TNI Layak Dianggap Sebagai ‘Abang” Dalam ASEAN

JAKARTA: Tentera Nasional Indonesia (TNI) layak dianggap sebagai ‘abang’ (big brother) dalam Asean memandangkan kesemua 10 negara anggota pertubuhan mengiktiraf kepimpinan TNI, kata Jeneral Moeldoko, panglima tentera republik itu.

Namun, pada masa yang sama, jurucakap Kementerian Ehwal Luar Indonesia, Encik Arrmanatha Christiawan Nasir, cuba meredakan nada kenyataan panglima TNI itu. Beliau berkata, Asean akan sentiasa menjadi asas utama dasar luar Indonesia.

Kenyataan berani Jeneral Moeldoko itu dinyatakan beliau dalam satu sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pucuk pimpinan TNI Isnin lalu.

Laporan The Jakarta Post kelmarin memetik jeneral yang dilantik panglima pada Ogos tahun lalu itu sebagai berkata Indonesia sebagai anggota terpenting Asean mendukung kedudukan genting dalam memastikan keselamatan dan kemantapan serantau.

“Kami punya sebuah forum yang dihadiri panglima tentera Asean (dan ketua pertahanan). Kesemua mereka mengiktiraf keunggulan kami,” kata panglima asal Kediri dan berusia 57 tahun itu.

“Kami punya satu perjanjian kerjasama antara TNI, Asean dengan negara Asia Pasifik. Kami cuba menjadikan TNI sebagai abang dalam Asean,” kata Jeneral Moeldoko, yang menerusi kenyataannya itu jelas merujuk kepada sidang tahunan Forum Serantau Asean (ARF).

Tambah beliau, dalam mesyuarat yang dihadirinya itu mereka telah membincangkan tentang isu pertikaian di Laut China Selatan dan harapan Indonesia untuk menjadi perintis dalam mengekalkan kestabilan di kawasan tersebut dengan melaksanakan diplomasi dengan China dan Amerika Syarikat.

“Selepas saya dilantik (sebagai panglima tentera), saya ketemu panglima dari Filipina dan Vietnam. Kemudian, saya ketemu panglima tentera dari China untuk menyampaikan keprihatinan kita (tentang pertikaian di Laut China Selatan),” kata Jeneral Moeldoko.

Indonesia bersama-sama Brunei, Malaysia, Taiwan, Filipina dan Vietnam, telah mengemukakan tuntutan bertindih dalam soal Laut China Selatan di China.

“Saya menyatakan kepada ketua turus tentera China bahawa Indonesia dan negara (lain) Asean faham tentang pembangunan tentera China. Namun demikian, kami menjangkakan China tidak akan menimbulkan ketidakstabilan dalam rantau Asean,” katanya lagi.

Jeneral Moeldoko berkata, beliau turut melahirkan sentimen serupa kepada panglima tentera Amerika Syarikat, Jeneral Martin Dempsey.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *