Sejarah Penting Kampung Tempe Di Singapura Dibongkar Dan Kini Dibukukan

Bagi generasi muda Singapura, ramai yang biasa makan tempe, namun mungkin tidak pernah mendengar tentang Kampung Tempe. Mungkin mereka lebih biasa dengan nama Masjid Al-Huda?

Sekitaran di mana terletaknya masjid tersebut sekarang, dahulunya merupakan kawasan Kampung Tempe, iaitu sebuah perkampungan kecil yang ditubuhkan pada awal tahun 1905 oleh sekumpulan orang Jawa.

Kini, Kampung Tempe tinggal kenangan dan mungkin namanya hanya akan meniti di bibir para penduduknya.

Namun, terdapat kisah-kisah menarik tentang Kampung Tempe yang perlu masyarakat tahu.

Oleh itu, buku ‘Kampung Tempe – Suara-suara Dari Sebuah Kampung Melayu’ (Kampung Tempe – Voices from a Malay Village), yang menghimpunkan kisah-kisah menarik tentang kampung tersebut daripada bekas para penduduknya sendiri, diterbitkan.

Menurut penulis buku tersebut, Cik Hidayah Amin, buku ini penting kerana ia merakamkan kisah-kisah menarik Kampung Tempe yang tidak diketahui ramai.

“Buku ini penting, kerana tidak banyak buku sejarah Melayu yang ditulis dalam bahasa Inggeris. Maka orang bukan Melayu boleh sama-sama membacanya,” Cik Hidayah memberitahu BERITAMediacorp mengenai buku dwibahasa itu.

Cik Hidayah menambah bahawa buku ini diharap dapat menarik minat ramai untuk mengenali sejarah penting Kampung Tempe.

“Banyak isu-isu menarik tentang Kampung Tempe termasuk sebuah madrasah – iaitu Bustanul Arifin, yang pengasasnya ialah Ustaz Hj Ahmad Sondhaji Mohamad. Buku ini mengupas bagaimana madrasah ini memenuhi keperluan penduduk Kampung Tempe pada lewat 80-an,” tambah beliau.

Jika namanya Kampung Tempe, maka dari kampung itu jugalah datangnya tempe pada waktu itu.

Buku itu turut menerangkan dengan lebih lanjut tentang proses pembikinan serta penjualan tempe di kampung tersebut.

Malah, tempe-tempe yang dibekalkan di Singapura pada waktu itu adalah dari kampung tersebut.

Menurut penulis bersama buku tersebut, Dr Yahaya Sanusi yang juga merupakan bekas penduduk Kampung Tempe, beliau menulis buku itu demi mendalami asal usul beliau.

“Tujuan saya menulis buku itu adalah untuk mencari jawapan kepada soalan dari mana saya datang, siapa moyang saya, apa yang berlaku ketika itu,” kongsi Dr Yahaya kepada BERITAMediacorp.

“Setiap kampung itu penting walaupun yang sekecil kampung tempe, maka kalau kita tidak mengkaji sejarahnya, gambaran Singapura itu seperti tidak sempurna,” tambah beliau.

Buku ‘Kampung Tempe – Voices from a Malay Village’, akan dilancarkan pada Sabtu (23 Jul) sempena pameran ‘Pusaka: Warisan dan Budaya Jawa di Singapura’.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *