Yayasan Rahmatan Lil Alamin Raih Lebih $240, 000 Bagi Dana Nepal

Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) berjaya mengumpul $241,468 untuk mangsa gempa bumi di Nepal.

Wang sumbangan masyarakat Melayu/Islam itu dikumpul hasil satu usaha mengumpul dana khas, dengan tabung derma diletakkan di 68 masjid di sini pada 1 Mei hingga 6 Mei lalu.

Jumlah yang terkumpul itu disampaikan kepada badan bantuan kemanusiaan, Mercy Relief.

Pengerusi Jawatankuasa RLAF, Haji Paiman Supangat, menyampaikan cek kepada Pengurusi Mercy Relief, Encik Michael Tay, di ibu pejabat badan tersebut di Lorong 1 Toa Payoh semalam.

Turut hadir dalam upacara penyampaian cek itu ialah ketua eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Haji Abdul Razak Hassan Maricar; konsul kehormatan Nepal di Singapura, Encik Madhusudan Patel; dan anggota lembaga Mercy Relief, Dr Mukhlis Abu Bakar.

RLAF bekerjasama dengan badan bantuan kemanusiaan Mercy Relief bagi menyalurkan bantuan itu kepada rakyat Nepal yang terjejas dengan gempa yang mengorbankan 8,000 jiwa dan mencederakan 19,000 yang lain.

Dengan sumbangan derma daripada RLAF itu, kutipan dana Mercy Relief bagi kerja bantuan kemanusiaan ke Nepal mencapai lebih daripada $1 juta.

Ditemui media dalam acara semalam, Encik Tay berkata beliau amat berterima kasih dengan inisiatif badan korporat dan institusi seperti RLAF bagi membantu mangsa gempa bumi di Nepal.

“Mercy Relief berbesar hati dan rasa terharu kerana begitu banyak pertubuhan tampil memberikan bantuan dalam masa yang sukar ini.

“RLAF dan Persatuan Soka Singapura adalah antara pertubuhan utama yang menyumbang kepada mangsa gempa di Nepal,” kata Encik Tay sambil menambah bahawa Mercy Relief akan meneruskan usaha mengumpul dana hingga akhir Jun ini.

Sementara itu, anggota lembaga pengamanah RLAF, Encik Zainul Abidin Ibrahim, berkata sambutan terhadap usaha mengumpul dana itu menunjukkan masyarakat Melayu/Islam Singapura bersedia membantu masyarakat lain yang menghadapi krisis.

“Alhamdulillah kita dapat mengumpulkan jumlah yang agak besar bagi projek ini. Ini juga menunjukkan masyarakat Melayu/Islam Singapura bersedia membantu masyarakat lain dan ini satu sifat yang kita inginkan dalam masyarakat kita,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mercy Relief telah membantu lebih 27,000 mangsa yang terjejas di Nepal, termasuk di kawasan pergunungan yang sukar menerima bekalan asas seperti makanan dan perubatan.

Dengan dana yang dikumpulkan, Mercy Relief juga akan membantu membina rumah peralihan sebelum musim monsun di Nepal.

Dr Mukhlis menjelaskan rumah sementara itu boleh dimanfaatkan mangsa buat jangka masa pendek.

“Yang penting sekarang ini adalah membina perumahan bukan buat jangka masa panjang, tetapi membolehkan mereka mempunyai tempat berteduh sebelum perumahan yang lebih kekal dibina,” katanya.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *