Bakal Pengantin Gigit Jari, Wang Cengkeram S$5,000 Dipercayai Dilesapkan Pekerja

Harapan beberapa bakal pengantin untuk mendirikan rumah tangga mengalami kegenjotan. Ini apabila wang cengkeram yang diberikan kepada sebuah syarikat penyedia khidmat perkahwinan dipercayai digelapkan salah seorang kakitangannya.

Syarikat tersebut, yang tidak asing di kalangan masyarakat Melayu/Islam tempatan, sudahpun memberhentikan pekerjanya itu.

Antara bakal pengantin yang terjejas ialah Cik Siti Fadilah Mansari dan tunangnya, Encik Muhammad Aslam Abdul Halim, yang mendakwa sejumlah S$5,000 daripada S$7,000 wang cengkeram yang sudah dibayar mereka kepada syarikat itu, dilesapkan oleh pekerja berkenaan.

Menceritakan lanjut kepada BERITAMediacorp, Cik Fadilah berkata kurang setahun sebelum berlangsungnya majlis walimahtul urus beliau, pihaknya difahamkan bahawa kakitangan yang sepatutnya menguruskan majlis beliau sudah diberhentikan kerja.

“Jadi saya terus telefon: ‘Siapa yang ganti tempat perancang majlis perkahwinan saya?’ Jadi saya buat temu janji berjumpa mereka dan kemudian saya dapat tahu yang perancang majlis saya sebenarnya telah membawa (melesapkan) sejumlah wang saya,” kata Cik Fadilah.

Cik Fadilah serta tunangnya, Encik Muhammad Aslam, terkejut mendengar berita itu.

TERSEREMPAK DENGAN DALANG YANG LESAPKAN WANG

Namun lebih mengejutkan ialah apabila mereka terserempak dengan dalangnya pada hari yang sama.

Video perbualan mereka sempat dirakamkan, dan lelaki itu berjanji akan meleraikan segala masalah pada Selasa lalu. Malangnya, beliau tidak muncul.

Mereka sudahpun membuat laporan polis dan masih menantikan hasil siasatannya. Kini yang tinggal hanyalah resit-resit palsu yang dikeluarkan oleh lelaki berkenaan.

BAKAL PENGANTIN: “KITA TAK SYAK APA-APA”

Encik Muhammad Aslam berkata: “Kita tak syak apa-apa sebab apa-apa urusan kita buat, pertama, ia dibuat dalam bangunan syarikat.

“Kedua, dia (memaparkan dirinya seolah-olah dia) seorang yang bagus dan konsultan kanan dan sebagainya, (dia sudah menerima) banyak maklum balas, perkara-perkara baik mengenainya..

“Jadi kita tak syak apa-apa yang orang dia seperti begitu, perangai dia seperti begitu.”

CASE: TERIMA 3 LAGI ADUAN SAMA

Adalah dipercayai ramai lagi pasangan lain turut menjadi mangsa lelaki berkenaan.

Syarikat penyedia khidmat perkahwinan terbabit difahamkan sudah bersetuju untuk menanggung wang cengkeram S$5,000 yang sudah dibayar Cik Fadilah dan dilesapkan kakitangannya itu.

BERITAMediacorp juga menghubungi Persatuan Pengguna CASE mengenai kes tersebut dan ia mengesahkan sudah menerima sebanyak tiga aduan yang sama.

Source: Berita Mediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *