Perusuh Bakar Masjid Di Myanmar, Ketegangan Agama Memuncak

Sekumpulan perusuh yang menghayunkan senjata membakar sebuah masjid di Myanmar, lapor media negara itu.

Ia merupakan serangan kedua terhadap sebuah masjid di Myanmar dalam tempoh hanya seminggu, sedang sentimen anti-Islam meluap-luap di negara yang kebanyakan penduduknya beragama Buddha itu.

Myanmar bergelut dengan insiden-insiden rusuhan agama berdarah sejak beberapa tahun ini. Ketegangan di antara suku kaum dan sentimen tegar di kalangan penganut Buddha yang kian meningkat menjadi cabaran yang sukar ditangani pemerintah baru pimpinan Aung San Suu Kyi.

Semalam (1 Julai), sekumpulan penduduk kampung di Hpakrant, kota perlombongan jed di utara wilayah Kachin, menggeledah sebuah masjid dengan “menghayunkan kayu, pisau dan senjata lain” sebelum membakarnya, menurut akhbar Global New Light of Myanmar.

“Kumpulan itu langsung tidak dapat dikawal. Bangunan itu hangus dibakar oleh kumpulan perusuh itu,” lapor akhbar tersebut, sambil menambah kumpulan tersebut mengamuk setelah satu pertikaian tentang pembinaan masjid itu.

Tiada orang ditangkap berhubung kes itu, menurut laporan itu.

Rusuhan itu berlaku selepas satu lawatan selama 12 hari ke negara itu oleh seorang penyiasat hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memberi amaran bahawa “ketegangan antara agama terus berleluasa di kalangan masyarakat Myanmar”.

Dalam sidang media bagi menggulung lawatannya semalam, Yanghee Lee menyeru pihak berkuasa supaya menyiasat pemusnahan sebuah lagi masjid di tengah Bago lewat bulan lalu.

“Pemerintah mesti menunjukkan bahawa menghasut dan melakukan keganasan terhadap masyarakat minoriti etnik atau agama tidak boleh dibenarkan di Myanmar,” katanya.

Sikap tidak bertoleransi terhadap agama lain kian meningkat di negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan mengancam untuk menggugat demokrasi di negara itu sejak pemerintahan junta mengundurkan diri pada 2011.

Pihak berkuasa keberatan untuk mengenakan dakwaan kerana takut ia akan mencetuskan lebih banyak rusuhan.

Keganasan agama yang paling dahsyat berlaku di wilayah Rakhine pada 2012, yang meragut puluhan nyawa dan memaksa puluhan ribu warga Muslim Rohingya menetap di kem-kem lusuh.

Wilayah Rakhine kekal sebagai wilayah di Myanmar di mana hubungan antara masyarakat berlainan agama paling tegang, dengan masyarakat Islam disekat pergerakan mereka dan juga akses kepada khidmat-khidmat asas dan pekerjaan.

Cik Lee menggesa pemerintah baru negara itu supaya menjadikan usaha menamatkan diskriminasi terhadap masyarakat Islam di wilayah itu sebagai keutamaan yang genting.

Cik Suu Kyi, pemenang Hadiah Nobel Keamanan yang memperjuangkan usaha Myanmar menentang rejim tentera di negara itu, mengecewakan kumpulan-kumpulan hak asasi kerana tidak mengambil langkah lebih segera untuk menghuraikan isu masyarakat Rohingya.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *