Elfaeza Ulhaq: Kurang Tawaran Berlakon Selepas Berhijab, Kini Luangkan Masa Kepada Kerja Amal

PETALING JAYA: Pelakon Singapura Elfaeza Ulhaq mengakui sejak berimej muslimah pada Januari lalu beliau berhadapan dengan ujian apabila sering ditawarkan pelbagai watak yang memerlukannya membuka hijab.

Menurut mStar Online, Elfaeza yang berusia 31 tahun sering ditawarkan pelbagai watak yang memerlukan beliau membuka hijab tetapi beliau reda dan menolak dengan baik walaupun pendapatan beliau dalam bidang lakonan semakin berkurangan.

“Saya akui saya kurang muncul di televisyen sejak bertudung kerana tawaran semakin berkurangan. Ada yang buat tawaran tetapi kebanyakan untuk drama berbahasa Inggeris yang memerlukan saya membuka hijab.

“Ia satu dugaan dan ujian buat saya di saat saya tiada pekerjaan. Saya terpaksa tolak tawaran yang perlukan saya buka tudung. Saya reda dan anggapnya satu ujian Allah kepada saya,” ujar beliau kepada mStar Online.

mStar Online juga melaporkan Elfaezah kini sibuk sepanjang Ramadan melakukan kerja amal seperti mencuci permaidani surau-surau di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Beliau melakukan kerja amal itu bersama beberapa rakan bagi menjaga kebersihan dan keselesaan surau untuk beribadah.

“Apabila surau bersih, orang akan selesa untuk sembahyang dan buat kegiatan di surau, namun kami juga memerlukan dana untuk melakukan aktiviti tersebut bagi yang bermurah hati untuk menderma,” kata beliau lagi.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *