BAPA Lancar Kempen Mengumpul Dana Bagi Membantu Pelarian Syria

DERMA ikhlas masyarakat Singapura sangat diharapkan bagi membantu rakyat Syria yang berlindung di kem pelarian dekat sempadan Turkey.

Mereka yang tinggal dalam khemah di kawasan pergunungan sedang menghadapi musim salji yang sangat sejuk dengan suhu -10 darjah Celsius.

Justeru, Badan Agama Dan Pelajaran Radin Mas (Bapa) melancarkan kempen mengumpul dana kecemasan baru-baru ini bagi membantu pelarian itu.

Kempen tersebut akan diteruskan sehingga hujung bulan ini, kata Ketua Khidmat Kemanusiaan Bapa, Ustaz Muhammad Zahid Mohd Zin.

Pihaknya tidak meletakkan jumlah sasaran untuk dikumpul, namun berharap masyarakat Singapura dapat menghulurkan derma seikhlas hati bagi mengurangkan penderitaan mangsa perang saudara di negara Timur Tengah itu.

Menurut Ustaz Zahid, jumlah yang dikumpul akan diserahkan kepada rakan kerja mereka di Syria, Muslim Aid Australia, untuk membeli barang keperluan musim sejuk seperti selimut, alat pemanas dan pakaian panas.

“Bantuan itu akan dihulurkan kepada sekitar 20,000 pelarian yang tinggal dalam keadaan penuh kedaifan, dalam khemah yang dibuat daripada kanvas tipis. Tiada alat pemanas dalam khemah itu. Bayi perlu sentiasa didukung agar mereka tidak terdedah kepada udara sejuk.

“Setiap malam, ahli keluarga tidur dalam keadaan berpelukan bagi mengurangkan rasa dingin,” kata Ustaz Zahid, yang kali terakhir pergi ke Syria April lalu.

Beliau menambah bahawa kadar kematian bayi dan warga emas di kem pelarian semasa musim sejuk meningkat setiap tahun sejak empat tahun lalu. Mangsa meninggal dunia akibat radang paru-paru.

Ustaz Zahid menerangkan bahawa ini kali pertama Bapa membuat rayuan kecemasan sejak mula mengumpul dana bagi keperluan musim sejuk dua tahun lalu.

“Kami diberitahu musim salji kali ini terlalu sejuk, berbeza daripada tahun-tahun sudah.

“Cuaca di Syria mula dingin sejak September dan musim sejuk hanya akan berakhir sekitar Mac. Cuaca paling buruk dijangka berlaku bulan ini dan bulan depan.

“Disebabkan itu, kami hanya mengadakan kempen mengumpul dana bagi keperluan musim sejuk sehingga hujung bulan ini,” jelas Ustaz Zahid.

Beliau berkata bekalan musim sejuk yang telah disediakan badan-badan kemanusiaan, seperti kayu api, semakin susut sedangkan pada mulanya ia dijangka dapat bertahan sehingga Februari.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *