Tag: dana

  • Aktivis Tahar Jumaat Kumpul S$23,000 Demi Pelarian, Lebih Seganda Dari Sasaran Asal

    Aktivis Tahar Jumaat Kumpul S$23,000 Demi Pelarian, Lebih Seganda Dari Sasaran Asal

    Sasaran beliau ialah untuk mengumpul S$10,000 bagi membantu pelarian yang melarikan diri ke Eropah untuk mendapatkan perlindungan.

    Namun berkat kegigihan Encik Mohamad Tahar Jumaat berulang alik berjalan kaki di Singapura, sumbangan derma orang ramai datang melimpah-ruah sehingga melebihi S$23,000 sehingga setakat hari Jumaat (20 Jan).

    Malah, dua sumbangan individu terbesar yang diterimanya ialah sebanyak S$10,000 dan S$2,000. Kedua-duanya, menurut beliau, adalah daripada individu yang tidak beliau kenali sama sekali.

    Jumlah ini terkumpul hasil kempen ‘100km March for Refugees Winter Aid – Singapore’ yang diasaskannya melalui berjalan kaki sejauh 100km serata Singapura bagi mengumpul dana dan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang nasib pelarian dari pelbagai negara yang masih berlindung di pulau Losvos, Greece pada musim sejuk ini.

    Beliau mula berjalan kaki pada pagi Rabu (18 Jan) dan berjaya menamatkannya Khamis, sekitar 1.00 tengah hari (19 Januari), tanpa berbekalkan makanan, minuman ataupun wang.

    WAWANCARA LANGSUNG: Setelah berjaya lengkapkan perjalanan jauh demi membantu pelarian, hari ini Encik Tahar Jumaat membawa rakan-rakannya berjalan demi orang memerlukan di S’pura pula. Ikuti wawancara langsung bersama mereka sekarang Laporan selanjutnya di: http://berita.mediacorp.sg/mobilem/singapore/aktivis-tahar-jumaat-kumpul-23-000-demi-pelarian-seganda-lebih/3455006.html

    Posted by BERITAMediacorp on Friday, 20 January 2017

     

    PELBAGAI DUGAAN TAPI NIKMAT TIDAK TERHINGGA

    Kilat yang sabung-menyabung di tanah lapang Lim Chu Kang dan berjemur di bawah terik mentari serta bersengkang mata sepanjang malam adalah antara cabaran yang diharungi Encik Tahar sepanjang perjalanannya selama 30 jam.

    Sungguhpun demikian, beliau masih sempat menguntum senyuman semasa ditemui BERITAMediacorp walaupun berjalan terhincut-hincut.

    Namun, di sebalik keperitannya itu, beliau sempat bercerita tentang kenikmatan yang dikecapi dan pengalaman ini amat disyukurinya.

    Salah satu nikmat itu ialah apabila seorang pekerja asing yang tidak berfikir dua kali untuk memberikan air kepadanya, walaupun pekerja itu sendiri sedang berhempas pulas bekerja di bawah terik sang suria.

    “Apabila saya meminta sedikit air dari botolnya, beliau tidak bagi, kerana beliau kata air itu tidak dingin lagi. Lalu dia pun ambilkan air yang lebih dingin,” kenang Encik Tahar tentang sifat murah hati pekerja asing itu.

    Selain pekerja asing itu, ada juga beberapa anggota masyarakat yang memberi makanan kepada beliau pada sebelah malam dan awal pagi.

    KAWAN SEKOLAH TURUT BERAMAL

    Bagi aktivis yang sudah lebih sedekad menabur jasa dalam bidang bantuan kemanusiaan itu, ternyata semangatnya begitu kental sekali.

    Tidak cukup berjalan jauh untuk membantu pelarian di Eropah, Encik Tahar hari ini sekali lagi berjalan kaki untuk tujuan amal – kali ini untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang badan kemanusiaan Free Food for All (FFFA).

    Rancangan asalnya adalah untuk terus berjalan kaki sejauh 100km lagi di serata Singapura bagi kempen ini.

    Namun pihak FFFA dan Encik Tahar bersetuju untuk menundakan usaha murni itu pada kesempatan lain dan digantikan dengan acara berjalan sejauh 2.5 km ke salah sebuah tempat pengagihan makanan FFFA di Boon Lay.

    Kelebihannya ialah Encik Tahar ditemani isterinya dan rakan-rakan lama dari maktab rendah Tampines, yang beliau kenali sejak 28 tahun lalu.

    Ada yang sanggup mengambil cuti demi memberi sokongan. Malah, ada juga yang membawa keluarga untuk turut serta.

    (Gambar: Taufiq Hussein Zalizan)

    Antaranya ialah Encik Mohamad Adzman, yang membawa anaknya Arif, yang baru berumur enam tahun untuk turut serta.

    Seorang lagi alumni maktab itu yang turut turun padang ialah Cik Rohani Ibrahim, yang hilang daya penglihatan pada kedua-dua belah mata sejak 2010.

    Menurut Cik Rohani, keadaan beliau yang tidak dapat melihat itu tidak sekali-kali mematahkan semangatnya untuk menyokong kerja amal rakan lamanya itu.

    KERJA AMAL DITERUSKAN TANPA JEMU

    Walaupun kakinya sudah lenguh-lenguh disebabkan perjalanannya tadi, namun tangan Encik Tahar belum mengenal erti penat untuk mengagih-agihkan makanan kepada para penghuni flat sewa di kawasan Boon Lay petang tadi.

    Menurut salah seorang sukarelawan yang ditemui, sekitar 300 bungkus makanan sudah diagih-agihkan.

    Apabila ditanya tentang rancangan beliau selanjutnya, Encik Tahar berkata bahawa beliau dan isteri akan ke Losvos pada Februari ini untuk menghulurkan sendiri dana yang berjaya dikumpul.

    Tetapi buat masa terdekat ini, beliau akan bertemu rakannya Encik Adzman, yang secara kebetulannya mahir mengurut badan untuk mengurangkan kepenatannya sebelum meneruskan lagi perjuangan murninya itu.

    Source: BeritaMediacorp

  • Nasi Lemak Wak Kentut Antara 40 Nasi Lemak Terbaik Malaysia

    Nasi Lemak Wak Kentut Antara 40 Nasi Lemak Terbaik Malaysia

    KUALA LUMPUR: Nasi Lemak, gabungan citarasa pelbagai kaum, menjadi hidangan yang digemari semua lapisan masyarakat.

    Malah, makanan itu turut mendapat tempat di hati pelancong asing.

    Namun, Nasi Lemak dari kawasan yang berbeza mempunyai keunikannya tersendiri sama ada dari segi rasa dan cara penyediaannya.

    INISIATIF ‘I EAT NASI LEMAK’

    Bagi memperkenalkan keunikan itu, FriedChilies mengambil inisiatif memperkenalkan program ‘I Eat Nasi Lemak’ yang mengumpulkan 40 penjual atau pembekal nasi lemak terbaik dari seluruh Malaysia.

    Acara yang dianjurkan buat kali ketiga dan bermula pada pukul 9.00 pagi dan berakhir 5.00 petang tadi (5 Nov). Pesta nasi lemak itu berjaya menarik kehadiran sekuarng-kurangnya 15,000 penggemar hidangan tersebut ke Pusat Konvensyen TM.

    Salah satu perniagaan nasi lemak, Nasi Lemak Angah. (Gambar: FB FriedChilies)

    Ketua Pegawai Eksekutif FriedChilies, Mohd Adly Rizal berkata lebih 100 perniagaan nasi lemak dari seluruh negara dinilai sebelum dipilih bagi menyertai acara itu tahun ini.

    “Kami mengambil masa tiga bulan mencari dan mencuba nasi lemak untuk dapatkan 40 yang terbaik,” katanya kepada Bernama.

    KENTUT BUKAN SEBARANG KENTUT

    Encik Mohd Adly berkata antara ‘hero’ nasi lemak yang dibawa khas daripada luar Kuala Lumpur adalah Nasi Lemak Wak Kentut (Kulai), Nasi Lemak Ujong Pasir dari Melaka, Nasi Lemak Habib (Batu Pahat), dan Che Pah Corner.

    “Kami menjangkakan lebih 38,000 pinggan nasi lemak termasuk lauk disediakan bagi acara ini,” katanya.

    Nasi Lemak Wak Kentut antara gerai yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung dalam program ‘I Eat Nasi Lemak’ itu.

    Pengunjung yang beratur panjang untuk mencuba nasi lemak Wak Kentut. (Gambar: FB FriedChilies)

    PEMBELI TETAP MAHUKAN ‘KENTUT’

    Menurut pengusahanya Suhirah Sabarin, 39 tahun, perniagaan dan nama unik itu diwarisi daripada bapanya yang diberi gelaran Wak Kentut oleh penduduk sekitar Kulai, Johor.

    “Kami pernah mahu menukar nama, namun pelanggan tetap kami tidak setuju kerana nama itu sudah sebati dalam ingatan mereka.

    “Keistimewaannya adalah nasi lemak itu sendiri diperbuat daripada santan asli yang menjadikannya lebih lemak dan wangi, selain ayam goreng rangup,” katanya.

    Ayam goreng di gerai nasi lemak Warung Rindu. (Gambar: FB FriedChilies)

    NASI LEMAK BANTU GOLONGAN MISKIN

    Bagi pengasas ‘The Nasi Lemak Project’, Mastura M.Rashid, 26 tahun, menjual nasi lemak bukan hanya semata-mata mahu mengaut keuntungan, tetapi beliau turut membantu golongan miskin di bandar memulakan perniagaan mereka.

    “Di bawah projek ini, kami menggalakkan pendapatan isi rumah kurang daripada
    RM900 (S$290) sebulan mempelajari cara memasak dan berniaga nasi lemak bagi menampung kehidupan daif mereka.

    “Kami turut menjalankan perniagaan nasi lemak secara dalam talian, keuntungan itu digunakan dalam kerja-kerja amal membantu gelandangan dengan memberi tuisyen kepada kanak-kanak setinggan dan Projek Perumahan Rakyat,”
    katanya.

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Mohd Khair: Madrasah Wak Tanjong Perlukan Dana $12 Juta, Pertimbangan Diperlukan

    Mohd Khair: Madrasah Wak Tanjong Perlukan Dana $12 Juta, Pertimbangan Diperlukan

    Madrasah Wak Tanjong memerlukan SGD12juta

    Amat menyentuh hati sekali apabila ramai yang mahu membantu pihak Madrasah Wak Tanjong mengumpul dana SGD12juta itu.

    Namun, walau apapun cara untuk mengumpul dana, beberapa perkara asas mungkin perlu diberikan pertimbangan:

    1. Persaingan (Competition): Terdapat beberapa projek lain dalam masyarakat yang juga memerlukan dana dalam pelbagai saiz. Ada yang memerlukan lebih dari SGD12juta bagi satu projek.

    2. Andaian (Assumption): Periksa pemahaman kita terhadap pasaran. Nilai semula andaian-andaian yang boleh jadi blindspot sehingga usaha mengumpul dana mengalami lebih friction dan kurang traction.

    3. Perkara Hati (Matters of the Heart): Kerja-kerja mengumpul dana memerlukan lebih usaha untuk menyentuh hati dan bukan setakat menarik perhatian akal. Pendekatan lebih bersifat affective diperlukan, dan bukan setakat cognitive.

    4. Kenapa ini dan bukan itu? (Why this and not that?): Mahu tidak mahu, sesiapapun yang kumpul dana, perlu tangani persoalan ini – “kenapa mesti saya derma di sini dan bukan di sana?” Apakah “compelling story” yang boleh disajikan kepada pasaran penderma?

    5. Kreativiti & Tenaga (Creativity & Sustainability): Apakah LAGI yang perlu dilakukan untuk terus kekal relevan di sepanjang tempoh pengumpulan dana agar pasaran penderma tidak berasa jemu? Perlu kreatif untuk sentiasa segar dan dapat terus bertahan dalam pasaran.

    (kalau projek ini ada kabel kuat, pendekatannya berlainan sedikit)

     

    Source: Mohd Khair

  • Masjid Dan Yayasan Rahmatan Lil Alamin Pungut Dana Bantu Mangsa Gempa Bumi Nepal

    Masjid Dan Yayasan Rahmatan Lil Alamin Pungut Dana Bantu Mangsa Gempa Bumi Nepal

    Semua masjid di sini, dengan kerjasama Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), akan menganjurkan satu usaha pungutan dana khas bagi membantu mangsa gempa bumi di Nepal.

    Orang ramai boleh memberi sumbangan menerusi wang tunai, cek atau secara dalam talian mulai hari ini.

    “… masyarakat Islam Singapura berdoa agar mangsa dan masyarakat di kawasan terjejas Nepal akan diberi kekuatan dan daya ketahanan untuk berhadapan dengan keadaan tragik dan mencabar ini,” kata RLAF dalam kenyataannya semalam.

    Cek harus dibuat atas nama ‘RLAF’ dengan kata-kata ‘Koleksi Khas bagi Mangsa Gempa Bumi di Nepal’ ditulis di belakangnya.

    Sumbangan dalam bentuk wang tunai dan cek harus dihantar ke Bangunan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) di Hab Islam Singapura di 273, Braddell Road, Singapore 579702.

    Sumbangan menerusi dalam talian boleh dibuat dengan melungsuri laman http://www.muis.gov.sg/Services/e-services.html.

    Di samping itu, kotak derma RLAF, yang ditandakan dengan kata-kata “Koleksi Khas bagi Nepal”, akan diletakkan di semua 68 masjid bermula Jumaat ini hingga Khamis depan.

    Sumbangan itu akan disalurkan kepada Mercy Relief, yang menghantar sebuah pasukan bagi memberi bantuan kepada mangsa di Nepal.

    Badan-badan lain turut mengadakan pungutan derma bagi membantu mangsa gempa bumi di Nepal.

    Ini termasuk Palang Merah Singapura (SRC) dan Badan Agama dan Pelajaran Radin Mas (Bapa).

    Angka korban akibat gempa bumi berukuran 7.8 skala Richter yang melanda Nepal pada hari Sabtu itu telah meningkat kepada 3,726 orang, kata seorang jurucakap polis Nepal.

    Pasukan penyelamat di Nepal masih meneruskan usaha mencari mangsa terselamat dalam kejadian dengan menggali sisa runtuhan di ibu kota Kathmandu.

    Tragedi itu juga menyebabkan mereka yang terselamat terpaksa bermalam di jalanan dan membuat khemah di kawasan terbuka.

    Situasi di hospital menjadi sesak sehingga pasukan perubatan terpaksa membina khemah di luar bangunan bagi merawat pesakit.

    Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) telah mengerahkan tiga pesawat C-130 Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) bagi menghantar kumpulan pegawainya dan pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) serta Pasukan Polis Singapura (SPF) melaksanakan usaha bantuan di Nepal.

    Bagaimanapun, Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, menulis di Facebook semalam, berkata tiga pesawat tersebut tidak dapat mendarat di Kathmandu kerana kesesakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kathmandu Tribhuvan.

    Dua pesawat itu telah mendarat di Calcutta, India, dan satu lagi di Patna, India.

     

    Source: http://beritaharian.sg