Tag: pengganas

  • Muslim Perancis Kutuk Perbuatan ISIS Bunuh Paderi

    Muslim Perancis Kutuk Perbuatan ISIS Bunuh Paderi

    PERANCIS: Para pemimpin pelbagai agama di Perancis mengutuk serangan yang dilakukan ke atas sebuah gereja dan membunuh seorang paderi.

    Mereka yang termasuk pemimpin Islam, Kristian dan Yahudi juga menggesa diwujudkan perpaduan untuk memerangi ISIS.

    Paderi Jacques Hamel, 85 tahun, dipaksa melutut sebelum dua penyerang bagi pihak ISIS, mengelar leher paderi tersebut.

    Mereka turut menahan beberapa orang di gereja yang terletak di bandar Rouen itu, sebelum polis menembak mati penyerang-penyerang tersebut.

    Pemimpin masjid Paris, Encik Dalil Boubakeur berkata, “Ini adalah perbuatan di luar ajaran Islam, dan satu perbuatan yang semua muslim Perancis kutuk dan tolak”.

    Presiden Perancis Francois Hollande, dalam ulasannya berikrar negaranya akan menang dalam perang menentang kumpulan pelampau.

    Beliau berkata negaranya dan Eropah menghadapi ancaman paling serius dari kumpulan militan sekarang.

    Beliau menggesa rakyat bersatu dan tidak berpaling terhadap satu sama lain.

    Tiga orang tebusan terselamat dalam srangan tersebut.

    Salah seorang anggota ISIS terbabit dikenal pasti sebagai Adel Kermiche, 19 tahun yang pernah didakwa ada kaitan dengan pengganasan.

    Dia dibebaskan dan dipasang gelang elektronik yang sepatutnya memantau pergerakannya.

    Kermiche pernah dua kali cuba ke Syria tahun lalu.

    Seorang lagi lelaki belum dikenal pasti.

    Drama tebusan itu berlaku kurang dua minggu selepas tragedi rempuhan trak di Nice yang turut didakwa dilakukan ISIS.

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Ustaz Dr Mohamed Ali: Masyarakat Tidak Harus Keliru ISIS Berlandas Islam

    Ustaz Dr Mohamed Ali: Masyarakat Tidak Harus Keliru ISIS Berlandas Islam

    Masyarakat Islam tidak harus keliru dengan fakta bahawa ajaran pengganas ISIS walaupun atas nama Al-quran dan Sunah tetapi bukanlah satu ajaran Islam yang sebenar.

    Pengganas ISIS ialah golongan yang melampau yang menggunakan agama bagi membenarkan sesuatu fahaman atau ajaran mereka termasuk pengganasan diterima oleh umat Islam yang lain.

    Fahaman mereka itu hanya menuju ke arah radikalisme dan akan terus merosakkan Islam.

    Naib pengerusi Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Dr Mohamed Ali, yang juga Penolong Profesor Program Pengajian Perhubungan Antara Agama Dalam Masyarakat Majmuk (SRP), Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) berkata: “Adakah umat Islam perlu menanggung masalah ISIS? Sebenarnya masalah yang dihadapi oleh ISIS bukanlah masalah umat Islam keseluruhannya. Tetapi ini masalah salah guna agama dan tiada kena-mengena dengan Islam.”

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tulisan Encik Sulaiman Daud di laman Facebook yang meminta umat Islam menanggung masalah militan ISIS.

    Menurut Dr Mohamed, umat Islam perlu membezakan antara keperluan sebenar umat Islam dengan kehendak pengganas.

    Beliau turut mengutarakan konsep ‘Al Wala Wal Bara’ iaitu di antara konsep Islam yang diputarbelitkan kumpulan pengganas bagi mengesahkan niat jahat mereka itu.

    Konsep itu membicarakan tentang hubungan antara orang Islam dan golongan bukan Islam, serta Islam ialah agama yang mementingkan perhubungan baik sesama manusia.

    Menyentuh tentang langkah mewujudkan negara Khalifah Islam, Dr Mohamed berkata tindakan mewujudkan negara khalifah bukan satu keperluan agama pada zaman hari ini.

    “Zaman ini terdapat kuasa negara ‘nation state’ dan zaman telah berubah kepada bentuk sekular atau sistem pemerintahan yang lain. Umat Islam sebenarnya sesuai pada setiap zaman pemerintahan. Kita boleh tinggal di mana sahaja di England atau di mana sahaja. Apa yang diperlukan oleh setiap orang Islam yang berpegang teguh kepada agama dan menyesuaikan diri dalam apa sahaja keadaan,” ujar Dr Mohamed.

     

    Source: http://beritaharian.sg

  • IS Tunjukkan Video Serangan Penyokong Di Saudi Arabia

    IS Tunjukkan Video Serangan Penyokong Di Saudi Arabia

    RIYADH: Sekumpulan penyokong militan yang menggelarkan kumpulan mereka Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS) mengeluarkan video semalam yang menunjukkan anggotanya menembak seorang warga Denmark di Arab Saudi minggu lalu, lapor badan pemantau SITE.

    Kesahihan video itu tidak dapat disahkan, namun Arab Saudi menyatakan seorang warga Denmark ditembak di bahu ketika sedang meninggalkan pejabatnya di Riyadh dan kini dalam keadaan mantap.

    Bulan lalu, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi menyatakan ia mengenal pasti sekurang-kurangnya 2,000 warganya yang mengunjungi Syria dan Iraq untuk menyertai militan ISIS, tetapi 600 daripada mereka sudah kembali dan berada dalam tahanan ataupun meninggal dunia.

    Pada awal bulan ini, militan Sunni yang dikaitkan dengan ISIS membunuh lapan pengikut Syiah di wilayah timur Arab Saudi.

    Sejak itu pihak berkuasa menahan lebih 70 orang yang disyaki ada kaitan dengan serangan tersebut.

    Pihak berkuasa Arab Saudi berkata mereka sedang menyiasat serangan ke atas warga Denmark itu.

    Menurut SITE, video itu dikeluarkan Yayasan Media Al-Battar, yang mendakwa ia menunjukkan operasi oleh ‘Penyokong Negara Islam (IS) di Tanah Dua Masjid Suci’, merujuk kepada nama yang digunakan kumpulan militan itu di Arab Saudi.

    Video itu turut mengandungi ucapan pemimpin ISIS, Abu Bakr Al-Baghdadi, dan jurucakap kumpulan militan itu, Abu Muhammad al-Adnani, yang menyeru rakyat Arab Saudi supaya “membunuh dan meludah” rakyat negara Barat yang terlibat dalam peperangan menangani militan ISIS.

    Video itu difilem daripada dalam sebuah kenderaan yang dipandu di sepanjang jalan raya berpapan tanda yang menunjukkan kejiranan Riyadh. – Reuters.

     

    Source: http://beritaharian.sg