Bila Terlalu Ramai Jemaah Solat Jumaat….

Imam menyampaikan khutbah dari atas mimbar yang terukir halus.

Bacaan imam dalam solat melantun indah melalui corong mikrofon.

Bersalam-salaman sesama jemaah seusai solat Jumaat. Begitulah kebiasaan masyarakat kita setiap Jumaat.

Lain pula keadaannya di beberapa negara lain.

Sejurus selepas solat Jumaat berakhir, mereka perlu bergegas memberikan ruang kepada kumpulan jemaah seterusnya untuk mendirikan solat Jumaat kedua di masjid yang sama.

Keadaan ini jauh berbeza daripada suasana solat Jumaat yang pertama didirikan Nabi Muhammad saw dekat kediaman Salim bin ‘Auf ra di kota suci Madinah, dan kemudiannya di Masjid Nabawi.

Bermula dengan hanya bermimbarkan sebatang pohon kurma, para sahabat kemudian membina mimbar yang lebih sempurna dan tinggi agar khutbah terdengar lebih jelas kepada jemaah yang semakin ramai.

Seorang ulama unggul, Tajuddin As-Subki, telah menyebut bahawa antara matlamat solat Jumaat adalah untuk menzahirkan syiar Islam dengan perhimpunan dan nasihat keagamaan.

Berdasarkan amalan Nabi Muhammad saw, jumhur ulama berpandangan bahawa solat Jumaat seharusnya dilaksanakan hanya di sebuah masjid utama di setiap kota.

Amalan ini masih berterusan di beberapa kota besar seperti Makkah, Madinah dan Kahirah.

Namun, dengan bertambahnya bilangan umat Islam dan tersebarnya kawasan kediaman, ulama seperti Imam An-Nawawi dan Ibn Qudamah membolehkan solat Jumaat diadakan di masjid-masjid lain, selain masjid utama.

Dalam konteks masyarakat Islam minoriti, khususnya di negara Barat, pembinaan masjid bukan suatu perkara yang mudah.

Dengan jumlah jemaah yang ramai, mereka telah mencari huraian berbeza, antaranya mengulangi solat Jumaat.

Sebagai contoh, Masjid Finchley dan Masjid Hendon di London; Islamic Council of Victoria di Melbourne; Masjid Kamata di Tokyo; dan Islamic Foundation Villa Park di Illinois, Amerika Syarikat, mengulangi solat Jumaat sebanyak dua kali.

Malah, beberapa masjid di Canada mengadakan solat Jumaat sehingga tiga kali.

Adakah ini dibolehkan syarak?

Mantan Mufti Mesir, Sheikh Ali Gomah, pernah mengeluarkan fatwa yang membolehkan solat Jumaat diadakan berulang kali di masjid yang sama dengan syarat ia memang amat diperlukan.

Beberapa ulama lain seperti Mufti Ibrahim Desai di Durban, Afrika Selatan; dan Syeikh Faraz Rabbani di Canada, juga berpendapat sedemikian.

Di Singapura, pada 1996, Jawatankuasa Fatwa memfatwakan bahawa solat Jumaat yang didirikan dalam penjara Singapura boleh diadakan beberapa kali atas pertimbangan yang sama.

Perkembangan pemikiran ulama dalam masalah pengendalian solat Jumaat ini juga menunjukkan bahawa syariat Islam menyediakan huraian bagi setiap masalah terutama dalam konteks yang berbeza.

Dari awal pelaksanaan solat Jumaat di kota Madinah, sehingga kepelbagaian pelaksanaannya pada hari ini di banyak negara, solat Jumaat kekal sebagai syiar yang dihidupkan dengan cara yang mendatangkan maslahat dan membantu kehidupan keagamaan diteruskan dengan selesa lagi sempurna.

  • Penulis Pengurus, Kajian Fatwa, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis)

13 masjid yang masih ada ruang tambahan

Masjid Al-Amin – 1,000 jemaah

Masjid Jamiyah Ar-Rabitah – 1,000 jemaah

Masjid Mujahidin – 1,000 jemaah

Masjid Muhajirin – 300 jemaah

Masjid Ar-Raudhah – 300 jemaah

Masjid Jamek Chulia – 300 jemaah

Masjid Omar Kampong Melaka – 200 jemaah

Masjid Masjid Maulana Mohd Ali – 200 jemaah.

Masjid Petempatan Melayu Sembawang – 300 jemaah

Masjid Hajjah Rahimabi Kebun Limau – 500 jemaah

Masjid Bencoolen – 100 jemaah

Masjid An-Nahdhah – 200 jemaah

Masjid Omar Salmah – 200 jemaah

Nota: Jumlah ruang tambahan bagi jemaah adalah jumlah anggaran

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *