Anak Melayu, Mohd Fahmi Aliman, Dinaikkan Pangkat, Kini Jadi Kolonel

Seorang askar Melayu Mohd Fahmi Aliman, dinaikkan pangkat menjadi seorang Kolonel (COL) bermula esok (1 Jul). Beliau yang kini berpangkat Leftenan Kolonel Kanan (SLTC), merupakan Komander bagi Pusat Penilaian Latihan Tentera (ATEC).

Kenaikan pangkat beliau itu didedahkan dalam Majlis Kenaikan Pangkat Mindef/SAF hari ini.

Ini juga bermakna, mulai esok SAF mempunyai dua pegawai Melayu sepenuh masa yang berpangkat Kolonel, iaitu pegawai Melayu tertinggi dalam angkatan tentera yang sedang bertugas. Sekaligus ada sekurang-kurangnya dua pegawai Melayu SAF sepenuh masa sekarang, yang berpotensi menjadi Jeneral pada masa depan.

Seorang lagi Kolonel ialah COL Zakir Hamid dari Angkatan Udara Singapura (RSAF) yang mendapat pangkat tersebut tahun lalu.

COL Zakir kini seorang Komander bagi Kumpulan Pengangkutan RSAF.

Di majlis kenaikan pangkat petang tadi, seorang pegawai waran iaitu 1WO Ahmad Ali, dinaikkan pangkat kepada Pegawai Waran Master (MWO).

COL MOHD FAHMI ALIMAN

COL Mohd Fahmi tiada di majlis kenaikan pangkat yang diadakan di Kementerian Pertahanan (Mindef) petang tadi kerana sedang menjalani latihan di luar negara.

Dalam wawancara menerusi telefon, beliau yang berusia 43 tahun berkata, beliau mula menjadi Komander ATEC sejak tahun lalu.

Tugas beliau ialah melaksanakan penilaian yang realistik dan mencabar untuk semua unit-unit SAF.

Beliau kini juga memegang jawatan sebagai seorang Komander Briged Infantri, dan sudah bertugas dalam SAF selama 24 tahun.

Ditanya komen beliau mengenai kenaikan pangkatnya, COL Fahmi berkata ini suatu penghormatan dan kebanggaan kepada beliau dan keluarganya.

Ini juga beliau anggap sebagai cerminan sejauh mana SAF percaya kepada sumbangan beliau, dan memberi amanah untuk beliau membantu membangunkan SAF.

COL Fahmi berkata: “Yang lebih penting adalah untuk pertahanan Singapura, setiap kita mempunyai tanggungjawab kita sendiri, sama ada kita dalam pasukan keselamatan atau kita seorang kakitangan awam, semua ada tanggungjawab sendiri. Itu pada saya amat penting. Itu yang menjadikan satu motivasi untuk saya terus bekerja lebih gigih lagi dalam SAF.”

Kini dengan pangkat Kolonel, beliau berkata pengaruhnya akan lebih besar lagi, untuk menaikkan mutu sumbangannya.

COL Fahmi berazam untuk terus memberikan yang terbaik untuk SAF. Beliau malah berikrar menyumbang demi “menaikkan taraf SAF di dunia”.

BUKAN UNTUK DAPAT DUIT LEBIH ATAU GLAMOUR

Sebagai seorang ayah, beliau mempunyai empat orang anak berusia antara 6 hingga 19 tahun, manakala isterinya bekerja sebagai seorang guru sekolah menengah.

Walaupun sentiasa dihantui kesibukan, COL Fahmi berkata keluarga beliau memberi segenap sokongan.

COL Fahmi menasihatkan anak-anak Melayu yang berminat dengan kerjaya tentera supaya ada komitmen yang tinggi, minat yang tinggi dan cita-cita yang tinggi untuk cemerlang dalam bidang ketenteraan.

Ini tegas beliau suatu kerjaya yang diceburi “bukan untuk dapat duit lebih atau glamour”.

Beliau turut melahirkan rasa positif bahawa pada masa depan “kita akan ada lebih ramai anak muda Melayu berpendidikan dan berwawasan dalam angkatan tentera”.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *