Pelakon Singapura Hisyam Hamid Jadi “Ustaz” Sepanjang Ramadan

Pelakon kelahiran Singapura Hisyam Hamid bakal muncul sebagai seorang imam sepanjang bulan Ramadan ini.

Malah, Hisyam akui beliau berasa gementar apabila diberi tanggungjawab menjadi imam, lapor laman Astro Gempak.

Menurut Hisyam, beliau ditawarkan membawa watak seorang imam dalam drama terbaru berjudul Umam Mudaku Romantik.

Beliau memberitahu Astro Gempak, meskipun ia hanyalah sekadar lakonan, beliau tetap berasa bimbang sekiranya watak tersebut dipertikai oleh masyarakat.

Hisyam menambah bahawa seorang ustaz atau imam memikul satu tanggungjawab yang besar: “Takut kerana watak saya sebagai seorang ustaz moden yang memerlukan saya untuk membaca dan juga mengajar Al-Quran, betulkan Tajwid dan juga beri tazkirah dipertikai segelintir pihak.”

“Risau juga sekiranya benda yang saya sampaikan itu kurang tepat lebih-lebih lagi bacaan Al-Quran, ini adalah perkara-perkara yang berkaitan dengan agama jadi kita tidak boleh ambil remeh,” kata beliau lagi kepada Astro Gempak.

Disebabkan kebimbangan itu, pihak produksi menyediakan seorang ustaz bagi membimbing Hisyam supaya dapat menjayakan watak beliau dengan berkesan.

“Jadi saya suarakan kebimbangan itu pada pihak produksi dan mereka sediakan seorang ustaz untuk bantu dan memantau bacaan saya sepanjang penggambaran berlangsung,” ujar Hisyam.

“Bila ada ustaz yang pantau, saya rasa lega sedikit dan lebih berkeyakinan,” katanya seperti ditukil Astro Gempak.

Hisyam pada mulanya bersetuju membawakan watak sebagai seorang imam kerana mahu mencuba sesuatu yang baru dan juga seorang pelakon yang serba boleh.

Drama Imam Mudaku Romantik itu turut dibintangi pelakon wanita Syatilla Melvin.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *