Kurma Sumbangan Saudi Diagih Kepada Umat Islam Mulai Lusa

Lebih 40,000 kilogram kurma sumbangan Arab Saudi sudah sampai ke Singapura. Jumlah itu lebih banyak berbanding tahun lepas.

Kurma percuma yang diberikan atas dasar hubungan akrab antara Singapura dengan Arab Saudi akan mula diagihkan kepada orang ramai lusa (5 Jun).

Kontena pertama daripada tiga kontena berisi kurma jenis Barni dari Madinah tiba di Masjid Ba’alwie pada 10.00 pagi tadi (3 Jun).

Para sukarelawan segera memunggah keluar kotak-kotak kurma untuk diagihkan dan diisi di dalam bekas-bekas plastik.

Untuk hari ini dan esok, kurma akan diberi kepada masjid-masjid dengan setiap masjid menerima 20 kotak. Hampir 150 persatuan dan kumpulan juga bakal menerima kurma ini.

Menurut Imam Masjid Ba’alwie, Habib Hassan Al Attas, pengagihan kurma kepada pertubuhan dan orang ramai membawa erti mendalam yang harus disemarakkan dalam bulan Ramadan yang bakal menjelang.

“Ini adalah satu perkara yang kita rasa harus hidupkan dalam bulan Ramadan iaitu semangat gotong-royong, bantu-membantu, semangat berkongsi satu sama lain.

“Kita berasa gembira apabila mereka mengambil kurma bukan untuk diri mereka sendiri. Mereka ambil kurma untuk diberikan kepada keluarga, sahabat. Inilah salah satu semangat yang kita harus hidupkan di dalam bulan Ramadan,” ujarnya.

Sebanyak 10,000 mangkuk plastik berisi kurma akan diagihkan kepada orang ramai. Setiap orang akan diberi satu mangkuk berisi kurma seberat kira-kira 2 kilogram.

Orang ramai boleh mula mendapatkan kurma-kurma mulai 9.00 pagi, lusa.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *