LTC Shaiful Herman, Kuntum Safari, Antara 181 Penerima Biasiswa Tajaan MHA

Seramai 181 pegawai Home Team menerima Anugerah Tajaan Kementerian Ehwal dalam Negeri (MHA) bagi melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda dan Pos siswazah.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Negara Kanan MHA, Desmond Lee,dalam satu majlis pada Jumaat lalu (29 Julai).

Leftenan Kolonel Shaiful Herman Shali, 32 tahun, antara penerima Anugerah Tajaan Program Pos Siswazah Sepenuh Masa (Luar Negara) tahun ini.

Beliau kini bertugas sebagai Penolong Pengarah di Jabatan Pengawalan Bahan Berbahaya, SCDF.

Dengan tajaan yang diterima, pemuda berusia 32 tahun itu akan mendalami lagi kepakarannya itu dengan melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang Penyiasatan Kebakaran di Universiti Central Lancashire di Britain.

“Ini merupakan satu kepakaran yang penting bagi SCDF kerana apa juga insiden kebakaran yang kita alami, kita perlu mencari sumber dan puncanya. Jadi saya harap saya akan membawa manfaat juga kepada SCDF setelah saya melalui program ini,” kata beliau.

Cik Kuntom Safari pula menerima Anugerah Tajaan Program Sarjana Muda Sepenuh Masa dan akan melanjutkan pengajiannya dalam bidang Perhubungan Antarabangsa di Pendidikan Global SIM – Universiti London.

Ini bukanlah kali pertama wanita berusia 42 tahun ini, menerima tajaan MHA.

Pada 2012, Cik Kuntom menerima Anugerah Tajaan Program Diploma Separuh Masa dan dengan tajaan kedua itu, impiannya untuk menggenggam segulung ijazah mungkin menjadi satu kenyataan.

“Untuk melanjutkan pengajian saya ke peringkat universiti adalah salah satu impian saya. Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang kedua oleh pihak MHA untuk meningkatkan lagi sijil pengajian saya, dari peringkat diploma ke peringkat universiti,” ujar beliau.

Beliau berharap pencapaiannya itu dapat dijadikan contoh, terutama kepada anak-anaknya, bahawa usia bukanlah penghalang untuk terus mengejar ilmu.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *