Tag: Radikal

  • Commentary: Artis-Artis Yang Tidak Bersalaman Di APM, Tidak Bererti Mereka Memegang Sikap Radikal

    Commentary: Artis-Artis Yang Tidak Bersalaman Di APM, Tidak Bererti Mereka Memegang Sikap Radikal

    Maher Zain tidak bersalaman dengan Puan Zakiah Halim semasa menerima Anugerah APM. Tidak bersalaman itu bukan bererti Maher Zain seorang radikal.

    Begitu juga Izzue Islam, artis dari Malaysia, ketika menyampaikan Anugerah APM kepada seorang artis Indonesia. Beliau setakat mendakapkan kedua tapak tangannya sendiri (macam aksi “ampun tuanku”) sebagai tanda hormat apabila artis itu menghulurkan tangannya ke arah Izzue Islam. Dengan bertindak demikian, itu bukan tanda yang Izzue Islam itu seorang radikal.

    Bersalam atau tidaknya di antara seorang lelaki dengan wanita tidak seharusnya dijadikan kayu ukur untuk menilik samada seseorang itu bersikap radikal atau tidak.

    Seharusnya, perkara ini dilihat dari sudut pendirian peribadi seseorang Muslim dan bukan petanda seseorang itu radikal kerana bersikap eksklusif.

    Kalau enggan bersalaman di antara lelaki dengan perempuan dianggap sebagai bersikap eksklusif lagi radikal, apakah boleh Maher Zain dan Iszul Islam dianggap sedemikian?

    Dalam usaha untuk membenteras radikalisme, usah pula kita jadi terlalu ekstrim atau melampau sehingga bersikap parochial lagi tidak berlapang dada terhadap kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat.

    Jangan sampai diri sendiri jadi radikal dalam usaha membenteras radikalisme.

    Kalau ada Muslimah atau Muslimin yang tidak mahu bersalaman dengan lelaki atau perempuan yang bukan Mahram, usahlah mereka itu dilabel sebagai radikal.

     

    Source: Mohd Khair

  • Yaacob Ibrahim Luahkan Rasa Kecewa Dengan Kes-Kes Rakyat Singapura Yang Menjadi Radikal

    Yaacob Ibrahim Luahkan Rasa Kecewa Dengan Kes-Kes Rakyat Singapura Yang Menjadi Radikal

    Kes tangkapan Imran Kassim di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menunjukkan betapa pentingnya teman-teman dan orang-orang tersayang kekal bersikap waspada.

    Ia juga menekankan peri pentingnya bantuan pihak berkuasa didapatkan setelah mengetahui tentang sesiapa yang menunjukkan tanda-tanda menjadi radikal.

    Demikian komen Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim sebagai mengulas tangkapan Imran Kassim, yang didedahkan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) petang tadi (7 Sep).

    Imran, 34 tahun, dikenakan Perintah Tahanan (OD) kerana merancang untuk mengangkat senjata dan melakukan keganasan di luar negara. Seorang lagi rakyat Singapura, Shakirah Begam Abdul Wahab, 23 tahun, pula dikenakan Perintah Sekatan (RO) kerana memulakan dan kemudian terus berhubungan dengan para pengganas asing.

    Komen Dr Yaacob Ibrahim yang dibuat dalam catatannya di laman Facebook hari ini (7 Sep) menarik perhatian bahawa mereka yang rapat dengan Imran tampil untuk meminta bantuan dan panduan semasa dia cuba mempengaruhi mereka.

    “Itulah adalah perbuatan yang betul untuk dilakukan,” tulis Dr Yaacob.

    Beliau turut meluahkan rasa “kecewa” dengan kes rakyat Singapura menjadi radikal itu.

    Menurutnya, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan rakan-rakan masyarakat yang lain, dengan sokongan pemerintah, mesti dan akan terus membina sikap daya tahan masyarakat terhadap doktrin pelampau asing atau dorongan terpesong untuk menyertai konflik asing.

    “Saya juga ingin menekankan rasa terima kasih saya kepada rakyat Singapura secara umum yang sudah menunjukkan kesabaran dan kesatuan dalam memerangi kegiatan pelampau.

    “Kami terdorong oleh sokongan anda dan akan terus maju demi kebaikan Singapura dan semua rakyat Singapura,” tulis Dr Yaacob dalam catatan tersebut.

     

    Source: http://berita.mediacorp.sg/

  • Kian Ramai Asatizah Gunakan Media Social Untuk Tangkis Naratif Radikal

    Kian Ramai Asatizah Gunakan Media Social Untuk Tangkis Naratif Radikal

    Dalam usaha menangani mesej radikal yang tersebar luas di internet, lebih ramai asatizah kini menggunakan media sosial untuk mendekati masyarakat dengan tumpuan diberikan kepada kelompok belia.

    Laporan berikut menyingkap usaha yang dijalankan MUIS dan para asatizah di sini.

    Akaun Instagram Ustazah Liyana Musfirah mempunyai ramai pengikut termasuk di kalangan belia Singapura.

    Beliau antara golongan asatizah yang giat aktif menggunakan wadah media sosial untuk menyampaikan ajaran Islam dengan cara yang menarik dan mudah difahami.

    “Para remaja dan juga pengguna-pengguna di luar sana amat aktif dalam media sosial – dengan Facebook, Instagram dan seterusnya. Dengan itu kami perlu gunakan platform ini untuk mengajar atau menyebarkan unsur-unsur positif yang menjawab kembali atau menerangkan kekeliruan,” Ustazah Liyana memberitahu BERITAMediacorp.

    Lebih 2,800 asatizah sudah berdaftar di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah sejak ia diwajibkan awal tahun ini.

    Semakin ramai daripada mereka menawarkan pendidikan Islam secara online.

    Ia sebahagian daripada usaha inovatif untuk mendampingi golongan belia bagi mengatasi ideologi pelampau dan radikal yang tersebar luas di internet.

    “Pemahaman radikal ini hadir di internet. Jadi kita juga harus hadir di tempat yang sama. Itu jadi yang paling efektif untuk menangani dan juga mengatasi pemahaman-pemahaman yang sesat dan juga menyelewengkan mereka,” menurut Ustaz Tarmizi Wahid, pengasas Institut Safinah.

    Dalam usaha mengukuhkan lagi penglibatan para belia, MUIS juga memanfaatkan wadah internet termasuk menambah laman web yang berbentuk anti-fahaman radikal.

    Laman web dan forum MUIS sendiri dipenuhi dengan banyak ilustrasi, gambar, video, dan sebagainya bagi menjawab sebarang kemusykilan pembaca.

    Para asatizah juga dilatih untuk menggunakan media sosial secara lebih berkesan dan memudahkan perbincangan tentang isu-isu yang sensitif.

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Abdul Rahman Mohamed: Kita Wajib Menentang Semua Jenis Keganasan

    Abdul Rahman Mohamed: Kita Wajib Menentang Semua Jenis Keganasan

    Semua Kita Wajib Bangkit Menentang Keganasan!
    Keganasan Tiada Agama jauh sekali hendak dikaitkan dengan Agama Islam.

    Tapi…………

    Bukan hanya keganasan yg berlaku di negara2 Barat sahaja yg kita perlu Terasa dan Berperasaan terhadap mangsa keganasan.

    Kenapa setiap kali apabila keganasan berlaku ke atas negara2 Barat, kita lihat akhbar2 tempatan kita memberi liputan yg luas dan para pemimpin masyarakat tidak ketinggalan tokoh2 agama bangkit bagaikan wira menyuarakan tantangan terhadap keganasan yg berlaku.

    Saban hari ramai juga orang2 Islam yg menjadi mangsa keganasan, namun mana suara2 lantang para pemimpin kita dan liputan besar2an media kita?

    Adakah harga darah orang Barat lebih mahal harganya berbanding yg lain?

    Sikap double standard ( Hypocrite) sedemikian telah menyebab masyarakat umum menjadi muak dan benci utk berbicara tentang pengganasan yg selalu kelihatan Berat Sebelah.

    Sekali lagi saya tegaskan, Kita semua Wajib Bangkit Menentang Keganasan dan Membasminya dari semua peringkat.

     

    Source: Abdul Rahman Mohamed

  • KOMENTAR: Pengganasan – Mengapa Ia Tidak Lagi Terhad Kepada Lelaki Sahaja

    KOMENTAR: Pengganasan – Mengapa Ia Tidak Lagi Terhad Kepada Lelaki Sahaja

    Keterlibatan wanita dalam kegiatan pengganasan biasanya tertumpu di luar daripada bidang pertempuran seperti sebagai perantara dan pengumpul dana. Namun sejak kebelakangan ini wanita mula memainkan peranan barisan depan seperti membuat persiapan untuk melancarkan serangan pengganasan.

    Bagaimana gejala ini boleh timbul dan apakah faktor yang mendorong sesetengah wanita sanggup menceburkan diri dengan pengganasan secara langsung menjadi kupasan Chaula Rininta Anindya, penganalisis di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, NTU.

    Peranan wanita dalam rangkaian pengganas di Indonesia sehingga ke hari ini telah ditentukan oleh hubungan persaudaraan yang terjalin melalui perkahwinan, dengan penglibatan mereka tertumpu kepada memenuhi keperluan logistik dan kewangan bagi tujuan pengganasan.

    Tetapi terdapat trend yang semakin meningkat di mana wanita mula mengambil peranan sebagai penggempur.

    Baru-baru ini, unit anti-pengganasan Indonesia, Detachment 88 (Densus 88) telah menangkap tiga wanita yang didakwa merancang untuk melancarkan serangan bom ke atas Istana Presiden Indonesia.

    Wanita-wanita itu – Dian Yulia Novi, Arida Putri Maharani dan Tutin Sugiarti – ada kaitan dengan rangkaian pengganas pimpinan Bahrun Naim yang berpangkalan di Solo. Bahrun Naim didakwa dalang siri serangan di Jakarta pada tahun lalu.

    Beberapa hari selepas mereka ditangkap, Densus 88 turut menahan Ika Puspitasari di sebuah masjid berhampiran rumahnya di Purworejo, Jawa Tengah.

    Novi dan Maharani merupakan isteri kepada Muhammad Nur Solihin yang dipercayai ketua sel pengganas itu. Novi telah merancang untuk melancarkan serangan bom nekad di Istana Presiden Indonesia.

    Maharani tahu tentang persediaan untuk melancarkan serangan itu dan telah membantu dalam pembiayaannya. Yang menariknya, Sugiarti telah memainkan peranan penting dalam mempengaruhi Novi untuk menjadi radikal walaupun Novi adalah isteri kepada ketua kumpulan itu.

    Wanita terakhir, Puspitasari, telah membuat persiapan untuk melancarkan serangan bom nekad di Bali pada malam Tahun Baru.

    Di dalam Jemaah Islamiyah (JI) sendiri, iaitu kumpulan pengganas paling terkenal di Indonesia, wanita sebelum ini hanya memainkan peranan sebagai perantara dan menghasilkan zuriat.

    Tujuannya adalah untuk meningkatkan hubungan dan menghasilkan para jihadi masa depan sebagai usaha untuk menambah bilangan anggota kumpulan itu. JI juga bergantung kepada wanita untuk mengumpul dana bagi tujuan pengganasan jihad.

    Sebagai contoh, Noralwizah Lee Binti Abdullah, seorang wanita keturunan Cina Sabah yang merupakan isteri kepada bekas komander operasi JI Hambali, yang dipercayai menjadi ketua akauntan JI.

    Ajaran Islam klasik tidak menggalakkan wanita mengambil peranan berperang. Tetapi, dengan kebangkitan kumpulan militan sebagai Daesh (ISIS), peranan wanita dalam melakukan tindakan pengganasan semakin berkembang.

    Dengan matlamat untuk mewujudkan sebuah negara Islam dengan apa jua cara sekalipun, IS terpaksa meluaskan peranan wanita dalam pertubuhan mereka dengan lebih melibatkan mereka dalam misi-misi pertempuran dan melakukan serangan-serangan nekad.

    IS telah menubuhkan Briged Al-Khansaa, sebuah unit wanita yang melakukan rondaan di sekitar bandar-bandar seperti Raqqa dan Mosul untuk menguatkuasakan nilai-nilai Islam yang berlandaskan tafsiran fundamentalis ISIS. Wanita-wanita juga berjuang di barisan hadapan untuk ISIS di Libya.

    Peranan lebih besar dalam pertempuran dan perancangan yang kian dimainkan wanita dalam sel keganasan Indonesia menggambarkan pengaruh dan rangkaian sekutu-sekutu ISIS di Asia Tenggara yang semakin meluas.

    Kumpulan pengganas Mujahideen Indonesia Timur (MIT), yang mengikrarkan taat setia kepada ISIS, telah menjalankan latihan senjata untuk anggota wanitanya termasuk isteri komander MIT. Kita boleh menjangkakan lebih banyak pembabitan secara langsung wanita dalam kegiatan pengganasan pada masa depan.

    Dengan menggunakan wanita sebagai pengebom nekad, rangkaian-rangkaian pengganas meraih kelebihan dari segi taktikal dan strategi.

    Wanita tidak dianggap agresif atau akan melakukan perbuatan keganasan, jadi mereka boleh melindungi diri daripada dikesan dengan lebih mudah. Wanita juga boleh menyembunyikan senjata atau bom dengan lebih baik di dalam pakaian mereka.

    Ini menimbulkan masalah di pusat-pusat pemeriksaan kastam, di mana bilangan pegawai kastam wanita yang terhad untuk melakukan pemeriksaan fizikal yang ketat boleh memberi pengebom nekad wanita peluang untuk melancarkan serangan.

    Yang jelas, langkah merekrut wanita telah menambah bilangan pejuang di dalam rangkaian pengganas. Tetapi ini mungkin juga menandakan bahawa kumpulan-kumpulan berkenaan kekurangan pejuang-pejuang lelaki dan terdesak untuk mendapatkan lebih ramai rekrut.

    Idea bahawa wujudnya pengebom nekad wanita sering dianggap sensitif dan boleh mencetuskan reaksi berlebihan dan yang dibesar-besarkan. Tetapi reaksi berlebihan daripada orang ramai dan pemerintah adalah sesuatu yang diinginkan dan dieksploitasi kumpulan-kumpulan pengganas.

    Agensi-agensi yang memerangi pengganasan perlu memberi lebih banyak perhatian kepada peranan wanita yang semakin berubah-ubah dalam kegiatan pengganasan di Indonesia untuk mengenal pasti pendekatan terbaik dalam menangani pelibatan wanita dalam pengganasan.


    MENGENAI PENULIS:
    Chaula Rininta Anindya adalah pembantu penyelidik Agama dalam Program Indonesia di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang. 

     

    Source: BeritaMediacorp