Yaacob Ibrahim Luahkan Rasa Kecewa Dengan Kes-Kes Rakyat Singapura Yang Menjadi Radikal

Kes tangkapan Imran Kassim di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menunjukkan betapa pentingnya teman-teman dan orang-orang tersayang kekal bersikap waspada.

Ia juga menekankan peri pentingnya bantuan pihak berkuasa didapatkan setelah mengetahui tentang sesiapa yang menunjukkan tanda-tanda menjadi radikal.

Demikian komen Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim sebagai mengulas tangkapan Imran Kassim, yang didedahkan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) petang tadi (7 Sep).

Imran, 34 tahun, dikenakan Perintah Tahanan (OD) kerana merancang untuk mengangkat senjata dan melakukan keganasan di luar negara. Seorang lagi rakyat Singapura, Shakirah Begam Abdul Wahab, 23 tahun, pula dikenakan Perintah Sekatan (RO) kerana memulakan dan kemudian terus berhubungan dengan para pengganas asing.

Komen Dr Yaacob Ibrahim yang dibuat dalam catatannya di laman Facebook hari ini (7 Sep) menarik perhatian bahawa mereka yang rapat dengan Imran tampil untuk meminta bantuan dan panduan semasa dia cuba mempengaruhi mereka.

“Itulah adalah perbuatan yang betul untuk dilakukan,” tulis Dr Yaacob.

Beliau turut meluahkan rasa “kecewa” dengan kes rakyat Singapura menjadi radikal itu.

Menurutnya, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan rakan-rakan masyarakat yang lain, dengan sokongan pemerintah, mesti dan akan terus membina sikap daya tahan masyarakat terhadap doktrin pelampau asing atau dorongan terpesong untuk menyertai konflik asing.

“Saya juga ingin menekankan rasa terima kasih saya kepada rakyat Singapura secara umum yang sudah menunjukkan kesabaran dan kesatuan dalam memerangi kegiatan pelampau.

“Kami terdorong oleh sokongan anda dan akan terus maju demi kebaikan Singapura dan semua rakyat Singapura,” tulis Dr Yaacob dalam catatan tersebut.

 

Source: http://berita.mediacorp.sg/

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *