Harga Barangan Makanan Diturunkan Hampir 70% Di UAE

ABU DHABI: Harga bagi 5,000 barangan makanan akan dikurangkan sehingga 70 peratus di pasar-pasar raya di serata Amiriah Arab Bersatu (UAE) sepanjang Ramadan ini.

Perkara itu diumumkan oleh Kementerian Ekonomi UAE, menurut laporan akhbar tempatan, The National.

Langkah-langkah lain bagi memastikan harga barangan makanan terus rendah pada bulan puasa termasuk lebih banyak import, perjanjian dengan para pembekal dan ratusan pemeriksaan yang akan dijalankan, kata pengarah jabatan perlindungan pengguna kementerian itu, Dr Hashem Al Nuaimi.

Potongan harga dan subsidi bagi 5,000 barangan makanan itu bernilai Dh250 juta (S$92 juta), kata Dr Al Nuaimi.

Menurut The National, Dr Al Nuaimi berkata, pihaknya mengadakan mesyuarat dengan 55 pembekal barangan makanan asas, seperti beras, tepung, minyak, jus dan susu, serta dengan 540 pasar raya dan cawangan lain untuk menggesa mereka menaikkan jumlah import.

Ini, katanya, agar keperluan yang meningkat semasa Ramadan dapat dipenuhi namun pada masa yang sama, memastikan harga barangan makanan kekal rendah.

Pihaknya juga merancang untuk menjalankan lebih 400 pemeriksaan terhadap pasar-pasar di UAE untuk memastikan para peruncit memberikan diskaun tersebut.

Potongan harga pada barangan makanan pada Ramadan kali ini, adalah lebih tinggi berbanding Ramadan lalu, kata ketua pegawai operasi Almaya Supermarkets, Bejoy Thomas.

Encik Thomas ditukil The National sebagai berkata, pihaknya mengurangkan harga beberapa barangan makanan asas seperti beras, minyak, produk susu dan ayam beku sebanyak 50 hingga 70 peratus menjelang Ramadan.

Ini katanya, hasil harga komoditi yang lebih rendah, pengurangan kos pengedar dan usaha secara bersama oleh para peruncit.

Menurut The National, warga UAE, Mohammed Al Dhaheri, 73 tahun, memuji langkah pemerintah namun katanya, jarang melihat harga makanan dikurangkan semasa bulan Ramadan.

“Setiap tahun kita dengar harga akan dikurangkan, tetapi sebenarnya, harga tidak pernah turun,” katanya.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *