518 Penerima Anugerah MENDAKI Tahun Ini, Jumlah Tertinggi

Anugerah MENDAKI tahun ini menyaksikan jumlah penerima tertinggi iaitu seramai 518 orang.

Pada tahun lalu, 499 orang menerima anugerah itu.

Buat pertama kalinya, pengiktirafan juga diberikan kepada dua lulusan dari Program Penukaran Kerjaya.

Anugerah yang disampaikan oleh Pemangku Menteri Pendidikan Ng Chee Meng petang tadi (24 Sep) itu sebagai mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam bidang akademik.

Memburu satu lagi diploma pada usia 24 tahun.

Kali ini dalam jurusan kejururawatan.

Sungguhpun sudah memiliki diploma dalam jurusan farmaseutikal, Khasminah Ismail terdorong untuk menukar kerjaya kerana terkesan apabila melihat para jururawat menguruskan arwah datuknya.

Hasratnya tercapai apabila beliau mengikuti Program Penukaran Kerjaya.

“Nak belajar balik itulah usia pun tidaklah semuda macam mereka yang baru lepas O level, sudah lama tidak pergi sekolah, empat tahun. Jadi saya juga susah hendak perlahan-lahan berlumba-lumba dengan sekolah semua. Bila saya ke hospital untuk bekerja sambil belajar, kebanyakan jururawat lebih muda dari saya. Mereka sudah jadi jururawat. Saya masih budak baru belajar. Jadi, terimanya dengan hati terbuka,” Cik Khasminah memberitahu BERITAMediacorp.

Seperti Khasminah, Al Fatimah Begum Abdul Karim juga adalah antara dua lulusan dari Program Penukaran Kerjaya yang mendapat Anugerah MENDAKI buat julung-julung kalinya. Fatimah pada asalnya bekerja dalam bidang perbankan.

10 tahun kemudian, beliau bertukar minat dan mahu mendalami bidang kejururawatan.

“Ia membantu saya dari segi kewangan. Saya tidak perlu bekerja sambil belajar. Saya dapat fokus kepada pelajaran dan capai cita-cita,” kata Cik Al Fatimah.

Program Penukaran Kerjaya yang ditawarkan Agensi Pembangunan Tenaga Kerja (WDA) sekaligus memberi lebih banyak pilihan bagi karyawan pertengahan kerjaya.

Tahun ini, Anugerah MENDAKI diagihkan kepada jumlah penerima paling ramai sejak ia diperkenalkan pada 1982.

“Kita rasa bangga bahawa ini menunjukkan bahawa bakat masyarakat kita begitu mendalam. Kalau kita berusaha, memberi dorongan. Insya’Allah kita akan dapat kejayaan. Apa yang mereka tunjukkan hari ini tidak kira mana kita mula, yang lebih penting adalah pencapaian mereka. Pencapaian mereka menunjukkan kita ada bakat, keupayaan untuk mencapai tahap yang paling tinggi, selari dengan gerakan SkillsFuture,” Dr Yaacob.

Di acara tersebut, inisiatif ‘Let’s-Pledge-A-Book’ juga dilancarkan untuk meraikan semangat membaca dan menggalak orang ramai supaya menderma buku-buku terpakai di MENDAKI.

Buku-buku ini kemudian akan dikongsi bersama keluarga-keluarga memerlukan menerusi program-program MENDAKI.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *