Penyakit Aneh: Wanita Tiba-Tiba Lupa Macam Mana Berjalan Tetapi Masih Boleh Berlari

Pelik tetapi benar. Juga menyeramkan.

Bayangkan jika anda bangun tidur dan secara tiba-tiba anda terlupa bagaimana untuk berjalan sedangkan anda tidak mempunyai masalah kesihatan sebelum itu.

Bagi Cik Miranda Licence, itulah yang terjadi dan ia ibarat mimpi ngeri yang membingungkan.

Awal daripada itu, Cik License tidur siang untuk berehat setelah pulang dari berlari-lari anak, namun apabila bangun beliau tiba-tiba menyedari tangan dan kakinya tidak dapat dikawal dan beliau tidak dapat berjalan.

Cik License dikejarkan ke hospital dan pelbagai ujian dijalankan oleh para doktor namun tiada satu pun diagnosis perubatan yang dapat menjelaskan kelumpuhan secara tiba-tiba itu, lapor laman Daily Mail.

TIDAK BOLEH JALAN TETAPI BOLEH LARI, JALAN KE BELAKANG!

Yang semakin membingungkan Cik License adalah beliau kemudiannya mampu untuk berlari dan berjalan – tetapi ke belakang, bukan ke depan!

Beliau langsung tidak boleh berjalan ke depan.

“Saya tahu saya sepatutnya boleh berjalan kerana tiada apa di dalam otak saya yang menghalang saya, namun saya tetap tidak dapat melakukannya,” Cik License memberitahu Daily Mail Australia.

Cik License kemudian didiagnosis dengan gangguan fungsi simptom neurologi (FND), di mana pesakit mengalami masalah pada sistem saraf pusat.

Setelah menjalani rawatan fisioterapi, Cik License mula berlari dan berjalan ke belakang di sekitar kawasan hospital, namun beliau masih tidak boleh berjalan ke depan seperti biasa.

TIBA-TIBA BOLEH JALAN SEMULA

Selepas enam minggu dalam keadaan sedemikian, Cik License keluar bersama teman lelaki beliau dan pada ketika itu beliau menyedari sesuatu yang menakjubkan.

“Saya sedang berjalan bersama teman lelaki saya, Sam dan kami sedang berbual-bual apabila tiba-tiba saya menyedari saya sedang berjalan,” kata beliau.

Itulah kali pertama beliau berjalan dalam tempoh hampir dua bulan, lapor Daily Mail.

Selepas tujuh minggu, Cik License disahkan dapat berjalan seperti sedia kala seolah-olah mimpi ngeri itu tidak pernah berlaku.

Mengingati kembali insiden misteri yang membingungkan semua orang itu, Cik License berkata, beliau mempelajari nilai kesabaran di tengah-tengah ujian.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *