Kerja Peningkatan Masjid Al-Falah Selesai Sudah

Masjid Al-Falah yang menjadi tumpuan ramai pengunjung Islam yang bekerja dan membeli-belah di kawasan Orchard Road, selesai menjalani kerja-kerja peningkatan selama setahun.

Selain menyediakan ruang solat yang lebih luas dan selesa, masjid yang terletak di aras bawah Bangunan Cairnhill Place itu, juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan baru serta ciri-ciri yang lebih mesra warga emas dan keluarga.

Antaranya – sebuah lif baru bagi para jemaah yang memerlukan bantuan khas untuk ke tingkat atas, bilik air bagi golongan kurang upaya, bilik menyusukan bayi untuk kaum ibu serta beberapa tanjakan di kawasan masjid bagi kemudahan para pengguna yang berkerusi roda.

Bagi menandakan selesainya kerja naik taraf di masjid itu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, mendedahkan sebuah plak sebelum menunaikan solat Jumaat.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada masyarakat kita kerana sumbangan mereka yang membolehkan kita menjalankan program-program peningkatan masjid demi memenuhi keperluan masyarakat kita,” kata Dr Yaacob ketika ditemui pihak media.

Beliau juga percaya setiap masjid perlu diubahsuai mengikut keperluan para jemaah yang berbeza-beza.

“Untuk golongan dewasa, mereka yang ada anak kecil, untuk para ibu bapa dan sebagainya. Jadi lif, tanjakan dan sebagainya yang diperlukan akan disediakan. Tapi pada masa yang sama juga, kita renung kembali apakah keperluan masjid itu dari segi demografik,” ujar beliau.

Turut hadir – Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Abdul Razak Maricar, Mufti negara, Dr Mohamed Fatris Bakaram, Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Falah, Encik Yahya Hashim serta Mantan Mufti Negara, Encik Syed Isa Mohamed Semait, yang memimpin solat Jumaat.

Ia disertai lebih 2,000 jemaah yang memenuhi kedua-dua dewan solat lelaki dan wanita yang kini lebih selesa dengan pemasangan sistem hawa dingin serta permaidani baru.

Ruang ibadah masjid juga lebih luas dengan tambahan ruang lantai lebih 500 meter persegi. Ia kini mampu menampung 2,000 jemaah, berbanding 1,500 sebelum ini.

Golongan belia juga tidak dilupakan. Sebuah bilik khas disediakan di tingkat dua bagi para belia menjalankan pelbagai kegiatan, ataupun sekadar untuk beristirehat dan berinteraksi.

Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Falah, Encik Yahya Hashim, berkata: “Mereka dahulu mendapat bilik kecil sangat, daif sangat. Tapi sekarang pihak lembaga fikir, untuk menyahut seruan MUIS, kita harus melakukan sesuatu yang lebih proaktif. Pihak lembaga sangat menggalakkan belia-belia ini untuk bersama-sama dengan ahli lembaga, bekerjasama dengan kita dan boleh menjalankan apa aktiviti atau program yang mereka perlukan.”

Menurut anggota kumpulan belia di Masjid Al-Falah, Filzah Hanani, kewujudan bilik khas itu dapat memudahkan mengendalikan pelbagai program.

“Bagi kami, susah untuk mencari untuk berdiskusi untuk membuat program ataupun mengendalikan bengkel dan sebagainya. (Dan) Sekarang kita mempunyai bilik sendiri maka ia memudahkan kita untuk mengendalikan program dan sebagainya,” kata beliau.

Bahagian luar masjid turut diberi nafas baru dengan reka bentuk yang menggabungkan unsur moden dan tradisional – sesuai dengan kedudukannya sebagai satu-satunya masjid di bandar komersil Orchard.

Kerja-kerja peningkatan ini adalah sebahagian daripada Program Peningkatan Masjid (MUP) Fasa Kedua. Ia menelan belanja $2.6 juta – $750,000 daripada jumlah itu dibiayai Dana Pembangunan Masjid (MBF).

Ini merupakan kali pertama Masjid Al-Falah menjalani kerja peningkatan besar-besaran sejak dibuka pada 1987.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *