Berpantang maut sebelum ajal. Nasib menyebelahi seorang wanita yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah teksi.
Beliau bukan saja terselamat, malah lebih menakjubkan lagi, wanita berusia 50an tahun itu tercampak dan terduduk di atas teksi yang turut terlibat dalam kemalangan tersebut, lapor Harian Metro (31 Okt).
Encik Rajendran, pemandu teksi yang terbabit berkata: “Saya hairan di mana penunggang motosikal itu, namun ketika menoleh ke atas saya terpandang seorang wanita terduduk dia atas bumbung teksi saya.”
“Saya kemudian pergi ke arah wanita itu dan membantunya turun dari bumbung teksi selain melihat jika ada sebarang kecederaan yang dialami, namun wanita itu hanya memaklumkan sakit pada bahagian tangan dan kaki serta masih trauma,” kata pemandu teksi itu, 48 tahun, kepada Harian Metro.
Menurut laporan akhbar berkenaan, kejadian yang turut mengejutkan para pengguna jalan raya yang lain itu berlaku di persimpangan lampu isyarat Lebuh Raya Butterworth-Kulim, petang semalam.
Ramai juga yang merakam gambar mangsa dan memuat naiknya ke laman media sosial sehingga menjadi viral.
Encik Rajendran berkata, insiden itu paling mengejutkan, namun beliau lega kerana tiada yang cedera atau mati.
“Selepas terdengar bunyi dentuman kuat saya terus memberhentikan teksi dan bergegas keluar untuk mencari mangsa kemalangan.
“Ketika itu saya ternampak sebuah motosikal terbalik di belakang teksi dan cuba mencari penunggangnya, sebelum terkejut apabila melihat seorang wanita dalam keadaan terduduk di atas bumbung teksi,” beliau memberitahu Harian Metro ketika ditemui selepas membuat aduan di Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, semalam.
Source: Berita MediaCorp