Tag: Malaysia

  • Nasi Lemak Wak Kentut Antara 40 Nasi Lemak Terbaik Malaysia

    Nasi Lemak Wak Kentut Antara 40 Nasi Lemak Terbaik Malaysia

    KUALA LUMPUR: Nasi Lemak, gabungan citarasa pelbagai kaum, menjadi hidangan yang digemari semua lapisan masyarakat.

    Malah, makanan itu turut mendapat tempat di hati pelancong asing.

    Namun, Nasi Lemak dari kawasan yang berbeza mempunyai keunikannya tersendiri sama ada dari segi rasa dan cara penyediaannya.

    INISIATIF ‘I EAT NASI LEMAK’

    Bagi memperkenalkan keunikan itu, FriedChilies mengambil inisiatif memperkenalkan program ‘I Eat Nasi Lemak’ yang mengumpulkan 40 penjual atau pembekal nasi lemak terbaik dari seluruh Malaysia.

    Acara yang dianjurkan buat kali ketiga dan bermula pada pukul 9.00 pagi dan berakhir 5.00 petang tadi (5 Nov). Pesta nasi lemak itu berjaya menarik kehadiran sekuarng-kurangnya 15,000 penggemar hidangan tersebut ke Pusat Konvensyen TM.

    Salah satu perniagaan nasi lemak, Nasi Lemak Angah. (Gambar: FB FriedChilies)

    Ketua Pegawai Eksekutif FriedChilies, Mohd Adly Rizal berkata lebih 100 perniagaan nasi lemak dari seluruh negara dinilai sebelum dipilih bagi menyertai acara itu tahun ini.

    “Kami mengambil masa tiga bulan mencari dan mencuba nasi lemak untuk dapatkan 40 yang terbaik,” katanya kepada Bernama.

    KENTUT BUKAN SEBARANG KENTUT

    Encik Mohd Adly berkata antara ‘hero’ nasi lemak yang dibawa khas daripada luar Kuala Lumpur adalah Nasi Lemak Wak Kentut (Kulai), Nasi Lemak Ujong Pasir dari Melaka, Nasi Lemak Habib (Batu Pahat), dan Che Pah Corner.

    “Kami menjangkakan lebih 38,000 pinggan nasi lemak termasuk lauk disediakan bagi acara ini,” katanya.

    Nasi Lemak Wak Kentut antara gerai yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung dalam program ‘I Eat Nasi Lemak’ itu.

    Pengunjung yang beratur panjang untuk mencuba nasi lemak Wak Kentut. (Gambar: FB FriedChilies)

    PEMBELI TETAP MAHUKAN ‘KENTUT’

    Menurut pengusahanya Suhirah Sabarin, 39 tahun, perniagaan dan nama unik itu diwarisi daripada bapanya yang diberi gelaran Wak Kentut oleh penduduk sekitar Kulai, Johor.

    “Kami pernah mahu menukar nama, namun pelanggan tetap kami tidak setuju kerana nama itu sudah sebati dalam ingatan mereka.

    “Keistimewaannya adalah nasi lemak itu sendiri diperbuat daripada santan asli yang menjadikannya lebih lemak dan wangi, selain ayam goreng rangup,” katanya.

    Ayam goreng di gerai nasi lemak Warung Rindu. (Gambar: FB FriedChilies)

    NASI LEMAK BANTU GOLONGAN MISKIN

    Bagi pengasas ‘The Nasi Lemak Project’, Mastura M.Rashid, 26 tahun, menjual nasi lemak bukan hanya semata-mata mahu mengaut keuntungan, tetapi beliau turut membantu golongan miskin di bandar memulakan perniagaan mereka.

    “Di bawah projek ini, kami menggalakkan pendapatan isi rumah kurang daripada
    RM900 (S$290) sebulan mempelajari cara memasak dan berniaga nasi lemak bagi menampung kehidupan daif mereka.

    “Kami turut menjalankan perniagaan nasi lemak secara dalam talian, keuntungan itu digunakan dalam kerja-kerja amal membantu gelandangan dengan memberi tuisyen kepada kanak-kanak setinggan dan Projek Perumahan Rakyat,”
    katanya.

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Mahathir ‘Iri Hati’ Dengan Kerajaan Pimpinan Najib Yang Kian Rapat Dengan China

    Mahathir ‘Iri Hati’ Dengan Kerajaan Pimpinan Najib Yang Kian Rapat Dengan China

    Komen terbaru Dr Mahathir Mohamad terhadap kerajaan Malaysia adalah kerana beliau cemburu dengan keupayaan Perdana Menteri Najib Razak menarik pelaburan bernilai berbilion dolar dengan China, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz hari ini (3 Nov).

    Encik Nazri menyifatkan komen mantan perdana menteri itu sebagai iri hati kerana sepanjang 22 tahun beliau berkhidmat sebagai perdana menteri Dr Mahathir gagal meraih pencapaian sedemikian.

    “Saya rasa Dr Mahathir sedang memikirkan waktu beliau menjadi PM atau menteri. Pada masa itu China adalah sebuah negara komunis tetapi China kini sudah berubah.”

    “China sekarang berbeza daripada yang dulu. Beliau cemburu, saya rasa. Beliau tidak suka perkara ini sebab itu beliau masih berkata tentang keyakinan pelabur yang konon-kononnya sudah merosot dan kami akan menjadi bankrap,” kata Encik Nazri kepada para wartawan di lobi Parlimen.

    Menurut Encik Nazri, ia bukan mudah untuk mendapatkan pelaburan bernilai hampir RM144 bilion (S$48 bilion), walaupun dari sebuah negara seperti China.

    “Apabila China mahu melabur sebanyak itu di Malaysia, (ia) menunjukkan bahawa China yakin (dengan) bagaimana PM mentadbir negara,” kata Encik Nazri.

    Source: Berita MediaCorp

  • Kanak-Kanak Mati Lemas Di Taman Tema Air Di Johor

    Kanak-Kanak Mati Lemas Di Taman Tema Air Di Johor

    Kegembiraan seorang bapa menyambut cuti Deepavali bersama-sama keluarganya bertukar pilu apabila anak lelakinya ditemui lemas di sebuah kolam di taman tema air di Parit Bilal, Batu Pahat, petang Isnin (31 Okt).

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Abdul Wahib Musa berkata kejadian itu berlaku ketika keluarga berkenaan sedang bermandi-manda selepas kira-kira 20 minit mengunjungi taman tema itu pada 3.30 petang.

    “S. Rishither, 6 tahun, ditemui lemas oleh bapanya S. Surentharan di sebuah kolam renang yang mempunyai kedalaman lima kaki, tidak jauh dari tempat keluarganya bermandi-manda pada 3.50 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (1 Nov).

    Katanya pihak pengurusan taman tema membantu keluarga itu membawa mangsa yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik ke Klinik Kesihatan Tongkang Pechah dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di klinik itu yang kemudiannya melaporkan kejadian itu kepada polis.

    Beliau berkata kes itu dikategorikan sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah.

    “Hasil keterangan daripada keluarga mangsa menyatakan bahawa mereka terdiri daripada dua keluarga seramai sembilan orang yang datang dari Taman Pelangi, Kluang, ke taman tema air itu untuk berkelah sempena cuti Deepavali,” katanya.

    Source: Berita MediaCorp

  • Berpantang Maut Sebelum Ajal, Wanita Tercampak Dan Terduduk Atas Bumbung Teksi

    Berpantang Maut Sebelum Ajal, Wanita Tercampak Dan Terduduk Atas Bumbung Teksi

    Berpantang maut sebelum ajal. Nasib menyebelahi seorang wanita yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah teksi.

    Beliau bukan saja terselamat, malah lebih menakjubkan lagi, wanita berusia 50an tahun itu tercampak dan terduduk di atas teksi yang turut terlibat dalam kemalangan tersebut, lapor Harian Metro (31 Okt).

    Encik Rajendran, pemandu teksi yang terbabit berkata: “Saya hairan di mana penunggang motosikal itu, namun ketika menoleh ke atas saya terpandang seorang wanita terduduk dia atas bumbung teksi saya.”

    “Saya kemudian pergi ke arah wanita itu dan membantunya turun dari bumbung teksi selain melihat jika ada sebarang kecederaan yang dialami, namun wanita itu hanya memaklumkan sakit pada bahagian tangan dan kaki serta masih trauma,” kata pemandu teksi itu, 48 tahun, kepada Harian Metro.

    Menurut laporan akhbar berkenaan, kejadian yang turut mengejutkan para pengguna jalan raya yang lain itu berlaku di persimpangan lampu isyarat Lebuh Raya Butterworth-Kulim, petang semalam.

    Ramai juga yang merakam gambar mangsa dan memuat naiknya ke laman media sosial sehingga menjadi viral.

    Encik Rajendran berkata, insiden itu paling mengejutkan, namun beliau lega kerana tiada yang cedera atau mati.

    “Selepas terdengar bunyi dentuman kuat saya terus memberhentikan teksi dan bergegas keluar untuk mencari mangsa kemalangan.

    “Ketika itu saya ternampak sebuah motosikal terbalik di belakang teksi dan cuba mencari penunggangnya, sebelum terkejut apabila melihat seorang wanita dalam keadaan terduduk di atas bumbung teksi,” beliau memberitahu Harian Metro ketika ditemui selepas membuat aduan di Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, semalam.

    Source: Berita MediaCorp

  • Mufti Keluar Fatwa Senaman Zumba Adalah Haram

    Mufti Keluar Fatwa Senaman Zumba Adalah Haram

    Mufti Sabah tampil kembali memberi peringatan kepada umat Islam khususnya, bahawa aktiviti tarian dan senamrobik yang diiringi muzik rancak atau lebih dikenali sebagai senaman zumba adalah haram.

    Peringatan itu dikeluarkan dalam satu kenyataan bersurat khas yang dikeluarkan bertarikh 19 Julai lalu.

    Tindakan surat peringatan itu dibuat berikutan senaman zumba kini semakin popular dan disertai umat Islam khususnya di Sabah.

    Dalam surat pekeliling itu, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar menggesa umat Islam menjauhi senaman tersebut kerana terdapatnya unsur-unsur yang bertentangan syariat dan akhlak Islam.

    “Antaranya seperti percampuran lelaki dan perempuan bukan mahram, pakaian menjolok mata, pendedahan aurat, elemen erotik dalam tarian dan persembahan muzik yang keterlaluan,” katanya

    Pada April 2014, Mufti Sabah pernah mengeluarkan fatwa rasmi bahawa senaman zumba itu adalah haram.

     

    Source: Bin Usrah