Sinar Harian: Ruangan Ridhuan Tee Dihenti Bukan Kerana Tekanan Mana-Mana Pihak

KUALA LUMPUR: Ruangan di akhbar Sinar Harian tulisan penceramah bebas Malaysia, Profesor Dr Ridhuan Tee Abdullah, dihentikan bukan kerana didesak mana-mana parti politik.

Ini ditegaskan oleh Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abdul Jalil Ali kepada laman Malaysiakini.

“Tak ada kaitan dengan desakan MCA (Persatuan Cina Malaysia), desakan UMNO atau apa-apa.

“Yang tak boleh drop saya punya kolum saja,” guraunya sambil ketawa kepada Malaysiakini.

Menjelaskan lanjut, Datuk Abdul Jalil memberitahu Malaysiakini bahawa pendakwah kontroversi itu, yang juga mesra dipanggil Ustaz Ridhuan, sebenarnya sudah tiga tahun menjadi kolumnis di akhbar tersebut iaitu tempoh paling lama di kalangan kolumnis lain.

Justeru, beliau mahu memberi peluang kepada individu lain pula menjadi kolumnis di Sinar Harian.

Malah katanya, perkara yang sama turut berlaku kepada kolumnis lain sebelum ini seperti bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Aziz Bari.

“Dia tak kena drop tapi tiap-tiap kolumnis itu ada tempoh dia. Saya ingat Riduan yang paling lama. Dia sampai tiga tahun (jadi kolumnis).

“Yang lain itu dua tahun setengah dan kita beri (ruang itu) pada orang lain,” katanya ketika ditemui Malaysiakini di sebuah forum berkaitan kebebasan media di Shah Alam semalam (20 Sep).

PERNAH DAKWA DISEKAT MASUK S’PURA

Dr Ridhuan, yang mengajar di Universiti Sultan Zainal Abidin, pada Mac lalu mendakwa dalam tulisan di Sinar Harian bahawa beliau disekat daripada memasuki Singapura, dan juga mendakwa dilayan seperti “pengganas.”

“Sampai di Imigresen Woodlands, saya diminta turun. Pemeriksaan dilakukan.

“Saya dilayan seperti pengganas. Gambar dan cap jari saya diambil. Setelah lebih dua jam bersoal jawab, datang surat mengatakan, saya tidak dibenarkan masuk ke sana,” kata beliau dalam tulisan di akhbar Sinar Harian bertajuk “Kenali musuh Islam sebenar”.

Beliau mendakwa langkah tersebut merupakan hasil “pakatan” antara golongan “ultra kiasu” di Malaysia dan Singapura, dan menambah beliau “tidak rugi satu sen pun tidak ke Singapura. “

ISMAWEB: DILARANG PIHAK ATASAN UNIVERSITI DARI TULIS ARTIKEL

Portal berita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) sementara itu mendakwa pihaknya dimaklumkan bahawa Dr Ridhuan tidak lagi dibenarkan menulis artikel dalam Sinar Harian kerana dilarang pihak atasan universiti tempat beliau mengajar.

Ismaweb juga mendakwa Dr Ridhuan dilarang menulis dalam sebarang akhbar atau portal dan juga tidak dibenarkan memberi sebarang komen.

Dr Ridhuan pada Mei lalu mengumumkan membuat keputusan nekad untuk keluar daripada Persatuan Cina Malaysia (MCA) sebagai membantah tindakan parti itu yang terus-menerus menentang hukum hudud.

Menurut Malaysiakini, Ismaweb membuat spekulasi bahawa Dr Ridhuan ‘diharamkan’ menulis setelah mempersoalkan mengenai semangat kemerdekaan dan patriotisme para atlit sukan yang dikatakan lebih banyak mengejar wang dan ganjaran.

Portal itu seterusnya mendakwa ada “tangan-tangan ghaib” dan “usaha jahat” yang memberi tekanan kepada pihak pengurusan universiti tersebut.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *