50 Yahudi Indonesia Jamu Ulama Muslim, Diplomat Amerika, Sempena Perayaan Seder

Merdeka.com: 50 orang Yahudi Indonesia berhimpun dalam perayaan Seder, yang merupakan sebuah tradisi makan malam bersama yang dilangsungkan setiap tahun sejak berabad lamanya.

Antara yang diundang ke majlis yang diadakan di Indonesia pada Jumaat lalu (22 Apr) termasuklah Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken dan beberapa orang ulama Muslim.

Ustaz Suhai Suat, salah seorang ulama Muslim yang menghadiri majlis jamuan tersebut memberitahu rancangan televisyen Israel Channel 10 bahawa semua agama di dunia ini mempunyai tujuan yang sama, iaitu keamanan.

“Maka itu kita tidak sepatutnya mengancam antara sesama manusia,” menurut Ustaz Suhai.

MENGENAI KAUM YAHUDI INDONESIA

Antara ulama lain yang turut hadir ke majlis perayaan tersebut termasuk Ketua Umum Ikatan Mubaligh Seluruh Indonesia, Kiayi Haji Yayan Hendrayana, serta Ketua Umum Gerakan Pemuda Islam Indonesia (GPII), Encik Karman.

Menurut Encik Blinken seperti yang ditukil oleh laman Times of Israel: “Lelaki dan wanita yang berbeza kepercayaan agama dapat berhimpun untuk meraikan perayaan tradisional Yahudi di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam. Ini adalah sesuatu yang amat baik.”

Majlis perayaan Yahudi yang disambut meriah itu menandakan sesuatu yang penting di negara tersebut, hanya tiga tahun setelah anggota pelampau Islam memberikan tekanan kepada pihak berkuasa supaya menutup satu-satunya saumaah (synagogue) di ibu kota Indonesia itu, lapor Times of Israel.

Yahudi Indonesia kebanyakannya merupakan keturunan kaum Yahudi Iraq dan Belanda yang berhijrah ke sana sejak tahun 1920-an.

Memandangkan agama Yahudi tidak diiktiraf di Indonesia, kad pengenalan mereka lazimnya diletakkan sebagai beragama ‘Kristian’.

MENTERI ISRAEL: ADA KERJASAMA RAHSIA INDONESIA-ISRAEL

Bulan lalu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu bertemu dengan beberapa wartawan Indonesia di pejabatnya di Baitulmakdis.

Beliau mengatakan, sebenarnya banyak hubungan dua hala terjalin antara Indonesia dengan Israel.

“Banyak sekali kesempatan untuk menjalankan kerja sama dua hala, terutama dalam bidang teknologi air dan teknologi tinggi,” ujar Encik Netanyahu kepada wartawan dari pelbagai wartawan media Indonesia.

Menurut media Israel lagi, pada awal bulan Mac, Timbalan Menteri Luar Israel Tzipi Hotovely memberitahu parlimen Israel bahawa Tel Aviv mempunyai hubungan rahsia dengan Jakarta.

Namun demikian, pemerintah Israel melarang Menteri Luar Indonesia Retno L. P. Marsudi masuk ke wilayah Ramallah untuk melantik Konsul Kehormatan.

Menurut pihak Israel, ia tidak mengizinkan Menteri Luar Retno masuk ke Israel kerana beliau bukan sekadar mahu ke Baitulmakdis sahaja, tetapi dipercayai ada rancangan lain.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *