Masagos Bantu Yaacob Ibrahim Dalam Hal Ehwal Melayu/Islam

ENCIK Masagos Zulkifli Masagos Mohamad berkata beliau mahu menggunakan infrastruktur yang tersedia seperti Muis dan Mendaki bagi mendekati dan membantu masyarakat Melayu/Islam Singapura menangani cabaran dari dunia luar seperti fahaman ekstremis.

“Saya telah lama membantu pemerintah mengatasi masalah fahaman ekstremis di kalangan masyarakat kita yang dipengaruhi oleh Internet ataupun dari ajaran-ajaran yang ekstrem, terutama dalam bidang kerja saya di MHA.

“Saya telah mendampingi masyarakat di pelbagai peringkat dan kini saya bekerja dengan Dr Yaacob. Saya akan dapat bekerjasama dengannya melalui infrastruktur seperti Muis dan Mendaki dan meluaskan bahagian di mana kita dapat membentuk masyarakat Melayu/Islam dalam menghadapi cabaran ini – sebagai warga Singapura, juga sebagai sebuah masyarakat, dalam dunia moden ini dan juga bagi masa akan datang,” kata Encik Masagos.

Encik Masagos bakal melepaskan jawatannya sebagai Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua di Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) serta Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Beliau turut meluahkan keinginan bekerjasama dengan lebih erat bersama Dr Yaacob dan juga Anggota Parlimen Melayu lain bagi meningkatkan peluang masyarakat Melayu/Islam agar sama-sama maju di Singapura tanpa melupakan identiti sebagai orang Islam dan juga budaya sebagai orang Melayu.

Dalam ucapannya semalam, Encik Lee berkata beliau telah berbincang dengan Dr Yaacob tentang peranan Encik Masagos di Mendaki.

“Saya telah berbincang dengan Dr Yaacob dan beliau akan melantik Masagos sebagai timbalan pengerusi Yayasan Mendaki,” kata Encik Lee.

Mendaki kini dipengerusikan Dr Yaacob yang kekal sebagai Menteri Perhubungan dan Penerangan.


“Saya telah mendampingi masyarakat di pelbagai peringkat dan kini saya bekerja dengan Dr Yaacob. Saya akan dapat bekerjasama dengannya melalui infrastruktur seperti Muis dan Mendaki dan meluaskan bahagian di mana kita dapat membentuk masyarakat Melayu/Islam dalam menghadapi cabaran ini – sebagai warga Singapura, juga sebagai sebuah masyarakat, dalam dunia moden ini dan juga bagi masa akan datang.’’

– Encik Masagos Zulkifli

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *