Cabaran Di Sebalik Hubungan Baik Dengan Indonesia

Indonesia negara yang penting bagi Singapura kerana sebagai negara besar ia menentukan “nada” bagi rantau ini.

Justeru, apabila Indonesia mantap, semua negara jirannya akan meraih faedah.

Tetapi jika Indonesia berada dalam keadaan yang tidak menentu, Asia Tenggara boleh terjejas, seperti yang berlaku semasa Konfrontasi, ujar Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Menurut beliau, Singapura menikmati hubungan yang baik dengan Indonesia buat bertahun-tahun lamanya.

Ini termasuk dengan Presiden Suharto sejak 1970-an dan kemudian dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pada dekad yang lalu.

“Saya mengalu-alukan dapat meneruskan hubungan yang baik ini dengan Presiden Jokowi (Joko Widodo),” ujar Encik Lee.

Namun, beliau mengingatkan bahawa Indonesia negara yang besar dan kompleks dan terdapat banyak pandangan dalam negara itu sendiri berhubung dengan negara jiran mereka.

Satu pandangan biasa warga Indonesia mengenai Singapura, katanya, ialah Singapura negara kecil yang menikmati kejayaan yang tidak sepatutnya.

Semasa Hari Kebangsaan Singapura, sebuah akhbar Indonesia menerbitkan rumusan hubungan antara Singapura dengan Indonesia.

Laporan itu menukil seorang ahli politik kanan di sana mengenai jerebu.

“Saya akan hanya menimbangkan meminta maaf (bagi jerebu) jika Singapura dan Malaysia berterima kasih dengan oksigen yang dinikmati (daripada hutan Indonesia) bagi selama 11 bulan (setiap tahun).”

Encik Lee berkata walaupun pandangan tersebut tidak mencerminkan pandangan pemerintah Indonesia, Singapura harus memberi perhatian.

“Ia satu set minda yang sudah berdarah daging – satu titik merah yang kecil ini harus tahu tempatnya di dunia ini – dan pandangan ini tidak akan lesap bagi masa yang lama,” tambah beliau.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *