko Rahmad Ilahi, seperti yang ditukil Antara.

    Beliau sudahpun membuat aduan polis berhubung insiden itu.

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Bekas Penyanyi XPDC Mengaku Tidak Bersalah Miliki Dadah

    Bekas Penyanyi XPDC Mengaku Tidak Bersalah Miliki Dadah

    JOHOR BAHRU: Bekas penyanyi kumpulan rok terkenal XPDC, Mael, 48 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan memiliki dadah, Mac lalu.

    Turut mengaku tidak bersalah semalam (18 Apr) adalah dua rakan Mael, yang nama sebenarnya ialah Syed Ismail Syed Ibrahim. Dua rakannya itu ialah Hafiszudin Mokhtar, 31, dan Razali Shapie, 43.

    Seorang lagi rakan mereka, Chairil Anwar Yaacob, 29, pula mengaku bersalah di atas pertuduhan pindaan itu dan dijatuhi hukuman penjara 10 bulan bagi pertuduhan pertama dan penjara sembilan bulan bagi pertuduhan kedua, dari tarikh tangkapan pada 7 Mac 2016.

    Mengikut pertuduhan pindaan itu, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama memiliki dadah jenis heroin seberat 0.46 gram dan jenis Monoacetylmorphines seberat 0.06 gram di sebuah rumah di Jalan Kim Kee, kira-kira 4.00 petang pada 7 Mac lalu.

    Kesemua mereka dituduh mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta itu, yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM100,000 (S$34,600) atau maksimum penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Majistret Muhammad Hidayat Wahab membenarkan jaminan RM8,500 setiap seorang dengan dua penjamin terhadap kesemua tertuduh, dan menetapkan 3 Mei depan untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azfahanim Rajaluddin manakala kesemua tertuduh termasuk Mael tidak diwakili peguam.

    Source: http://berita.mediacorp.sg