Laluan Hang Tuah Bawa Tun Teja Dikaji Bagi Buktikan Wujudnya Hang Tuah

Ekspedisi jejak laluan Hang Tuah dari Sungai Muar hingga Sungai Pahang di Pahang dijangka dilaksanakan pada November sekiranya ia mendapat kerjasama tiga negeri yang terlibat.

Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (Iksep) Profesor Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin berkata usaha itu perlu mendapat kebenaran daripada kerajaan Negeri Sembilan, Johor dan Pahang kerana ia melibatkan laluan sekitar 500 kilometer di negeri tersebut.

Beliau juga menambah usaha itu turut melibatkan kerjasama Institut Alam dan Tamadun Melayu dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Ekspedisi berkenaan digerakkan dengan penyertaan lebih 100 orang terdiri daripada golongan belia, kakitangan kerajaan dan media bagi menjejaki sekaligus membuktikan kewujudan Hang Tuah.

“Antara kaedah yang akan digunakan adalah secara arkeologi, kajian manuskirp dan temu bual dengan penduduk asal di kawasan sepanjang laluan itu,” jelas Profesor Mohd Jamil.

Beliau bercakap kepada para wartawan semasa majlis pembentangan hasil kajian awal jejak laluan Hang Tuah Membawa Tun Teja dari Pahang ke Melaka di Malaysia, hari ini (7 Jun).

Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Profesor Mohd Jami mengulas lagi laluan berkenaan dikenal pasti digunakan Hang Tuah ketika membawa Tun Teja ke Melaka selain menjadi laluan pembesar, pahlawan, pedagang dan pendakwah khususnya dari Melaka ke Pahang dan sebaliknya.

Sementara itu, Encik Idris berkata kerajaan negeri akan terus menyokong termasuk dari segi kewangan, usaha Iksep bagi membuktikan kewujudan Hang Tuah dan menjadikannya sebagai satu produk pelancongan baru negeri Melaka.

“Ia perlu dilaksanakan secara serius dengan bukti-bukti sejarah sedia ada.

“Kita tidak mahu keuwjudan Hang Tuah terus dipertikaikan padahal Melaka memang sinonim dengan nama pahlawan itu dan sejarah Kesultanan Melayu Melaka,” tegas Encik Idris.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *