Tag: solat jumaat

  • Terengganu – Denda RM3,000 , Penjara Jika Tidak Tunaikan Solat Jumaat

    Terengganu – Denda RM3,000 , Penjara Jika Tidak Tunaikan Solat Jumaat

    Lelaki Muslim yang tidak menunaikan solat Jumaat di Terengganu bakal berdepan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun tidak lama lagi.

    Ia susulan pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) Terengganu 2001 yang disokong sebulat suara oleh para Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menghadiri persidangan dewan hari ini.

    Pindaan Seksyen 16 berkaitan perkara tidak menunaikan solat Jumaat dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri Ghazali Taib.

    Selain pindaan Seksyen 16, beberapa pindaan lain turut dibuat iaitu Seksyen 19 (tidak menghormati Ramadan) dan Seksyen 53 (mengganggu perempuan di tempat awam).

    Ghazali mengemukakan cadangan pindaan itu kerana berpendapat enakmen itu mengangungi peruntukan yang sukar dilaksanakan dan dikuatkuasakan selain hukuman denda agak rendah dan tidak dapat memberi pengajaran serta kesedaran kepada masyarakat.

    Bagi solat Jumaat, sebelum ini enakmen itu menetapkan mana-mana lelaki yang mukallaf yang tidak menunaikan solat Jumaat di masjid tiga kali berturut-turut tanpa uzur syarie atas sebab yang munasabah boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

    Bagi kesalahan tidak menghormati Ramadan termasuk menjual makanan dan minuman kepada orang Islam serta makan secara terbuka, hukuman pindaan itu membabitkan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

    Sebelum ini, enakmen itu menetapkan jumlah denda sama dan penjara enam bulan sahaja.

    Bagi perbuatan tidak sopan di tempat awam, pindaan itu melibatkan hukuman denda RM1,000 atau penjara dua tahun, berbanding hukuman sebelum ini membabitkan denda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya.

    Seksyen bagi pesalah yang mengganggu perempuan di tempat awam juga melibatkan penambahan hukuman penjara iaitu daripada enam bulan kepada maksimum dua tahun.

    Ketika membentangkan pindaan itu, Ghazali berkata ia dibuat bagi memudahkan kerja pegawai penguat kuasa, pendakwa syarie dan Mahkamah Syariah.

    Katanya pindaan hukuman penjara daripada minimum enam bulan hingga maksimum satu tahun kepada minimum dua tahun hingga maksimum tiga tahun adalah untuk memberi kesedaran dan keinsafan kepada masyarakat.

    “Pindaan ini menunjukkan keprihatinan dan sokongan kerajaan negeri terhadap cadangan pindaan Akta 355 bagi memartabatkan Mahkamah Syariah khususnya di negeri Terengganu,” katanya.

    Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Anggota Parlimen Marang hari ini membawa usul Rang Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.

    Ia bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau dikenali Akta 355.

     

    Source: www.malaysiakini.com

  • Mufti Pulau Pinang: Solat Jumaat Pada Hari Sabtu Tidak Seharusnya Dibenarkan

    Mufti Pulau Pinang: Solat Jumaat Pada Hari Sabtu Tidak Seharusnya Dibenarkan

    Kelab Suara Anak Muda 1Malaysia (SAM1M) membuat aduan polis berhubung cadangan seorang aktivis untuk mengadakan solat Jumaat pada hari Sabtu bagi memudahkan umat Islam melaksanakannya.

    Badan bukan kerajaan itu membuat aduan tersebut di Balai Polis Damansara semalam (17 Okt) dan menggesa polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyiasat cadangan yang kini menjadi viral yang dianggap biadab dan menghina kesucian agama Islam.

    Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor berkata isu solat Jumaat pada hari Sabtu tidak seharusnya wujud kerana ia sudah termaktub dalam hukum agama.

    Katanya, solat Jumaat adalah hukum yang sudah ditetapkan dan tidak boleh diubah sewenang-wenangnya.

    Source: Berita MediaCorp

  • Jalan Keluar Kurangkan Kesesakan Solat Jumaat

    Jalan Keluar Kurangkan Kesesakan Solat Jumaat

    Beberapa masjid kurang sesak mengajak jemaah menunaikan solat Jumaat di tempat mereka, terutama pada cuti umum, bagi melegakan kesesakan di sesetengah masjid.

    Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pula semalam memberi Berita Harian senarai 13 masjid yang mempunyai cukup ruang bagi menampung jemaah solat Jumaat yang bertambah pada cuti umum.

    Antaranya ialah Masjid Al- Amin, Masjid Jamiyah Ar-Rabitah di Tiong Bahru, Masjid Hajah Rahimahbi di Kebun Limau, Masjid Omar Salmah di Jalan Mashor dekat Thomson Road dan Masjid An-Nahdhah di Bishan.

    Pengerusi Eksekutif Masjid Jamiyah Ar-Rabitah, Encik Sadir Osman, misalnya, berkata masjid itu menerima 1,000 jemaah solat Jumaat setiap minggu sedangkan ia boleh menampung hingga 2,000 jemaah.

    Encik Sadir, 67 tahun, mengalu-alu jemaah dari kawasan lain memakmurkan masjid di Tiong Bahru Road itu, semasa dihubungi semalam.

    Minggu lalu, di majlis pembukaan Masjid Al-Ansar, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, menyarankan agar jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid kurang sesak, terutama apabila cuti umum jatuh pada hari itu, bagi mengelakkan kesesakan di masjid kejiranan.

    Semalam, jurucakap Muis memberitahu Berita Harian memang banyak masjid sesak setiap kali Jumaat jatuh pada cuti umum sedangkan sebilangan yang terletak di kawasan dekat bandar mempunyai banyak ruang kosong.

    “Sebilangan masjid di Singapura, terutama di estet matang HDB, mengalami kesesakan untuk jemaah bersolat Jumaat, terutama jika hari Jumaat jatuh pada haru cuti umum.

    “Ini mungkin disebabkan kehadiran ramai pekerja asing lelaki yang tidak bekerja dan bapa tidak bekerja yang datang bersama anak-anak tidak bersekolah,” ujar beliau.

    Mengenai senarai masjid cukup ruang bagi jemaah solat Jumaat yang bertambah pada cuti umum, masjid-masjid tersebut dianggarkan mempunyai ruang bagi tambahan 200 hingga 1,000 jemaah.

    Jurucakap Muis menambah ada ruang masjid, terutama di kawasan bandar, tidak dimaksimumkan bagi solat Jumaat pada hari cuti umum.

    “Memanfaatkan sepenuhnya ruang masjid ini dapat meringankan masalah kesesakan berlebihan di sesetengah masjid kejiranan. Sehubungan dengan ini, kami menggalak masyarakat meneroka pilihan lain dengan melawat masjid-masjid ini bersama keluarga,” ujarnya.

    Sebuah lagi masjid yang mengalu-alu lebih ramai jemaah datang menunaikan solat Jumaat ialah Masjid Mujahidin di Stirling Road, Queenstown.

    Pengerusi Eksekutifnya, Encik Muhammad Khairul Jameel, berkata:

    “Bilik darjah dan dewan serbaguna kami boleh dijadikan ruang solat. Ruang-ruang ini berhawa dingin, lantas jemaah dapat beribadah dengan selesa.”

     

    Source: http://beritaharian.sg

  • Bila Terlalu Ramai Jemaah Solat Jumaat….

    Bila Terlalu Ramai Jemaah Solat Jumaat….

    Imam menyampaikan khutbah dari atas mimbar yang terukir halus.

    Bacaan imam dalam solat melantun indah melalui corong mikrofon.

    Bersalam-salaman sesama jemaah seusai solat Jumaat. Begitulah kebiasaan masyarakat kita setiap Jumaat.

    Lain pula keadaannya di beberapa negara lain.

    Sejurus selepas solat Jumaat berakhir, mereka perlu bergegas memberikan ruang kepada kumpulan jemaah seterusnya untuk mendirikan solat Jumaat kedua di masjid yang sama.

    Keadaan ini jauh berbeza daripada suasana solat Jumaat yang pertama didirikan Nabi Muhammad saw dekat kediaman Salim bin ‘Auf ra di kota suci Madinah, dan kemudiannya di Masjid Nabawi.

    Bermula dengan hanya bermimbarkan sebatang pohon kurma, para sahabat kemudian membina mimbar yang lebih sempurna dan tinggi agar khutbah terdengar lebih jelas kepada jemaah yang semakin ramai.

    Seorang ulama unggul, Tajuddin As-Subki, telah menyebut bahawa antara matlamat solat Jumaat adalah untuk menzahirkan syiar Islam dengan perhimpunan dan nasihat keagamaan.

    Berdasarkan amalan Nabi Muhammad saw, jumhur ulama berpandangan bahawa solat Jumaat seharusnya dilaksanakan hanya di sebuah masjid utama di setiap kota.

    Amalan ini masih berterusan di beberapa kota besar seperti Makkah, Madinah dan Kahirah.

    Namun, dengan bertambahnya bilangan umat Islam dan tersebarnya kawasan kediaman, ulama seperti Imam An-Nawawi dan Ibn Qudamah membolehkan solat Jumaat diadakan di masjid-masjid lain, selain masjid utama.

    Dalam konteks masyarakat Islam minoriti, khususnya di negara Barat, pembinaan masjid bukan suatu perkara yang mudah.

    Dengan jumlah jemaah yang ramai, mereka telah mencari huraian berbeza, antaranya mengulangi solat Jumaat.

    Sebagai contoh, Masjid Finchley dan Masjid Hendon di London; Islamic Council of Victoria di Melbourne; Masjid Kamata di Tokyo; dan Islamic Foundation Villa Park di Illinois, Amerika Syarikat, mengulangi solat Jumaat sebanyak dua kali.

    Malah, beberapa masjid di Canada mengadakan solat Jumaat sehingga tiga kali.

    Adakah ini dibolehkan syarak?

    Mantan Mufti Mesir, Sheikh Ali Gomah, pernah mengeluarkan fatwa yang membolehkan solat Jumaat diadakan berulang kali di masjid yang sama dengan syarat ia memang amat diperlukan.

    Beberapa ulama lain seperti Mufti Ibrahim Desai di Durban, Afrika Selatan; dan Syeikh Faraz Rabbani di Canada, juga berpendapat sedemikian.

    Di Singapura, pada 1996, Jawatankuasa Fatwa memfatwakan bahawa solat Jumaat yang didirikan dalam penjara Singapura boleh diadakan beberapa kali atas pertimbangan yang sama.

    Perkembangan pemikiran ulama dalam masalah pengendalian solat Jumaat ini juga menunjukkan bahawa syariat Islam menyediakan huraian bagi setiap masalah terutama dalam konteks yang berbeza.

    Dari awal pelaksanaan solat Jumaat di kota Madinah, sehingga kepelbagaian pelaksanaannya pada hari ini di banyak negara, solat Jumaat kekal sebagai syiar yang dihidupkan dengan cara yang mendatangkan maslahat dan membantu kehidupan keagamaan diteruskan dengan selesa lagi sempurna.

    • Penulis Pengurus, Kajian Fatwa, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis)

    13 masjid yang masih ada ruang tambahan

    Masjid Al-Amin – 1,000 jemaah

    Masjid Jamiyah Ar-Rabitah – 1,000 jemaah

    Masjid Mujahidin – 1,000 jemaah

    Masjid Muhajirin – 300 jemaah

    Masjid Ar-Raudhah – 300 jemaah

    Masjid Jamek Chulia – 300 jemaah

    Masjid Omar Kampong Melaka – 200 jemaah

    Masjid Masjid Maulana Mohd Ali – 200 jemaah.

    Masjid Petempatan Melayu Sembawang – 300 jemaah

    Masjid Hajjah Rahimabi Kebun Limau – 500 jemaah

    Masjid Bencoolen – 100 jemaah

    Masjid An-Nahdhah – 200 jemaah

    Masjid Omar Salmah – 200 jemaah

    Nota: Jumlah ruang tambahan bagi jemaah adalah jumlah anggaran

     

    Source: http://beritaharian.sg