Tag: Malaysia

  • Myanmar Haramkan Pekerjanya Dari Ke Malaysia Sedang Krisis Rohingya Meruncing

    Myanmar Haramkan Pekerjanya Dari Ke Malaysia Sedang Krisis Rohingya Meruncing

    Myanmar sudah mengharamkan para pekerjanya daripada ke negara jiran, Malaysia, setelah hubungan antara kedua-dua negara itu menjadi buruk ekoran isu pembunuhan Muslim di Rohingya.

    Langkah itu diambil selepas Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak mengeluarkan kata-kata keras terhadap pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi kerana “membenarkan pembunuhan kaum” berlaku di wilayah Rakhine, dalam ucapannya di satu rapat Ahad lalu di Kuala Lumpur yang dihadiri ribuan orang.

    Perhimpunan itu bagi membantah tindakan ketenteraan terhadap wilayah Rakhine di Myanmar yang memaksa lebih 20,000 Muslim Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

    Mereka yang terselamat memberitahu AFP bahawa orang-orang Rohingya dirogol beramai-ramai, diseksa dan dibunuh oleh pasukan-pasukan keselamatan Myanmar, sementara puluhan orang mati ketika cuba menyeberangi sungai yang memisahkan Myanmar dengan Bangladesh.

    Myanmar, yang kebanyakan penduduknya beragama Buddha, sudah lama mendiskriminasi terhadap orang-orang Rohingya yang tidak mempunyai kerakyatan, dan krisis baru-baru ini mencetuskan tunjuk-tunjuk perasaan di negara-negara Islam di serata rantau ini, termasuk di Malaysia.

    “Kami mahu memberitahu Aung San Suu Kyi, cukup setakat ini…Kami mesti dan akan mempertahankan orang Islam dan Islam. Dunia tidak boleh berdiam diri dan menyaksikan pembunuhan kaum berlaku,” kata PM Najib dalam ucapan berapi-apinya kepada 5,000 peserta rapat pada Ahad lalu itu.

    Seorang menteri Malaysia juga menyeru agar keanggotaan Myanmar dalam blok ASEAN disemak.

    Para pegawai Myanmar menafikan dakwaan pencabulan kuasa dan Cik Suu Kyi memberitahu masyarakat antarabangsa supaya jangan mengapi-apikan keadaan.

    HENTI KELUARKAN LESEN BARU BAGI WARGA BEKERJA DI M’SIA

    Lewat semalam (6 Dis), kementerian imigresen Myanmar menyatakan ia sudah berhenti mengeluarkan lesen-lesen baru bagi para warganya untuk bekerja di Malaysia – yang selama bertahun-tahun merupakan destinasi popular bagi para pekerja asing.

    “Myanmar sudah buat sementara berhenti menghantar pekerja ke Malaysia mulai 6/12/2016 disebabkan situasi sekarang ini di Malaysia,” menurutnya dalam satu kenyataan, tanpa mengulas lanjut.

    Malaysia kini mengambil puluhan ribu pekerja Myanmar, yang kebanyakannya mengambil pekerjaan bergaji rendah di kilang-kilang atau di industri makanan dan pelayanan.

    Menurut Malaysia, sekitar 56,000 orang Rohingya sudah tiba di negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan ramai sanggup melakukan perjalanan bot yang penuh bahaya untuk melarikan diri dari kemiskinan dan diskriminasi di wilayah Rakhine.

    Namun semalam, mantan ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Kofi Annan, yang mengetuai suruhanjaya tentang Rakhine, memberitahu para wartawan bahawa beliau berpendapat krisis itu tidak akan memecahbelahkan rantau ini.

    “Saya rasa ini boleh dikawal. Ada kemungkinan apa yang sedang berlaku ini boleh dibendung,” katanya dalam satu sidang media di Yangon pada akhir lawatan selama seminggu.

    Source: Berita MediaCorp

  • Pesakit Mental Sembuh Dengar Lagu Anuar Zain

    Pesakit Mental Sembuh Dengar Lagu Anuar Zain

    Penyanyi Anuar Zain mempercayai sesebuah lagu mampu menjadi terapi jiwa seandainya karya yang diketengahkan itu mempunyai kualiti dan nilai sentimentalnya sendiri.

    mStar Online melaporkan Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, 46 tahun, berkata kakaknya iaitu Ziana Zain pernah menceritakan seorang suami yang merupakan pesakit mental sembuh penyakit itu setelah mendengar lagu-lagunya yang berjaya memberi inspirasi buat dia.

    “Tak tergambar perasaan saya apabila mendengar kisah itu di mana si isteri menyatakan suaminya yang pernah ditahan di wad pesakit mental beransur-ansur pulih setelah mendengar lagu-lagu dari sebuah album lama saya ketika berada di wad.

    “Cerita itu benar-benar memberi inspirasi kepada saya sekali gus mengubah persepsi saya selama ini bahawa fungsi sesebuah lagu itu tidaklah sekadar satu hiburan untuk peminat malah terapi jiwa bergantung pada situasi dan keadaan,” katanya kepada mStar Online.

    Anuar ditemui di majlis sidang media mengenai persembahannya iaitu Yonder Music Life Series By The Lake: Anuar & You di Le Meridien Kuala Lumpur, pada Isnin (5 Dis).

    Source: Berita MediaCorp

  • Najib Main Wayang Kulit Di Himpunan Solidariti Ummah?

    Najib Main Wayang Kulit Di Himpunan Solidariti Ummah?

    Kehadiran Datuk Seri Najib Razak ke Himpunan Solidariti Rohingya Ahad lalu menjadi tanda tanya kepada seluruh rakyat Malaysia bilamana media melaporkan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berada di Myanmar untuk membaiki hubungan Yangon-Kuala Lumpur berikutan perbalahan diplomatik kedua-dua negara.

    Menurut Myanmar Times, satu kenyataan telah dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Turus Angkatan Tentera Myanmar mengesahkan pertemuan itu.

    Presiden Myanmar, U Htin Kyaw juga dilaporkan bertemu dengan Zulkifeli untuk membincangkan operasi ketenteraan yang sedang berlangsung di Maungdaw dan Buthidaung negeri.

    “Jeneral Kanan Min Aung Hlaing memberitahu rakan sejawatannya dari Malaysia bahawa tiada pelanggaran hak asasi manusia dilakukan ke atas masyarakat etnik Rohingya yang beragama Islam itu.

    Susulan itu, timbul tanda tanya dari sesetengah pihak berhubung tujuan sebenar Perdana Menteri hadir ke himpunan tersebut.

    Sebelum ini, pemerintah Myanmar mengecam keras kehadiran Najib dalam Himpunan Solidariti Rohingya di Kuala Lumpur yang dihadiri oleh ribuan orang itu.

    Myanmar mengatakan kehadiran beliau melanggar prinsip ASEAN untuk tidak mencampuri urusan dalam negara anggota.

    “Saya tidak peduli. Apakah saya, pemimpin lebih dari 30 juta rakyat, diharapkan untuk menutup mata? Berdiam diri? Saya tidak akan melakukan itu,” tegas Najib.

    Malah, beliau berkata, Malaysia akan terus memberi tekanan kepada negara-negara ASEAN untuk menyelesaikan krisis kemanusiaan.

    Pakar mengenai hal ehwal ASEAN yang berpangkalan di Bangkok, Kavi Chongkittavorn berkata, tindakan Najib itu hanya merupakan usaha untuk mendapat sokongan daripada masyarakat Islam di Malaysia dan beliau menganggap keprihatinan beliau mampu memberi kesan melalui diplomasi bijaksana.

    Malah, Penasihat kepada bekas Presiden, U Thein Sein, U Ko Ko Hlaing, menuduh Najib mengeksploitasi isu ini untuk mengalihkan perhatian awam dari dakwaan rasuah yang dilemparkan terhadapnya.

     

    Source: IslamWeb

  • Pembangkang Malaysia Minta Pemeteraian HSR Ditangguh

    Pembangkang Malaysia Minta Pemeteraian HSR Ditangguh

    Perikatan pembangkang Malaysia, Pakatan Harapan, mahu pemeteraian perjanjian-perjanjian berhubung Kereta Api Laju (HSR) dengan pemerintah Singapura ditangguhkan.

    Ini sehingga satu kajian mendalam, kukuh dan telus dijalankan untuk membuktikan kemampanan projek tersebut.

    Para Anggota Parlimen (AP) dari Pakatan Harapan hari ini (6 Dis) menyatakan bahawa mereka mahu Malaysia bersikap terbuka tentang pendapatan yang mungkin diraih Malaysia hasil projek berkenaan dan bagaimana kos pembinaan akan ditanggung kedua-dua negara.

    “Projek itu melibatkan jumlah-jumlah besar kewangan negara, dan banyak tanah rakyat dijangka akan diambil kerajaan untuk membangunkan HSR.

    “Justeru, kerajaan tidak seharusnya merahsiakan maklumat tentang projek ini, seolah-olah ia negara Dunia Ketiga,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Sim Tze Tzin dari Parti Keadilan Rakyat, Hatta Ramli dari Parti Amanah Negara dan Ong Kian Ming dari DAP.

    Satu perjanjian tentang HSR dijangka dimeterai oleh Malaysia dan Singapura menjelang akhir tahun ini.

    Singapura dan Malaysia sudah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) tentang projek HSR itu pada Julai.

    Laluan kereta api sepanjang 350km itu dijangka menyingkatkan masa perjalanan antara Singapura dan Kuala Lumpur kepada sekitar 90 minit.

    Projek itu bukan sahaja akan meningkatkan keterhubungan dan memperkukuhkan hubungan ekonomi, malah kedua-dua pemerintah Singapura dan kerajaan Malaysia menyifatkannya sebagai bukti kerjasama dua hala yang rapat.

    Source: Berita MediaCorp

  • 1 Maut, 2 Cedera Dalam Nahas Di Pusat Pemeriksaan Tuas; Cetus Kesesakan Trafik Yang Panjang

    1 Maut, 2 Cedera Dalam Nahas Di Pusat Pemeriksaan Tuas; Cetus Kesesakan Trafik Yang Panjang

    Satu kemalangan yang berlaku di Pusat Pemeriksaan Tuas meragut satu nyawa dan mencederakan dua lagi orang pagi tadi (6 Dis), menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

    SCDF menyatakan ia mengerahkan sebuah ambulans ke tempat kejadian setelah menerima panggilan meminta bantuan pada 5.09 pagi.

    Seorang lelaki berusia 50-an tahun disahkan mati di tempat kejadian oleh para paramedik. Seorang wanita dan lelaki, yang kedua-duanya berusia 30-an tahun, dikejarkan ke Hospital Ng Teng Fong dalam keadaan sedar, tambah SCDF.

    Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada 9.39 pagi menyatakan nahas itu melibatkan tiga penunggang motosikal Malaysia.

    ICA sebelum ini menyatakan oleh kerana nahas itu berlaku semasa waktu sibuk sebelah pagi, kesesakan semakin memanjang dan para pemandu dijangka mengalami kelengahan.

    Pada sekitar 7.25 pagi, ICA mengemas kini maklumat mengenai kemalangan itu dengan mendedahkan bahawa nahas tersebut menjejas lorong bas dan lori di jambatan yang menghala masuk ke Singapura. Siasatan sedang diteruskan.

    Rakaman kamera trafik pada pukul 7.10 pagi menunjukkan kesesakan lalu lintas yang panjang, dengan sekurang-kurangnya tiga kenderaan polis dan sebuah khemah polis berwarna biru dipasang di tempat kejadian.

    Source: Berita MediaCorp