DPM Teo Sokong Penubuhan Kolej Islam Bagi Bangun Keupayaan Asatizah

Sekarang ini menjadi lebih penting bagi warga Singapura mengambil langkah-langkah menggalak keharmonian antara agama dan menangkis ideologi radikal.

Ini lebih-lebih lagi dengan beberapa penangkapan dan serangan pengganas di rantau ini dan merata dunia.

Ia termasuk penangkapan enam orang di Batam yang dipercayai merancang melakukan serangan roket ke Marina Bay Sands.

Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean berkata demikian di majlis jamuan Hari Kebangsaan di Pasir Ris-Punggol, malam semalam (7 Ogos).

Berucap di majlis jamuan Hari Kebangsaan ini, DPM Teo berkata masyarakat Islam Singapura sedang mengambil langkah melindungi diri mereka daripada pengaruh radikal dan keganasan pelampau.

DPM Teo turut memberi jaminan kepada warga Islam Singapura, mereka akan dilayan dengan adil dan saksama.

“Pemerintah menghargai usaha-usaha masyarakat Melayu-Islam untuk menentang idea-idea pelampau. Sebagai contoh, pemimpin agama Islam dan asatizah melangkah ke hadapan untuk memulakan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) pada tahun 2003. Pada Mei lalu, mereka melancarkan aplikasi untuk memerangi radikalisasi.

“RRG juga mempunyai telefon hotline dan laman web untuk menentang ajaran salah yang disebarkan oleh kumpulan pelampau. Kita mesti membina daya tahan sosial kita, supaya kita dapat bangkit semula sebagai sebuah masyarakat yang bersatu padu sekiranya serangan berlaku,” menurut DPM Teo.

DPM Teo juga berkata beliau menyokong aspirasi masyarakat Melayu/Islam untuk menubuhkan sebuah kolej Islam di negara ini.

“Saya menyokong cadangan-cadangan ini demi membangunkan kepupayaan asatizah dan para pemimpin kita. Dengan memahami dan menghargai konteks pelbagai bangsa dan agama di negara kita, mereka boleh membantu mengekalkan keharmonian sosial yang kita nikmati hari ini,” tambah beliau.

Beralih ke isu-isu lain, DPM Teo menarik perhatian ekonomi sejagat sedang mengalami kesulitan.

Pemerintah, katanya, akan memainkan peranan membantu syarikat-syarikat dan warga Singapura.

Di peringkat akar umbi, DPM Teo berkata pasukannya sedang berusaha menjadikan Paris Ris-Punggol sebuah kediaman lebih baik dengan kemudahan baru dan peningkatan sistem pengangkutannya.

Encik Teo menambah banyak kemajuan dicapai sejak pilihan raya yang lalu tetapi masa depan seterusnya adalah mencabar.

Singapura, kata beliau, bernasib baik dapat menghadapi cabaran-cabaran itu sebagai sebuah negara yang bersatu dengan pemerintah yang kukuh.

Beliau menyeru warga Singapura agar terus bekerjasama.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *