Rumah Shah Iskandar Dipenuhi Kulat

KUALA LUMPUR: Kediaman yang selama ini menjadi tempat berteduh dan berlindung bertukar menjadi penuh berkulat selain lembap akibat kebocoran di bahagian siling rumah membuatkan pelakon Shah Iskandar tidak keruan jadinya.

Hal itu disedari Shah yang juga pemenang trofi Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2013 sekembalinya beliau dari penggambaran drama di Cherating, Pahang selama dua hari.

Shah mengakui terpaksa meminta jasa baik produksi Zeel Production hari ini untuk mengecualikan dirinya daripada menjalani penggambaran drama Bib bagi menguruskan masalah kondominium yang didiaminya di Damansara Perdana.

“Saya sendiri jadi geli tengok baju, sofa, kasut dan beg contohnya tumbuh kulat. Selalunya saya ingat paip di sinki akan bocor yang menyebabkan berlakunya lantai basah. Ini kebocoran berlaku dari atas siling. Peliknya hanya saya yang mengalaminya.

“Sejak pagi tadi saya terpaksa bertemu pihak pengurusan kondominium untuk menyelesaikan masalah ini. Tapi hanya petang tadi, saya mendapat perkembangan terkini apa tindakan pihak mereka selanjutnya. Itupun selepas kali kedua saya ke pejabat mereka.

“Akhirnya pihak pengurusan menjelaskan berlaku kebocoran paip dari atas siling. Mereka akan menyelesaikan masalah ini secepat mungkin.

“Saya pula terpaksa mengetepikan barang di satu sudut supaya tidak lagi ditimpa air. Berkemungkinan saya kena tidur hotel malam ini,” katanya yang turut terpaksa memindahkan dua kucing peliharaan ke tempat lain sehingga rumahnya bersih seperti sedia kala.

Source: bharian.com.my

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *