Yaacob Ibrahim Terajui Pasukan PAP Jalan Besar GRC

Menteri Perhubungan dan Penerangan, Dr Yaacob Ibrahim, akan menerajui pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Jalan Besar yang dibentuk semula bagi Pilihan Raya Umum akan datang.

Selain Dr Yaacob, melengkapi pasukan PAP di GRC Jalan Besar ialah Menteri Negara Kanan (Pejabat Perdana Menteri), Encik Heng Chee How; Mayor Central Singapore, Cik Denise Phua; dan AP veteran, Dr Lily Neo.

Pasukan itu dijangka menghadapi saingan daripada pasukan Parti Pekerja (WP).

GRC Jalan Besar dibentuk semula dalam semakan sempadan kawasan undi baru-baru ini, menggantikan GRC Moulmein-Kallang.

Semalam, PAP turut mengumumkan pasukannya bagi GRC West Coast, yang telah dikurangkan daripada GRC lima anggota kepada GRC empat anggota.

GRC itu akan menampilkan anggota baru – Encik Patrick Tay.

Tiga lagi anggotanya ialah Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Lim Hng Kiang; Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Encik S. Iswaran; dan AP, Cik Foo Mee Har.

Encik Tay menggantikan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Lawrence Wong, yang mengetuai GRC Marsiling-Yew Tee yang baru, bersama Speaker Parlimen, Cik Halimah Yaacob.

Encik Tay, Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), sebelum ini adalah AP GRC Nee Soon.

Encik Lim, yang menyertai politik pada 1991, akan memimpin GRC tersebut bersama Encik Iswaran.

Encik Cedric Foo pula diumumkan akan kekal dalam Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Pioneer.

Sementara itu, GRC Chua Chu Kang melihat seorang muka baru – Encik Yee Chia Hsing.

Beliau menggantikan Encik AlvinYeo, yang meninggalkan politik setelah berkhidmat selama dua penggal.

Menteri Kesihatan, Encik Gan Kim Yong, kekal menerajui GRC tersebut.

Anggota-anggota lain pasukannya ialah AP-AP Encik Zaqy Mohamad dan Cik Low Yen Ling.

Selain PAP, parti pembangkang juga tidak melepaskan peluang mengadakan lawatan menemui penduduk di serata pulau.

Dalam lawatan ke pasar dan pusat makanan Chong Pang, Pengerusi WP, Cik Sylvia Lim, mendedahkan kepada media bahawa AP partinya akan kekal di kawasan undi masingmasing mempertahankan kerusi Parlimen mereka.

Sementara itu, Parti Rakyat Singapura (SPP) dan Parti Progresif Demokratik (DPP) masih mengadakan perbincangan menampilkan pasukan gabungan bertanding bagi GRC Bishan-Toa Payoh.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *