27 Kes Baru Zika Dilapor Di Singapura, Jumlah Keseluruhan 242

Sebanyak 27 kes baru jangkitan tempatan Zika disahkan di Singapura, menurut pihak berkuasa hari ini (4 Sep).

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes Zika yang disahkan di sini adalah sebanyak 242.

Dalam satu kenyataan bersama, Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyatakan di kalangan kes-kes baru ini, 25 dikaitkan dengan kelompok Aljunied Crescent/Sims Drive/Kallang Way/Paya Lebar Way.

Satu kawasan yang berpotensi menjadi kelompok baru, iaitu di kawasan Joo Seng Road juga dilaporkan, melibatkan salah satu kes baru yang disahkan hari ini dan satu kes yang sudah dilaporkan sebelum ini. Baki satu kes baru yang disahkan hari ini tidak dikaitkan dengan mana-mana kelompok yang sedia ada.

NEA menyatakan ia sedang meneruskan operasi kawalan vektor di kelompok Aljunied Crescent/Sims Drive/Kallang Way/Paya Lebar Way.

Sehingga semalam (3 Sep), 62 tempat pembiakan nyamuk – 36 di rumah-rumah dan 26 di kawasan yang dikongsi penduduk atau premis lain sudah dikesan dan dihapuskan di kawasan itu.

Ia menambah bahawa operasi kawalan vektor dan usaha mendampingi penduduk di kelompok Bedok North Avenue juga diteruskan.

Sehingga semalam, 39 tempat pembiakan nyamuk – 29 di rumah-rumah dan 10 di kawasan yang dikongsi penduduk atau premis lain – juga sudah dikesan dan dihapuskan.

NEA menyatakan ia juga akan menjalankan operasi kawalan vektor di kawasan Joo Seng Road, yang berpotensi menjadi kelompok baru.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *