Masjid Dan Yayasan Rahmatan Lil Alamin Pungut Dana Bantu Mangsa Gempa Bumi Nepal

Semua masjid di sini, dengan kerjasama Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), akan menganjurkan satu usaha pungutan dana khas bagi membantu mangsa gempa bumi di Nepal.

Orang ramai boleh memberi sumbangan menerusi wang tunai, cek atau secara dalam talian mulai hari ini.

“… masyarakat Islam Singapura berdoa agar mangsa dan masyarakat di kawasan terjejas Nepal akan diberi kekuatan dan daya ketahanan untuk berhadapan dengan keadaan tragik dan mencabar ini,” kata RLAF dalam kenyataannya semalam.

Cek harus dibuat atas nama ‘RLAF’ dengan kata-kata ‘Koleksi Khas bagi Mangsa Gempa Bumi di Nepal’ ditulis di belakangnya.

Sumbangan dalam bentuk wang tunai dan cek harus dihantar ke Bangunan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) di Hab Islam Singapura di 273, Braddell Road, Singapore 579702.

Sumbangan menerusi dalam talian boleh dibuat dengan melungsuri laman http://www.muis.gov.sg/Services/e-services.html.

Di samping itu, kotak derma RLAF, yang ditandakan dengan kata-kata “Koleksi Khas bagi Nepal”, akan diletakkan di semua 68 masjid bermula Jumaat ini hingga Khamis depan.

Sumbangan itu akan disalurkan kepada Mercy Relief, yang menghantar sebuah pasukan bagi memberi bantuan kepada mangsa di Nepal.

Badan-badan lain turut mengadakan pungutan derma bagi membantu mangsa gempa bumi di Nepal.

Ini termasuk Palang Merah Singapura (SRC) dan Badan Agama dan Pelajaran Radin Mas (Bapa).

Angka korban akibat gempa bumi berukuran 7.8 skala Richter yang melanda Nepal pada hari Sabtu itu telah meningkat kepada 3,726 orang, kata seorang jurucakap polis Nepal.

Pasukan penyelamat di Nepal masih meneruskan usaha mencari mangsa terselamat dalam kejadian dengan menggali sisa runtuhan di ibu kota Kathmandu.

Tragedi itu juga menyebabkan mereka yang terselamat terpaksa bermalam di jalanan dan membuat khemah di kawasan terbuka.

Situasi di hospital menjadi sesak sehingga pasukan perubatan terpaksa membina khemah di luar bangunan bagi merawat pesakit.

Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) telah mengerahkan tiga pesawat C-130 Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) bagi menghantar kumpulan pegawainya dan pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) serta Pasukan Polis Singapura (SPF) melaksanakan usaha bantuan di Nepal.

Bagaimanapun, Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, menulis di Facebook semalam, berkata tiga pesawat tersebut tidak dapat mendarat di Kathmandu kerana kesesakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kathmandu Tribhuvan.

Dua pesawat itu telah mendarat di Calcutta, India, dan satu lagi di Patna, India.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *