DJ KC Tidak Mahu Campur Tengkarah Antara Adik Dan Pelanggan

Tengkarah yang melibatkan seorang pelanggan dengan seorang perancang majlis walimah mengenai wang yang tidak dikembalikan, kini membabitkan seorang deejay setempat.

Akibatnya, deejay KC, atau nama sebenar Abdul Karim Sadali, 34 tahun, menulis dalam akaun Facebooknya mengenai kes itu dalam usaha menjelaskan kedudukannya.

Dalam Facebooknya semalam, deejay KC menjelaskan yang beliau tiada kaitan dengan perjanjian yang dibuat antara pelanggan tersebut dengan perancang majlis walimah itu – yang kebetulan adik kandungnya.

Ini selepas pelanggan berkenaan, Cik Sharifah Nur Shahirah Hussien, 25 tahun, menyatakan dalam Facebooknya bahawa deejay KC ialah abang penyedia khidmat walimah itu, Encik Muhammad Kadir Sadali, 32 tahun.

Ini dilakukan Sharifah Nur Shahirah sebagai usaha mendapatkan semula wang pendahuluannya berjumlah $2,350 daripada Encik Muhammad Kadir yang didakwa telah membatalkan kontrak dengannya.

Akibatnya, bermacam-macam komen yang dilemparkan dalam laman sosial Facebook (FB) sehingga membabitkan nama deejay KC.

“Sememangnya adalah patut dan adalah hak pelanggan (dalam hal ini) untuk minta balik wang iaitu hak beliau dari penyedia khidmat itu tetapi apa yang sungguh menghampakan sikap pelanggan yang tidak bertanggungjawab itu.

“Persoalannya kenapa mesti dalam posting anda harus menggunakan dan membabitkan nama saya ye? Walaupun sekali dia adalah orang terdekat adik, mak, nenek, abang sedara, kakak sedara dan sebagainya itu adalah urusan anda dan dia. Kepada pelanggan tersebut saya tidak ada kena-mengena dengan masalah anda berkaitan penyedia khidmat yang tidak bertanggungjawab itu kerana:

1. Itu bukan syarikat saya

2. Saya tidak ada share (kongsi)

3. Ketika beliau tandatangan kontrak bersama penyedia khidmat yang tidak bertanggungjawab saya bukanlah saksi dan guarantor

4. Saya tidak dapat sesen komisen darinya

5. Dia bukan 15 tahun. Pada usia 32 tahun dia bertanggungjawab atas perbuatannya sendiri.

6. Saya sendiri kena delete (padamkan) dari FB-nya dan block dari WhatsAppnya.

7. Sudah bertahun tidak berjumpa dan tidak tahu mana dia tinggal,” kata deejay KC.

Sehingga lewat malam semalam, wartawan hanya mendapat jawapan ringkas daripada deejay KC melalui WhatsApp menyatakan bahawa beliau telah menjelaskan kedudukannya dalam FB-nya, “ia hanya perkara kecil tapi saya perlu jelaskan”.

Sementara itu, Encik Muhammad Kadir, yang juga dikenali sebagai deejay Shaboy, mengakui beliau tidak dapat memulangkan wang berjumlah $2,350 itu kepada pelanggannya itu buat masa ini.

Cik Sharifah Nur Shahirah menulis dalam laman FBnya bagaimana Encik Muhammad Kadir yang sebelum ini diambilnya selaku perancang majlis walimahnya memutuskan mahu memulangkan wang pendahuluannya itu dan enggan lagi menawarkan khidmatnya kepada wanita itu.

Encik Muhammad Kadir pernah menggunakan sebuah syarikat perancang majlis persandingan, SB Entertainment and Wedding Services, di bawah nama bekas isterinya, namun telah menarik diri daripada syarikat itu selepas mereka berpisah.

“Kalau nak bayar sepenuhnya, ia bak membayar seluruh pendapatan saya untuk bulan itu,” katanya yang kini bekerja dengan syarikat perancang perkahwinan lain,” katanya semasa dihubungi.

Beliau mendakwa pelanggannya itu telah “beberapa kali mengubah jadual persandingannya” sehingga menjejas perancangannya untuk mencari bekalan bagi segala keperluan majlis tersebut.

Sementara itu, Sharifah Nur Sahirah yang dihubungi pula berkata yang beliau telah membuat perjanjian dengan Encik Muhammad Kadir pada September tahun lalu bagi khidmat katering, hiasan, andaman dan deejay. Kos keseluruhan dianggar sekitar $10,000.

Beliau mendakwa telah pun membuat dua perancangan bagi dua tarikh berbeza – akhir tahun ini untuk majlis nikah dan tahun hadapan majlis persandingan.

“Deejay Shaboy kemudian tidak puas hati apabila saya hubungi beliau dan bertanyakan mengapa saya tidak diberitahu tentang perubahan pada syarikat yang akan mengendalikan majlis saya nanti. Ini penting kerana invois pembayaran juga akan berubah,” kata paramedik itu lagi.

Beliau serta pasangannya, Encik Mohammed Zaki Salamat, juga 25 tahun, kini mendapatkan syarikat lain untuk mengendalikan majlis mereka itu, katanya, yang mendapat tahu tentang khidmat Encik Muhammad Kadir menerusi FB.

Mengenai pembabitan nama deejay KC, Cik Sharifah Nur Shahirah menjawab:

“Saya minta maaf sekiranya saya babitkan nama beliau. Yang penting saya tiada hasrat libatkan beliau dalam tengkarah ini.

“Yang penting kini, saya dapatkan semula wang pendahuluan saya. Itu saja,” katanya lagi.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *