Recep Erdogan: Perancangan Keluarga Tidak Sesuai Untuk Keluarga Islam

ISTANBUL: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata perancangan keluarga dan pencegahan kehamilan tidak sesuai untuk keluarga-keluarga Islam.

Komen-komen Encik Erdogan, yang bertujuan menggalak pertumbuhan penduduk di Turki, membangkitkan kemarahan para aktivis wanita.

Encik Erdogan berkata adalah tanggungjawab para ibu untuk memastikan penduduk Turki terus bertambah. Jumlah penduduk negara itu meningkat pada kadar sekitar 1.3 peratus sejak beberapa tahun lalu.

“Saya akan katakannya dengan jelas.. Kita perlu meningkatkan bilangan keturunan kita,” kata beliau dalam ucapannya di Istanbul.

“Orang ramai bercakap tentang kawalan kelahiran, tentang perancangan keluarga. Tidak ada keluarga Islam yang boleh memahami dan menerimanya!

“Seperti firman Tuhan dan sabda Nabi Muhammad, kami akan mengikuti cara ini. Dan berhubungan hal ini, tugas pertama perlu dipikul kaum ibu,” tambahnya.

Encik Erdogan dan isterinya, Ermine mempunyai dua anak lelaki dan dua anak perempuan. Awal bulan ini, presiden Turki itu menghadiri majlis perkahwinan berprofil tinggi anak perempuannya, Sumeyye dengan usahawan pertahanan, Selcuk Bayraktar.

Anak perempuan sulungnya, Esra, yang berkahwin dengan Menteri Tenaga, Berat Albayrak, mempunyai tiga anak.

Kumpulan Wadah untuk Hentikan Keganasan Terhadap Wanita, yang menjalankan kempen untuk menghentikan pembunuhan ratusan wanita setiap tahun, mengecam komen-komen Encik Erdogan dan menyifatkannya sebagai mencabuli hak asasi wanita.

“Anda (Erdogan) tidak boleh merampas hak kami bagi pencegahan kehamilan, mahupun hak-hak kami yang lain dengan pengisytiharan anda yang datang dari Zaman Pertengahan. Kami akan melindungi hak asasi kami,” menurut kumpulan itu dalam kenyataan di Twitternya.

Encik Erdogan seringkali menjengkelkan para penyokong gerakan kewanitaan dan aktivis wanita, dengan komen-komennya tentang seks dan perancangan keluarga.

Dalam ucapannya bagi menandakan Hari Antarabangsa Wanita tahun ini, beliau berkata, beliau percaya bahawa “seorang wanita itu, lebih daripada perkara lain, adalah seorang ibu”.

Pada 2014, Encik Erdogan menyifatkan kawalan kelahiran sebagai “penderhakaan” yang berisiko membantutkan seluruh generasi.

Beliau juga pernah menggesa para ibu untuk mempunyai empat anak, dan berkata: “Seorang anak bermaksud kesepian, dua bermaksud persaingan, tiga maknanya keseimbangan dan empat bermaksud melimpah-ruah.”

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *