Ustaz Dr Mohamed Ali: Masyarakat Tidak Harus Keliru ISIS Berlandas Islam

Masyarakat Islam tidak harus keliru dengan fakta bahawa ajaran pengganas ISIS walaupun atas nama Al-quran dan Sunah tetapi bukanlah satu ajaran Islam yang sebenar.

Pengganas ISIS ialah golongan yang melampau yang menggunakan agama bagi membenarkan sesuatu fahaman atau ajaran mereka termasuk pengganasan diterima oleh umat Islam yang lain.

Fahaman mereka itu hanya menuju ke arah radikalisme dan akan terus merosakkan Islam.

Naib pengerusi Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Dr Mohamed Ali, yang juga Penolong Profesor Program Pengajian Perhubungan Antara Agama Dalam Masyarakat Majmuk (SRP), Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) berkata: “Adakah umat Islam perlu menanggung masalah ISIS? Sebenarnya masalah yang dihadapi oleh ISIS bukanlah masalah umat Islam keseluruhannya. Tetapi ini masalah salah guna agama dan tiada kena-mengena dengan Islam.”

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tulisan Encik Sulaiman Daud di laman Facebook yang meminta umat Islam menanggung masalah militan ISIS.

Menurut Dr Mohamed, umat Islam perlu membezakan antara keperluan sebenar umat Islam dengan kehendak pengganas.

Beliau turut mengutarakan konsep ‘Al Wala Wal Bara’ iaitu di antara konsep Islam yang diputarbelitkan kumpulan pengganas bagi mengesahkan niat jahat mereka itu.

Konsep itu membicarakan tentang hubungan antara orang Islam dan golongan bukan Islam, serta Islam ialah agama yang mementingkan perhubungan baik sesama manusia.

Menyentuh tentang langkah mewujudkan negara Khalifah Islam, Dr Mohamed berkata tindakan mewujudkan negara khalifah bukan satu keperluan agama pada zaman hari ini.

“Zaman ini terdapat kuasa negara ‘nation state’ dan zaman telah berubah kepada bentuk sekular atau sistem pemerintahan yang lain. Umat Islam sebenarnya sesuai pada setiap zaman pemerintahan. Kita boleh tinggal di mana sahaja di England atau di mana sahaja. Apa yang diperlukan oleh setiap orang Islam yang berpegang teguh kepada agama dan menyesuaikan diri dalam apa sahaja keadaan,” ujar Dr Mohamed.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *