DARI PARLIMEN: JAWAPAN DPM TEO TENTANG HIJAB

Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean berkata, membenarkan variasi dalam uniform seperti hijab atau tudung, dalam khidmat-khidmat beruniform tertentu, akan mengurangkan identiti umum perkhidmatan berkenaan.

Dalam jawapan bertulis beliau di Parlimen hari ini, DPM Teo berkata dengan tidak membolehkan variasi sedemikian, amalan sekular Pemerintah boleh ditegakkan.

Ini juga kata beliau akan meyakinkan rakyat bahawa mereka akan menerima khidmat-khidmat utama dengan adil dan saksama tanpa mengira kaum atau agama.

DPM Teo berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan AP pembangkang, Pritam Singh, yang mahu tahu sama ada Pemerintah akan menimbangkan kemungkinan membolehkan pemakaian hijab dalam perkhidmatan beruniform.

Pemerintah kata Encik Teo perlu mengimbangi keperluan kumpulan-kumpulan berbeza dalam masyarakat Singapura yang berbilang kaum dan agama.

Encik Teo yang juga menjadi Menteri Ehwal Dalam Negeri menambah, rakyat Singapura memahami perlunya mengimbangi apa yang diinginkan kumpulan mereka, dengan keperluan memenuhi kumpulan lain.

Serta memahami perlunya mengekalkan ruang bersama yang memberi manfaat kepada semua, terutama kumpulan-kumpulan minoriti.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *