Kapten Pasukan Bolasepak Wanita Iran Dilarang Suami Sertai Kejohanan Futsa Asia

TEHRAN: Kapten pasukan bola sepak wanita Iran tidak akan bersama pasukannya di satu kejohanan futsal Asia di Malaysia minggu depan.

Ini kerana suami wanita itu menggunakan haknya di bawah undang-undang syariah untuk menghalang beliau daripada membuat perjalanan ke luar negara.

Mehdi Tutunchi, seorang juruhebah sukan, berkata isterinya, Niloofar Ardalan, tidak dapat mengetuai pasukan bola sepak negara di kejohanan yang akan berlangsung pada 21 hingga 26 September di Nilai itu, kerana anak lelaki mereka yang berusia 7 tahun mula bersekolah pada hari itu.

Cik Ardalan secara terbuka merayu supaya dapat mewakili negaranya di perlawanan futsal wanita yang pertama dianjurkan Persekutuan Bola Sepak Asia tersebut – sesuatu yang menarik perhatian ramai warga Iran di media sosial.

Beliau merayu agar undang-undang negara itu yang tidak membenarkan wanita Iran meninggalkan rumah mahupun negara mereka, tanpa izin suami atau anggota keluarga lelaki mereka, supaya diubah. Undang-undang tersebut berkuatkuasa di Iran sejak Revolusi Islam pada 1979.

“Saya berharap pihak berkuasa akan meluluskan undang-undang untuk para atlit wanita supaya kami dapat mempertahankan hak kami dalam keadaan-keadaan seperti ini.

“Sebagai seorang wanita Islam, saya hanya mahu mewakili negara saya, saya bukan mahu ke sana (luar negara) untuk tujuan suka-suka,” kata Cik Ardalan kepada agensi berita Iran, NASIM.

Sebagaimana lelaki Iran yang belum tamat menjalankan perkhidmatan tentera perlu mendapatkan permit sementara untuk menghadiri acara-acara sukan di luar negara, “sesuatu perlu dilakukan untuk wanita juga,” ujar beliau.

Ramai rakyat Iran melahirkan simpati kepada Cik Ardalan dan mengutuk tindakan suaminya itu di laman Facebook.

“Untuk menghebahkan perkara ini secara terbuka di Iran… Wanita ini seorang yang sangat berani dan tidak mementingkan diri sendiri,” kata Atefeh Amin di sebuah laman Facebook yang memperjuangkan hak wanita.

Seorang lagi pengguna Facebook pula mengkritik suami Cik Ardalan. “Encik Tutunchi, anda melucutkan hak seorang insan untuk menjalani kehidupannya sendiri. Tidak kira apa sebabnya, anda tidak boleh berbuat begitu,” kata Samaneh.

Namun apabila kritikan terhadap tindakan suaminya itu kian lantang, Cik Ardalan kemudian berkata ia satu isu peribadi, dan beliau kesal bahawa “media anti-revolusi” mempergunakan kesnya itu.

“Saya seorang wanita Islam Iran, dan hal ini adalah hal peribadi dan keluarga saya. Saya hanya menceritakan masalah saya dan meminta ia dihuraikan. Ia bukan hal orang lain,” ujar Cik Ardalan kepada NASIM.

Tidak seperti di negara-negara Islam lain di rantau itu, wanita Iran dibenarkan memandu, keluar mengundi dan bekerjaya, malah kebanyakan pelajar di universiti-universiti negara itu adalah wanita.

Namun, wanita Iran diwajibkan mengenakan hijab dan tidak dibenarkan melakukan kegiatan tertentu, seperti menyaksikan acara sukan oleh atlit lelaki di stadium, bernyanyi secara solo di konsert, dan mengayuh basikal di jalan raya.

Presiden Iran, Hassan Rouhani, yang mula menyandang jawatan itu pada 2013, mempunyai tiga naib presiden wanita.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *