Tag: Madrasah Aljunied

  • Pembahas Madrasah Aljunied Menang Anugerah Pembahas Terbaik Di Qatar

    Pembahas Madrasah Aljunied Menang Anugerah Pembahas Terbaik Di Qatar

    Pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Nazihah Mohamad Pauzi berjaya menjulang anugerah pembahas terbaik dalam Kejohanan Bahas Antarabangsa di Doha, Qatar baru-baru ini.

    Tiga anugerah pembahas terbaik dari kalangan negara-negara bukan Arab diberikan, dan Nazihah merupakan salah seorang penerimanya.

    Kesemuanya, empat pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah mewakili Singapura dalam kejohanan tersebut, iaitu Harithatunnu’man Hasbi, Muhammad Hariz Ramli, Humaira Julfikar Khan dan Nazihah Mohamad Pauzi.

    Ini adalah kali kedua Madrasah Aljunied diundang untuk mengambil bahagian dalam kejohanan bahas dwi-tahunan itu, yang diadakan dalam Bahasa Arab.

    PENCAPAIAN MEMBANGGAKAN

    Pencapaian Nazihah selaku Pembahas Terbaik boleh dibanggakan kerana ia menunjukkan mutu pendidikan madrasah di Singapura. Ini sehinggakan ia berjaya melahirkan pelajar yang mempunyai bakat dan potensi yang besar, serta mampu menguasai pelbagai bahasa khususnya Bahasa Arab.

    Semasa dihubungi BERITAMediacorp, Nazihah berkongsi pengalaman bertutur bahasa Arab di sana.

    “Ia satu pendedahan bagi saya terhadap berbual dalam Bahasa Arab kerana pengalaman berbual Bahasa Arab antara kami di sekolah itu lain daripada kami berbual dengan mereka (para peserta negara lain). Jadi itu pun telah memperbaiki perbualan saya dalam Bahasa Arab,” kata Nazihah.

    Dia juga mengambil peluang tersebut dan menjadikannya sebagai latihan untuk bertutur dalam bahasa Arab secara berkesan.

    “Jika kita belajar tetapi tidak mempraktikkannya, ia akan menjadi susah. Memang mencabar untuk berbual dalam Bahasa Arab tapi saya menjadikannya satu motivasi untuk berbual dalam Bahasa Arab,” kata Nazihah lagi, kepada pihak kami.

    Nazihah kemudian berkata, dia menghargai pelbagai usaha pihak madrasah untuk menanamkan rasa sayang akan bahasa Arab.

    Walaupun demikian dia mengakui, menggunakan bahasa Arab dengan kumpulan penutur asli memang bukan mudah: “Ia memang sangat susah tetapi ia pengalaman yang amat baik.”

    PASUKAN S’PURA MENANG 1, KALAH 4

    Di peringkat saringan, pasukan dari Singapura itu mengalahkan Croatia tetapi tewas di tangan India, Kuwait, Ukraine dan Brazil. Ini menyebabkan mereka gagal mara ke peringkat suku akhir.

    Pada tahun ini, 53 negara mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut, khususnya negara-negara Arab dan Teluk.

    Negara-negara bukan Arab yang turut mengambil bahagian termasuk Amerika Syarikat, Britain, Croatia, Ukraine, Bosnia, Malaysia, Turki dan Singapura.

    Tuan rumah Qatar muncul sebagai juara dalam kejohanan bahas ini, manakala Syria adalah naib johan.

    Pasukan Madrasah Aljunied itu berada di Qatar dari 10 April sehingga 13 April untuk menyertai kejohanan tersebut. Mereka diiringi oleh pembimbing mereka, Ustaz Mohamad Nasrullah Refa’ie.

    Source: Berita MediaCorp

  • Dari Madrasah Ke Poly, Kini Ke NUS Ikuti Pengajian Perubatan

    Dari Madrasah Ke Poly, Kini Ke NUS Ikuti Pengajian Perubatan

    Dua lulusan madrasah yang memilih laluan politeknik mencipta sejarah apabila ditawarkan tempat di Sekolah Perubatan Yong Loo Lin, Universiti Nasional Singapura (NUS) baru-baru ini.

    Encik Ahmad Abdurrahman Hanifah Marican, 20 tahun, lulusan Madrasah Aljunied Al-Islamiah, ialah pelajar cemerlang kursus Diploma Sains Bioperubatan daripada Politeknik Singapura.

    Lulusan Politeknik Temasek, Cik Amalina Ridzuan, 22 tahun, pula bekas pelajar Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah yang meraih Pingat Emas Sysmex Asia Pacific bagi kursus Diploma Sains Bioperubatan.

    Tahun lalu, lulusan sains bioperubatan Politeknik Republic, Cik Noor Ahmed Alkaff, merupakan pelajar politeknik Melayu pertama diterima masuk ke Fakulti Perubatan NUS.

    Mengulas pencapaian ini, Cik Noor berkata: “Saya teruja kerana kejayaan mereka menunjukkan bahawa latar belakang pengajian bukan hambatan asal kita bermotivasi berusaha.”

     

    Source: http://beritaharian.sg

  • Bekas Pelajar Madrasah Aljunied Terima Ijazah Kepujian Kelas Pertama NUS

    https://www.facebook.com/faizal.binabdulaziz
    https://www.facebook.com/faizal.binabdulaziz

    DARI madrasah ke universiti ulung dunia. Demikian pencapaian Encik Faizal Abdul Aziz, 26 tahun, yang juga merupakan antara 1 peratus pelajar terbaik kohortnya bagi tahun terakhir pengajiannya di Universiti Nasional Singapura (NUS). Bekas pelajar Madrasah Aljunied itu, yang mengambil jurusan utama ilmu alam, menerima ijazahnya dengan kepujian kelas pertama di majlis konvokesyen NUS semalam.

    Beliau, yang meraih Gred Purata Mata (GPA) 4.89 mata daripada GPA penuh 5 mata, turut dianugerahkan Pingat Emas Lee Kuan Yew dan Pingat Emas Persatuan Ilmu Alam NUS. Atas kecemerlangannya, beliau turut dipilih menyampaikan ucapan perpisahan (valedictory speech) di majlis konvokesyen NUS pada hari ini.

    Encik Faizal juga menerima tawaran melanjutkan pengajiannya ke peringkat sarjana di Universiti Cambridge di United Kingdom tetapi buat masa ini, beliau ingin meraih pengalaman kerja buat beberapa tahun dahulu.

    “Ibu bapa saya bimbang apabila saya beritahu mereka saya hendak meninggalkan madrasah… mungkin kerana mereka ada rancangan lain untuk saya. Tetapi apabila mereka lihat saya bekerja keras untuk terus mencapai keputusan cemerlang kerana tidak ingin menghampakan mereka, mereka bertambah yakin dengan keputusan saya,” kata anak bongsu daripada keluarga dua beradik itu.

    Ibunya merupakan pegawai pentadbiran, sementara bapanya bertugas sebagai pegawai logistik. Encik Faizal yang menuntut di madrasah selama 10 tahun sejak di peringkat sekolah rendah meninggalkan madrasah pada usia 16 tahun untuk menduduki peperiksaan GCE Peringkat ‘O’ sebagai calon privet. Ketika itu, kebanyakan mata pelajaran yang diambilnya seperti biologi, fizik, kimia, pengajian sosial, ilmu alam dan perdagangan adalah asing baginya.

    Namun dengan bimbingan guru tuisyen dan kegigihannya mengulang kaji pelajaran sendiri, beliau mencapai keputusan cemerlang bagi peperiksaan tersebut yang melayakkannya memasuki Maktab Rendah Catholic (CJC).

    “Saya rasa kekurangan berbanding teman-teman lain kerana banyak subjek yang saya ambil, saya tak belajar di madrasah, jadi saya terpaksa berusaha lebih keras,” ujarnya.

    Encik Faizal merupakan antara 10,233 lulusan yang menerima ijazah mereka dalam majlis konvokesyen di NUS yang berlangsung sejak semalam hingga Selasa depan.

    Ketika baru memasuki NUS, Encik Faizal berkata beliau tidak menetapkan matlamat menjadi pelajar terbaik tetapi setakat hendak melakukan yang terbaik supaya dapat cari pekerjaan yang baik selepas tamat pengajian demi membanggakan keluarganya.

    Malah, beliau tidak pernah mendengar tentang Senarai Dekan, satu anugerah yang diberikan kepada 5 peratus pelajar terbaik setiap kohort, sehingga dimasukkan ke dalam senarai itu buat kali pertama pada tahun pertama pengajiannya. Semasa di tahun kedua pengajiannya, Encik Faizal juga merupakan antara empat pelajar NUS yang dipilih mengikuti pengajian di Universiti North Carolina Chapel Hill di Amerika Syarikat selama setahun di bawah satu program ijazah bersama yang dikendali bersama universiti itu dengan NUS.

    “Bagi saya, apa yang penting adalah disiplin diri dan untuk terus mendorong diri kerana saya tidak mahu pulang dengan tangan kosong. Saya juga suka bersaing dengan diri saya, dan ingin melakukan lebih baik dalam setiap semester berbanding semester yang lalu,” ujarnya.

    Source: http://beritaharian.sg/setempat/terus-cemerlang-biarpun-tinggalkan-madrasah

    letters to R1C banner

    YOUTUBE: youtube.com/user/rilek1corner

    FACEBOOK: facebook.com/rilek1corner

    TWITTER: twitter.com/Rilek1Corner

    WEBSITE: rilek1corner.com

    EMAIL: [email protected]

    FEEDBACK: rilek1corner.com/hubungir1c/