Datuk Rosyam Nor – Dulu Anak Setinggan, Kini Jutawan

Sejak dari dulu lagi, pelakon popular Datuk Rosyam Nor yang kini bergelar seorang penerbit drama dan filem amat berpegang teguh pada prinsip “ tidak ada kejayaan tanpa usaha”.

Berkat kerja keras yang tidak mengenal erti penat, Datuk Rosyam Nor kini seorang jutawan dan pencapaian beliau itu turut dibanggakan oleh peminat-peminatnya.

Kerana ingin mengongsi kunci kejayaan beliau, Datuk Rosyam menerbitkan buku tulisan beliau sendiri berjudul “Rosyam Nor: Impian Jutawan Budak Setinggan” yang dilancarkan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara lain, biografi Datuk Rosyam Nor itu turut memuatkan kata-kata perangsang yang bersandarkan kehidupan pelakon tersohor itu dari seorang anak setinggan sehingga menjadi jutawan.

MASIH BOLEH KECAP KEJAYAAN TANPA SEGULUNG IJAZAH

Dalam wawancara eksklusif dengan BeritaMediacorp, Datuk Rosyam turut mengongsi pengalaman beliau membesar dalam suasana setinggan.

“Dalam buku ini, saya menceritakan bagaimana saya bangun dari kesusahan sehingga ada perniagaan dan saya mengubah kehidupan saya. Saya lahir di kawasan setinggan, serba daif.

“Sebab itu setiap orang ada impian menjadi jutawan. Saya ada rahsianya dan rahsia itu ada saya selitkan dalam buku saya,” kata Datuk Rosyam.

Menerusi biografinya, pemilik syarikat penerbitan Suhan Movies itu juga ingin menarik perhatian bahawa sesiapa saja yang tidak mempunyai lulusan akademik seperti beliau masih boleh berjaya, selagi sanggup bekerja keras dan berwawasan.

“Sebenarnya lulusan akademik bukanlah sesuatu janji yang akan buat kita lebih berjaya dalam kehidupan kita. Ramai juga yang tiada lulusan akademik tetapi berjaya dalam kehidupan mereka,” ujarmya.

JANGAN CEPAT MENYERAH KALAH

Beliau dengan ikhlas menasihati para pembaca supaya jangan sekali-kali menggangap diri mereka lemah. Bagi insan seni ini, setiap manusia yang dijadikan Allah SWT ada kelebihan masing-masing termasuk kemahiran. Kemahiran itulah yang boleh membawa kejayaan.

“Saya berharap sesiapa yang baca buku saya ini akan dapat motivasi dari saya bahawa rezeki bukan datang dari manusia tapi rezeki itu datang dari Allah SWT. Mintalah apa saja dari Allah. Saya nak kongsi impian saya, saya nak jadi jutawan dan akhirnya ia menjadi kenyataan,” katanya.

Menyedari beliau tidak mempunyai kelulusan akademik, Datuk Rosyam bekerja keras untuk mengecapi kejayan. Beliau memilih untuk menceburi pelbagai bidang perniagaan sehingga akhirnya memiliki ladang seluas 175 ekar di Pahang untuk tanaman buah-buahan.

Mungkin sesetengah pengusaha akan berpeluk tubuh selepas menjadi pemilik sebuah ladang buah-buahan.

CEBURI BIDANG PERHOTELAN, JADI RAKAN KONGSI

Tetapi tidak bagi Datuk Rosyam Nor, yang turut menjadi rakan kongsi bagi tujuh buah hotel kos penginapan murah, MyHotel di seluruh Kuala Lumpur dan beberapa perniagaan lain.

Datuk Rosyam sebaliknya berpendapat bahawa artis juga perlu membuat persiapan masa depan dengan menceburi bidang perniagaan.

“Sebagai artis, akan tiba masanya kita tidak diperlukan lagi. Jadi inilah persiapan saya, membuka perniagaan untuk masa depan saya. Kalau usia semakin meningkat, tenaga semakin berkurangan dan mungkin peminat pun tidak lagi meminati saya, jadi kena ada ‘back-up plan’ untuk jamin ekonomi saya. Sebab itu saya usahakan beberapa perniagaan,” ujarnya.

Namun beliau akui beliau bukanlah seorang penulis yang prolifik. Dalam berseloroh, ini penjelasan beliau, “mungkin bahasa saya tidaklah sedap macam penulis hebat lain”.

Biografi yang mengambil masa hampir setahun untuk disiapkan itu berharga RM24.90 (S$8.30) dan kini boleh dibeli di semua cawangan MPH di seluruh Malaysia.

Untuk peminatnya di Singapura pula, ia masih dalam peringkat perbincangan untuk biografinya menembusi pasaran negara ini.

MASIH TERUS BERLAKON WALAU SIBUK KEMBANGKAN PERNIAGAAN

Meskipun Datuk Rosyam sibuk mengembangkan empayar perniagaan beliau, jutawan yang dikenali ramai dengan sifat rendah diri itu tidak pernah melupakan bidang lakonan yang banyak berjasa kepadanya.

Pelakon hebat itu kini sedang menjalani penggambaraan bagi filem aksi terbaru beliau berjudul “Special Branch”.

Selain itu, syarikat penerbitannya Suhan Movies turut bekerjasama dengan Skop Production untuk menghasilkan sebuah lagi filem aksi berjudul “Tailong” bersama Shamsul Yusuf selepas Lebaran nanti.

Kehebatan Datuk Rosyam sebagai seorang pelakon memang tidak dapat dinafikan.

Beliau baru-baru ini dipilih untuk berlakon dengan “superstar” terkemuka dari India, Rajinikanth, menerusi filem berjudul “Kabali”.

Beliau menjalani perfileman di Chennai, India selama 15 hari untuk penggambaran filem tersebut yang dipercayai dihasilkan dengan kos penerbitan bernilai RM120 juta (S$39.8 juta).

“Saya melihat Rajinikanth mampu kekalkan diri sebagai pelakon nombor satu India meskipun usia beliau 66 tahun,” kata Datuk Rosyam sebelum menamatkan wawancaranya bersama BERITAMediacorp.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *