Yaacob Ibrahim: Nilai-Nilai Generasi Lalu Harus Terus Diamalkan Masyarakat Islam Hari Ini

Dengan perubahan dan transformasi yang berlaku dalam dunia sekarang ini, budaya lebih progresif yang dipegang generasi lalu seperti saling menghormati, merendah diri dan bersikap inklusif masih perlu diamalkan oleh masyarakat Islam hari ini.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim juga berkata menerusi pendekatan kontekstual, masyarakat Islam mampu berpegang teguh kepada kepercayaannya dan pada masa yang sama menyumbang kepada pembangunan negara.

Beliau berkata demikian di Persidangan Islam dalam Dunia Kontemporari yang dianjurkan Sekolah Pengajian Antarabangsa Rajaratnam RSIS pagi tadi (28 Apr).

Dr Yaacob berkata sudah menjadi sifat setiap kumpulan agama di mana para penganutnya mahu memikir dengan mendalam bagaimana mengamalkan ajaran agama sebaik mungkin dan pada masa yang sama terus menjalin kehidupan hari ini.

Tetapi tidak seperti mereka yang menganggap bahawa visi dan tafsiran mereka sahaja yang mutlak dan tidak boleh dikritik, masyarakat Islam sepatutnya mengamalkan budaya yang lebih progresif dengan nilai-nilai seperti hormat-menghormati, merendah diri dan bersikap inklusif yang dipegang teguh oleh generasi terdahulu.

Beliau berkata pendekatan yang mengambil kira konteks dalam mengamalkan agama akan memastikan seorang Muslim itu boleh terus berpegang kepada tradisi agamanya dan pada masa yang sama menyumbang kepada pembangunan negara.

Dr Yaacob memberi contoh bagaimana masyarakat Islam Singapura menyesuaikan diri dalam konteks masyarakat berbilang kaum serta negara yang dipimpin secara sekular.

“Sebagai contoh ialah MBF, di mana diwujudkan oleh Encik Lee Kuan Yew, untuk kita gunakan sistem CPF untuk mendapatkan dana untuk mewujudkan masjid-masjid yang baru yang akan memenuhi keperluan keagamaan masyarakat Melayu/Islam,” kata Dr Yaacob.

“Ia menunjukkan bahawa keinginan kita untuk mencari huraian yang praktikal mendorong kita untuk sama-sama bekerjasama untuk mencari apa yang dinamakan “common ground” antara apa yang kita pegang sebagai kepercayaan kita, dan apa yang kita perlu untuk berlaku di Singapura,” tambah beliau.

Pemerintah juga mempunyai peranan dalam menyediakan sekitaran di mana dasar-dasar pemerintah menggalak kesederhanaan dan rasa hormat terhadap kepelbagaian budaya.

Dasar-dasar sebegitu menyokong pembangunan masyarakat yang padu.

Atas sebab itu, Singapura kata Dr Yaacob tidak menyokong mereka yang bersikap eksklusif dan yang cuba meletakkan sesebuah budaya sebagai lebih baik daripada yang lain.

Menurut beliau, ajaran-ajaran bersifat eksklusif boleh menyebabkan sikap saling tidak mempercayai semakin menebal di kalangan para penganut agama yang berlainan dan akhirnya ini akan membawa kepada konflik.

Masyarakat Singapura kata Dr Yaacob mempunyai tradisi berpegang kepada prinsip-prinsip sederhana, inklusif, menghormati kepelbagaian dan menyertai dengan aktif dalam pembangunan negara.

Inilah cara Singapura yang harus kita pertahankan dengan bersungguh-sungguh.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *