Buang Tatu, Nasihat Guaman, Antara Program Bantu Pesalah Dadah Pulang Ke Masyarakat

Bekas pesalah dadah akan mendapat bantuan untuk berintegrasi kembali ke dalam masyarakat.

Persatuan Anti Narkotik Singapura (SANA) menubuhkan sebuah pusat sebagai projek perintis pada Januari tahun lalu dan akan dilancarkan minggu depan.

Para kaunselor di Step-Up Centre di Sengkang akan menilai keperluan bekas pesalah.

Menurut SANA, antara cabaran utama bagi bekas pesalah dadah termasuk mencari pekerjaan dan mendapat bantuan kewangan.

“Antara program yang akan kami adakan di sini adalah program untuk meningkatkan keupayaan mereka dari segi kemahiran. Salah satu adalah kemahiran untuk menggunting rambut. Di mana program ini akan menyediakan latihan percuma untuk mereka yang berminat. Dan setelah itu mereka akan diberikan peluang pekerjaan bersama syarikat yang memberikan latihan itu,” kata salah seorang kaunselor SANA Mohd Fahmi Ahmad Abu Bakar.

Mereka yang memerlukan bantuan kewangan pula akan mendapat kad Kopitiam dan Ez-Link bernilai $20.

Bantuan lain termasuk program membuang tatu bersubsidi dan konsultasi undang-undang percuma berkenaan isu seperti hak penjagaan anak.

“Nampak ada program membuang tatu, jadi saya sertai. Kemudian dua kali sebulan, nak kena datang kaunseling untuk buang tatu,” salah seorang bekas penagih dadah memberitahu BERITAMediacorp.

Pusat tersebut menerima 339 kes tahun lalu dan dijangka bertambah kepada lebih 500 kes tahun ini.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *