‘Jubah Sado’ Tambah Laris, Tembusi Pasaran Eropah

KUALA LUMPUR: Penjualan koleksi Jubah Pahlawan atau lebih dikenali sebagai ‘jubah sado’, nampaknya tidak terjejas dengan gelaran sinis yang viral di lelaman media sosial.

Bahkan menurut akhbar Harian Metro, penjualan jubah itu oleh syarikat Malaysia, Farbel Exclusive (FE) bertambah laris hingga menembusi pasaran luar negara sejauh Eropah.

Pengasas FE, Syubaili Aziz, berkata, pihaknya sudah menerima lebih 200,000 helai tempahan baru bagi jubah itu untuk pelanggan di Abu Dhabi, Barcelona, United Kingdom, Singapura, Indonesia dan Arab Saudi, selain Malaysia.

Oleh kerana penjualan begitu laris, syarikat pengedar koleksi jubah tersebut juga membuka stokis baru, iaitu FE Stokis Utara untuk pelanggan di Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak, lapor Harian Metro.

ALAHAI, MACAM-MACAM JUBAH

FE kini hanya mempunyai dua stokis iaitu di Putrajaya dan Pulau Pinang.

Pengurus FE Stokis Utara, Muhammad Zam Zam Mohamed Zin memberitahu Harian Metro bahawa sejak koleksi Jubah Pahlawan diperkenalkan dan “direka mengikut trend terkini”, pihaknya menerima sambutan amat memberangsangkan.

“Koleksi Jubah Pahlawan FE menampilkan pelbagai warna pilihan supaya pemakai tampak lebih segak dan versatil selain ia mudah untuk mengambil wuduk, serap peluh serta harga pasarannya berpatutan iaitu kurang daripada RM200 (S$66) sehelai,” katanya.

Beliau juga menambah fokus utama FE ialah memasarkan koleksi terbaru khas untuk sambutan Hari Raya iaitu Jubah Pahlawan, Jubah Aminah (wanita), Jubah Pahlawan Kids dan Jubah Aminah Kids serta songkok.

PERKASA ‘LAWAN’ PAHLAWAN

Sementara itu, FE juga baru-baru ini memperkenalkan koleksi jubah baru untuk kaum Adam, juga dengan pelbagai warna, ‘Jubah Perkasa’.

Perbezaan Jubah Perkasa dengan Jubah Pahlawan? Mungkin ia tepat dijelaskan sendiri oleh FE dalam komennya di Facebook sebagai menjawab komen seorang pelanggan: “Badan kecil, pakai Jubah Perkasa, ada butang.”

Pelanggan itu menulis komen pada gambar seorang model lelaki memperagakan Jubah Pahlawan: “Badan sado bolehlah pakai, badan kecil macam saya labuh kalau saya pakai. Abang ni pakai memang cun.”

JUBAH PALING VIRAL M’SIA?

Di salah satu catatan Facebooknya, FE juga mempromosikan Jubah Pahlawan dengan tagline “Jubah paling viral di Malaysia tahun 2016.”

Facebook FE juga nampaknya dibanjiri banyak komen dari pelanggan yang ingin menempah Jubah Pahlawan.

Seorang pelanggan, Ehsan Elias, sambil bertanya tentang harga jubah itu, berkata “jubah ini mesti selesa dipakai untuk solat terawih.”

Koleksi Jubah Pahlawan, yang ditawarkan dengan warna-warna terang dan dianggap “ketat” oleh para netizen, sebelum ini disifatkan sebagai “fesyen liar” oleh akhbar Utusan Malaysia.

Koleksi jubah berlengan pendek itu pernah dicemuh di lelaman media sosial.

Ia digayakan oleh beberapa model lelaki bertubuh sasa dengan otot berketak-ketak atau digelar “abang-abang sado”, justeru gelarannya sebagai jubah ‘sado’.

(Gambar-gambar: Farbel Exclusive/Facebook)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *