Kebakaran Masjid Orlando: Polis Tangkap Lelaki Yang Disyaki

Seorang lelaki berusia 32 tahun ditangkap berkaitan serangan membakar sebuah masjid di Florida, yang dikunjungi oleh penyerang kelab malam homoseksual di Orlando, pada hari Ahad lalu (11 Sep).

Joseph Michael Schreiber berdepan dengan sekurang-kurangnya 30 tahun dipenjara jika sabit kesalahan sengaja membakar masjid sebagai jenayah kebencian yang dipertingkat, menurut pihak berkuasa.

Suspek didakwa membuat beberapa catatan anti-Muslim di media sosial.

Pusat Islam Fort Pierce mengalami kerosakan teruk akibat kebakaran tersebut, yang dilakukan pada hari yang sama dengan hari memperingati insiden 9/11.

Omar Mateen, yang kadang-kala mengunjungi masjid tersebut, sebelum ini menembak mati 49 orang di kelab malam Pulse pada bulan Jun lalu sebelum dia sendiri dibunuh.

Dia juga pernah mengisytiharkan taat setianya kepada kumpulan ISIS.

Pada malam semalam (14 Sep), Pejabat Polis St Lucie menyatakan bahawa Schreiber membuat beberapa catatan terhadap Islam di laman Facebooknya.

Salah satu catatan itu berbunyi: “Semua yang Islam itu radikal dan perlu dianggap sebagai pengganas dan penjenayah dan semua yang menyertai kegiatan sedemikian mesti didapati bersalah melakukan jenayah perang”.

Schreiber sebelum ini pernah dijatuhi hukuman di mahkamah negara sebanyak dua kali kerana mencuri, menurut Jabatan Pembetulan rekod di Florida.

Dia menjalani hukuman penggal pertama daripada tahun 2008 sehingga 2009 dan penggal kedua daripada tahun 2010 sehingga 2014.

Tiada sesiapa yang cedera semasa kebakaran masjid yang berlaku pada sambutan Aidiladha.

FBI dan Biro Persekutuan bagi Minuman Keras, Tembakau, Senjata Api dan Bahan-Bahan Letupan turut menyertai siasatan.

Kebakaran itu menyebabkan para anggota masjid “bersedih dan takut”, menurut penolong Imam Hamaad Rahman.

Selain Omar, masjid itu juga pernah dikunjungi oleh Moner Mohammad Abu Salha, yang menjadi rakyat Amerika yang pertama melancarkan serangan bom nekad di Syria.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *